Rakyat Dah Muak, Tak Mahu Dengar Hal Percaturan Politik Lagi

0
308

Sudah sudahlah nak berpakat pakatan dan buat “deal” lagi. Rakyat nak tahu apa “deal” untuk mereka.

Sepanjang minggu pertama bulan Ramadhan, rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan berita berita di media utama dan juga media sosial tentang pertemuan pemimpin PN dengan pemimpin pemimpin parti serpihan Pakatan Harapan. Sila baca dan lihat di sini, dan di sini. Oh, di sini juga.

Keratan akbar mengenai perjumpaan antara parti parti politik yang memualkan rakyat Kredit foto Zam Yahaya

Rata rata, maklumbalas yang saya terima, rakyat sudah muak dan tidak berminat lansung dengan segala pakatan pakatan mereka dan keyataan kenyataan saling memperlekeh antara satu sama lain.

Rakyat dah tak peduli dah siapa jumpa siapa, siapa minta tolong siapa dan siapa khianat siapa dan siapa yang dah serik dengan siapa dan siapa yang jadi beban pada siapa.

Membangunkan Ekonomi Negara

Apa yang rakyat mahukan ialah sebuah kerajaan yang cekap dan stabil dalam membangunkan semula ekonomi negara.

Ramai golongan T20 dah jadi M40, golongan M40 dah jadi B40 dan dalam B40 itupun ada golongan B10 yang benar benar perlukan bantuan kerajaan.

Pendek kata, rakyat inginkan kerajaan yang stabil dan mampu mengeluarkan mereka dari kesempitan hidup mereka akibat dari kerajaan yang diterajui oleh tangan tangan yang tidak cekap baik dari segi dasar ekonomi mahupun dasar luar yang lemah yang juga memberi kesan negatif kepada ekonomi.

Rata rata rakyat sudah tak peduli dengan parti parti serta pemimpin pemimpin mereka yang cuba “meminta nyawa” dari satu sama lain demi “kelansungan hidup” parti parti tersebut.

Rakyat mahukan sebuah gabungan yang sudah bersedia dengan pengalaman dan track record memajukan negara sejak merdeka yang tak perlu buat “deal” dengan mana mana pihak demi untuk mendapatkan kuasa.

Dah Cuba Sekali Sudahlah!

Kempen “ini kalilah” Pakatan Harapan pada PRU14 seolah oleh dijawab dengan “dah cuba sekali sudahlah!” ” oleh rakyat Malaysia.

Sudah sudahlah nak berpakat pakatan dan buat “deal” lagi. Rakyat nak tahu apa “deal” untuk mereka.

Sementara itu, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah baharu sahaja melancarkan kempen Ayuh Malaysia di bawah bendera PKR.

Dari apa yang saya baca, kempen ini mensasarkan golongan atas pagar untuk menjadi lebih patriotik kepada negara dan menghapuskan korupsi.

Kononnya lah… Biar saya ulas satu persatu.

Golongan atas pagar sebilangan besarnya terdiri dari golongan muda dan juga golongan elit yang lebih idealist. Itu saya faham.

Semasa saya muda dan mengepalai Pemuda UMNO Bahagian selama 3 penggal dari tahun 1995 – 2004, saya bersama-sama Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi pernah menjadi golongan pendesak ketika itu, jadi saya juga sedikit sebanyak bersikap idealist dan inginkan pembaharuan.

Ayuh Malaysia Hanyalah Retorik

Soalnya, apakah saudara Rafizi menganggap mereka ini tidak patriotik? Apakah sikap patriotik selalunya mesti ‘anti establishment’? Jelas sekali slogan Ayuh Malaysia ini tidak lebih dari slogan bersifat retorik sahaja.

Perlu diingat, sebelum PRU14, orang-orang yang menyokong Pakatan Harapanlah yang telah pergi ke beberapa pelusuk dunia memburuk-burukkan negara sendiri. Ingat lagi kempen Bersih? Berguling-guling atas jalan raya, berkelakuan biadap dan ganas? Siapakah yang mempelopori gerakan ini? Adakah ini sikap patriotik yang mahu diketengahkan oleh Saudara Rafizi sekali lagi?

Sudah lupakah kepada segala janji dan tuntutan Bersih semasa PH berkuasa? Dimana Rafizi? Mula-mula senyap sebab nak dilepaskan dari hukuman mahkamah. Kemudian apabila tewas pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden, terus membisu.

Tiba-tiba bila PRU semakin hampir, beliau muncul kembali. Adakah sikap patriotik Rafizi bermusim dan hanya lima tahun sekali?

Sudah-sudahlah mempergunakan orang muda!

Keduanya, Ayuh Malaysia nak menghapuskan korupsi? Itu juga janji mereka sebelum PRU14 dan saya tidak menyalahkan golongan atas pagar mengundi mereka kerana mahu menghapuskan korupsi.

Tapi apabila mereka menang PRU dan mendapat kuasa, apa mereka buat?

Penyalahgunaan Kuasa

Penyalahgunaan kuasa berlaku dari minggu pertama lagi. Mula-mula bekas peguam kepada Lim Guan Eng dilantik menjadi peguam negara dengan cara yang amat rakus. Kita masih ingat lagi apabila YDPA minta dua nama, PH berkeras mahukan Tommy Thomas juga!

Dan apa yang Tommy Thomas buat setelah menjadi Peguam Negara? Beliau membebaskan pemimpin-pemimpin politik PH yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah dan juga telah membatalkan beberapa keputusan mahkamah dan ini melibatkan Lim Guan Eng dan Rafizi sendiri!

Kemudian apa Tommy Thomas buat lagi? Memburu pemimpin-pemimpin UMNO dan menghadapkan mereka ke mahkamah dengan berpuluh-puluh pertuduhan dan ada diantaranya, belum selesai siasatan tapi telah dihadapkan ke mahkamah!

Bukankah ini persepsi yang jelas penyalahgunaan kuasa?

Itu belum lagi dikira hakim-hakim disuruh meletak jawatan dan apabila enggan, dengan mudah Tun Daim memanggil hakim-hakim tersebut “mengadap” beliau dan diberi tekanan supaya meletakkan jawatan.

Bagaimana pula dengan perlantikan Latifah Koya, seorang pemimpin PKR sebagai Ketua Pengarah SPRM?

Dimana semangat nak hapuskan korupsi dan salahguna kuasa Rafizi waktu itu?

Bagaimana pula dengan ugutan yang dibuat terhadap ahli-ahli parlimen UMNO supaya melompat parti?

Fakta Yang Rakyat Nak Tahu

Bagaimana pula dengan projek direct nego berjumlah berbillion-billion ringgit yang telah dianugerahkan dalam masa 22 bulan sahaja? Ini fakta yang telah dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan semasa Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri!

Banyak lagi kalau saya nak sebut. Tapi tak perlu saya ulang sebab satu negara pun dah tahu.

Soalnya dimana Rafizi dan Nurul Izzah ketika itu?

Pada pandangan saya, kempen Ayuh Malaysia hanyalah kempen Rafizi untuk menjadi Timbalan Presiden PKR! Kempen untuk mengembalikan kerelevanan beliau dalam PKR dan cuba menarik kembali sokongan dari ahli-ahli PKR masa kini, selain cuba menunjukkan kehebatan beliau terhadap rivalnya, YB Saifuddin Nasution.

Bagi saya, cukup-cukuplah memperbodohkan rakyat Malaysia. Mereka sudah jauh lebih cerdik dibandingkan dengan 5 tahun dulu!

Rakyat nak tengok siapa yang buat kerja dan siapa yang mampu bekerja untuk mereka jika diberi peluang pada PRU15. – New Malaysia Herald

Ramlan Askolani adalah Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai. Perkara yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian New Malaysia Herald.

Facebook Comments

author avatar
Ramlan Askolani