Anugerah BACA 2024: Penghargaan Terhadap Industri Buku dan Kesenian Kreatif

Malam Gala Anugerah BACA 2024 mencipta sejarah dengan mengiktiraf lebih 30 tokoh dari Malaysia, Brunei, dan Indonesia dalam industri buku dan seni kreatif. Acara ini bukan sahaja meraikan pencapaian individu tetapi juga menandakan langkah ke hadapan dalam membangunkan ekosistem kreatif di Asia Tenggara.

KUCHING – Industri buku dan seni kreatif Malaysia melangkah ke satu tahap baharu apabila tokoh-tokoh terkemuka dari Malaysia, Brunei, dan Indonesia diiktiraf dalam Malam Gala Anugerah BACA 2024. Diadakan pada 28 September di Kuching, acara ini bertujuan untuk mengangkat sumbangan besar para penggiat seni dan cendekiawan dalam merevolusikan landskap buku dan kreatif negara. Lebih 30 individu diraikan dalam pelbagai kategori, menandakan pencapaian penting dalam usaha membangunkan ekosistem industri kreatif di rantau ini.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyampaikan beberapa anugerah utama seperti Anugerah Sastera Borneo, Anugerah Penulis Borneo, dan Anugerah Buku Borneo kepada 30 cendekiawan terkemuka yang mewakili Malaysia, Brunei, dan Indonesia.

“Dengan kemajuan teknologi digital, lebih ramai artis dan karyawan kini boleh memanfaatkan platform media sosial dan aplikasi digital untuk berkongsi karya mereka di peringkat global. Ini membuka ruang yang lebih luas untuk anak muda bersaing di arena kreatif antarabangsa,” kata beliau dalam ucapannya.

Meraikan Bakat Tempatan dalam Industri Kreatif

Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Armada Seniman Sarawak (ARAS) bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan tujuan meraikan bakat seni dan kreatif tempatan, terutamanya dari Sarawak dan Borneo.

Inisiatif bersama seperti Anugerah Buku Negara, Anugerah Telenovela, serta Borneo Arts & Creative Conferences Award (BACA) digerakkan bagi merangka hala tuju pembangunan industri buku dan seni kreatif di Malaysia. Pelan pelaksanaan dengan sokongan Majlis Buku Kebangsaan Kementerian Pendidikan ini diharap dapat menyatukan semua pihak dalam ekosistem industri buku dan kreatif—termasuklah DBP, NGO, GAPENA, serta GLC—bagi mencapai kelestarian industri.

Pelbagai program telah dirancang untuk melestarikan industri buku dan kreatif di Malaysia, termasuk penerbitan buku, percetakan, reka cipta kandungan, penterjemahan, dan penyiaran. Program-program ini penting bagi memastikan Malaysia terus bersaing dalam pembangunan industri buku di peringkat global. Menurut statistik UNESCO, Malaysia menerbitkan sekitar 18,000 judul buku setiap tahun, iaitu 54% daripada sasaran tahunan sebanyak 35,700 judul—sejajar dengan 1% daripada jumlah penduduk negara.

Dari Universiti ke Forum BACA 2024

Adrina Tan Pelajar Fakulti Perubatan Veterinar Dari Universiti Malaysia Kelantan Yang Salah Seorang Penerima Anugerah Baca. - Nmh Pic
Adrina Tan pelajar Fakulti Perubatan Veterinar dari Universiti Malaysia Kelantan yang salah seorang penerima Anugerah BACA NMH pic

Antara penerima anugerah pada malam tersebut ialah Adrina Tan binti Adam Tan, seorang pelajar Fakulti Perubatan Veterinar dari Universiti Malaysia Kelantan. Anugerah BACA diberikan kepada beliau atas pembentangan laporan kajian mengenai industri penternakan menggunakan sistem permanian beradas. Kajian ini dilihat mampu meningkatkan produktiviti industri penternakan kambing dan lembu di Sarawak.

Laporan ini terpilih daripada 20 kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan BACA, yang berlangsung dua hari sebelum Malam Anugerah. Forum ini bertujuan menghimpunkan pakar industri buku dan kreatif dari Malaysia dan ASEAN, dengan penglibatan para sarjana dan teknokrat untuk memperluas ruang perbincangan mengenai buku dan seni kreatif.

Teknokrat yang Menjadi Tumpuan

Antara tokoh yang menarik perhatian ialah Dato’ Seri Dr Adalbert Kinson, seorang teknokrat dan penulis buku Balance Scorecard. Selain memegang jawatan penting di Yayasan Bumiputra Sabah dan Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad, beliau juga aktif dalam usaha memperkasa pendidikan melalui buku.

Anugerah Penghargaan Baca Kepada Datuk Seri Dr Adalbert Kinson - Nmh Pic
Anugerah Penghargaan BACA kepada Datuk Seri Dr Adalbert Kinson NMH pic

“Saya menulis buku kerana seruan UNESCO yang menetapkan penanda aras penerbitan negara maju ialah 1% daripada jumlah penduduk. Dengan populasi Malaysia sekitar 35.5 juta, kita perlu menerbitkan 35,570 judul buku baharu setiap tahun, tetapi kita hanya mencapai 18,000 judul setakat ini,” kata beliau.

Tambahnya, “Buku kekal sebagai medium pendidikan yang lebih mapan berbanding pengajaran digital. Buku tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas, dan akan terus memberi ilmu untuk generasi akan datang.”

Industri Buku di Era Malaysia Madani

Menurut Datuk Seri Dr Nor Hisham Mohd Nor, Pengarah Eksekutif Yayasan Pembangunan Buku Negara, majlis ini bertujuan membina imej cemerlang industri buku dan kreatif Malaysia. Ia juga menjadi platform untuk menyatukan pelbagai komuniti kreatif seperti usahawan, artis, penulis, dan pemikir dari dalam dan luar negara.

“Acara ini menanamkan semangat perpaduan serta mengangkat budaya membaca dan mencintai ilmu, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia dan Laluan Sutera,” tambahnya.

Antara penerima anugerah lain pada malam tersebut termasuk penyanyi terkenal Sarawak, Datuk Sarbanun Marican, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir, serta penulis dan pengarang cerpen dari Sabah, Datuk Jasni Matlani. – NMH

Facebook Comments

author avatar
Emma Harith
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.

Latest articles

Related articles