Ketua Pemuda MCA Pahang Wong Siew Mun kini disiasat polis kerana mempersoalkan tindakan kerajaan mengumpul data pengguna telefon di TikTok beliau — satu langkah yang dilihat sebagai cubaan menyekat suara rakyat dan menakut-nakutkan pengkritik dasar awam.
KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025: Semuanya bermula dengan satu video TikTok pada 6 Jun. Dalam klip ringkas itu, Wong Siew Mun, Ketua Pemuda MCA Pahang, mempertikaikan langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengutip data pengguna daripada syarikat telekomunikasi — berdasarkan laporan media dan kenyataan rasmi.
Hari ini, Wong hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan, ditemani peguam Kamarudin Ahmad dan kira-kira 20 ahli Pemuda MCA yang hadir menunjukkan sokongan.
“Video itu berdasarkan fakta. Ia bukan fitnah, bukan hasutan,” kata Wong kepada media.
“Saya hanya menyuarakan kebimbangan rakyat. Kerajaan tidak sepatutnya menyalahgunakan undang-undang untuk menutup mulut orang ramai.”
Undang-undang Dijadikan Senjata, Video Di TikTok Hanya Alasan
Peguamnya, Kamarudin Ahmad, menyatakan bahawa tiada unsur jenayah dalam kandungan yang disiarkan Wong.
“Beliau hanya melaksanakan hak kebebasan bersuara seperti yang dijamin Perlembagaan,” katanya.
“Kami gesa SKMM tarik semula laporan polis dan hentikan siasatan ini.”
Isu Data Diabaikan, Pengkritik Dihukum
Apa yang lebih membimbangkan, isu pokok tentang pengumpulan data masih belum dijawab.
Sebaliknya, kerajaan memilih untuk bertindak terhadap orang yang membangkitkan persoalan itu.
“Apabila rakyat bersuara, kerajaan seharusnya memperbaiki kelemahan, bukan mencari jalan untuk mendiamkan kami,” tegas Wong.
Turut hadir menyokong beliau ialah Ketua Biro Publisiti Jawatankuasa Pusat MCA Chan Quin Er, timbalannya Ivone Low, serta Pemuda MCA Selangor Tan Jie Sen.
Amaran Kepada Rakyat
Pertubuhan masyarakat sivil turut menyuarakan kebimbangan. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyatakan bahawa tiada mekanisme undang-undang yang jelas berkenaan langkah pengumpulan data oleh kerajaan.
“Jika tiada undang-undang khusus atau persetujuan pengguna, ini adalah pencabulan hak privasi,” menurut kenyataan SUARAM.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) pula mengingatkan bahawa tindakan menyiasat individu yang menyuarakan pendapat berdasarkan maklumat umum adalah satu precedent yang berbahaya.
Apa Seterusnya?
Wong berjanji akan terus bersuara.
“Saya akan beri kerjasama kepada polis, tapi saya tidak akan gentar,” katanya.
Setakat ini, SKMM belum mengeluarkan kenyataan awam mengenai siasatan ke atas Wong.

Namun mesejnya sudah jelas — menyuarakan pendapat rakyat di Malaysia hari ini boleh membawa risiko, walaupun berdasarkan fakta. – NMH
Facebook Comments