Adakah ahli politik yang menang bertanding akan memenuhi hasrat dan impian rakyat yang mengidamkan sebuah negara yang suasana politiknya stabil serta ekonomi yang kukuh?
Secara peribadinya, selepas pengumuman Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), saya berharap isu-isu rakyat seperti kekurangan minyak masak, telur, persediaan menghadapi banjir oleh agensi terbabit serta perkara-perkara berkenaan keperluan dan kemandirian negara masih dijadikan keutamaan oleh ahli politik negara ini walaupun mereka kini hanyalah ‘bekas’ Yang Berhormat.
Bagi rakyat pula, mereka tidak peduli ‘bekas’ atau masih Yang Berhormat, mereka yang menjawat jawatan menteri dalam kerajaan ini tetap diharap akan terus memberikan khidmat kepada rakyat terutamanya kepada rakyat yang mengundi mereka.
Lebih lagi, dikala ini, kepercayaan rakyat terhadap ahli politik sangat terhakis dan kebanyakan rakyat menganggap ahli politik ini tidak lebih daripada biawak hidup. Rakyat tidak boleh disalahkan jika beranggapan begitu kerana ianya salah ahli politik sendiri yang hanya muncul bila perlukan undi rakyat.
Pilihanraya Mampu Menghentikan Pergolakan Politik Negara
Jika kita berbalik kepada keadaan semasa ‘tebuk atap’ di mana pada ketika itu Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ke-7 meletak jawatan, seluruh Negara dalam keadaan ‘panic attack’ kerana risau jika urusan-urusan harian dan urusan di pejabat-pejabat kerajaan akan terganggu. Namun, sebaliknya yang berlaku, para penjawat awam telah melaksanakan tugasan seperti biasa, dan pada ketika itu negara umpama tidak memerlukan ahli politik langsung.
Rakyat pun lebih tenang, kerana pada ketika itu ahli politik sesama sendiri sedang bertelagah memilih untuk masuk kem mana, dan sekejap pihak A ada ‘nombor,’ dan kemudian pihak B pun kata perkara yang sama sehingga akhirnya setelah puas ahli politik ‘ke kanan, dan ke kiri’, Muhyiddin Yassin dipilih menjadi Perdana Menteri ke-8.
Ramai yang tidak berpuas hati kerana pada mereka, Perdana Menteri yang di pilih bukan dari undian ‘tangan rakyat’ tetapi ia hanyalah satu bentuk sketsa ahli politik membidak jawatan sesama mereka. Itu adalah antara sejarah yang sukar untuk dilupakan oleh Rakyat Malaysia pasca-PRU 14.
Selepas itu, pergolakan demi pergolakan politik berlaku, maka naiklah pula Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari Umno pula. Ada yang gembira dan tentunya ada yang tidak. Ramai yang menyokong dan ada pula yang mengatakan Perdana Menteri ke-9 ini hanyalah ‘boneka’ pihak tertentu.
Pembubaran Parlimen Wajar
Oleh itu, pembubaran Parlimen dan pilihanraya yang akan diadakan ini sebenarnya adalah tindakan yang amat wajar untuk memberhentikan ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab daripada terus menjadikan isu keabsahan ‘kerusi’ nombor satu Negara ini sebagai propaganda untuk meraih sokongan.
Selain itu, ia memberi peluang kepada rakyat yang merasakan hak mereka telah dinafikan untuk memilih pemimpin, dengan harapan selepas pilihanraya ini, semua pihak akan berpuas hati dan akan bersatu hati untuk bersama-sama menghadapi keadaan cuaca dan ekonomi global yang tidak menentu pada ketika ini.
Bagi ahli politik pula, kita tahu mereka sibuk hendakkan pilihanraya, untuk menjaga ‘kerusi’ mereka, tetapi itu bukan bermakna mereka boleh lepas tangan selepas pembubaran. Mereka perlulah memastikan rakyat yang telah mengundi dan bakal mengundi mereka diberikan khidmat bakti yang terbaik. Bukan sekadar untuk ‘pancing undi’, tetapi itu adalah tanggungjawab mereka sebagai bekas wakil rakyat, bekas menteri dan tidak lupa juga sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Malaysia yang selama ini begitu sabar dengan ‘percakaran’ parti politik yang entah bila akan padam.
Jika ada ahli politik atau parti politik yang tidak bersetuju dengan pembubaran, dengarnya ada beberapa negeri yang tidak mahu bubar untuk Pilihanraya Negeri, ianya tidak adil kepada rakyat kerana ahli politik semua tidak boleh menafikan, sebagai ‘Yang Berhormat’ mereka akan menggunakan DUIT NEGARA untuk pilihanraya ini.
Tidak Perlu Hipokrit, Rakyat Pun Dah Tahu
Tak kisah jika ahli politik bersetuju atau tidak bersetuju, secara TENTATIFNYA, si ahli politik sebenarnya telah BERSETUJU, kerana jika tidak, sudah tentu si ahli politik atau parti politik yang diwakili tidak menyertai pilihanraya kali ini. TIDAK PERLU HIPOKRIT dengan memberikan alasan banjir, atau rakyat tak mahu pilihanraya.
Bukan rakyat yang masuk bertanding, tetapi si ahli politik mengaku sahajalah sebenarnya anda yang mahu terus kekal di kerusi empuk dan takut jika berlakunya pilihanraya anda akan kehilangan jawatan.
Bagi pemimpin Negeri yang kononnya nak tunjuk ‘ranggi’ dengan tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan pilihanraya Negeri serentak dengan Pilihanraya Umum, memang anda ni semua jenis nak PERHABISKAN DUIT NEGARA sebab nak puaskan tembolok anda yang sentiasa tamak kuasa.
Jangan marah jika itulah persepsi rakyat terhadap anda kerana anda lupa DUIT NEGARA TU BUKAN DUIT ANDA, ia duit UNTUK RAKYAT. Jangan lupa, rakyat sedang memerhati.
Jadikanlah pilihanraya ini satu bentuk ‘pembersihan politik’ agar selepas ini para Yang Berhormat yang dipilih untuk menjadi menteri-menteri dalam kerajaan akan lebih efisyen, kurang kontroversi, kurang merepek dan bertugas demi rakyat dan Negara. — NMH
Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal-ehwal domestik, penulis juga seorang aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan-makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.
Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat NMH.
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.
Facebook Comments