Pemerdagangan orang untuk jenayah paksa (forced criminality) merujuk kepada eksploitasi mangsa melalui paksaan atau penipuan untuk melakukan aktiviti jenayah bagi tujuan keuntungan ekonomi atau faedah lain kepada pemerdagang. Ini merangkumi mereka yang dipaksa menjadi ‘scammer’ dalam talian, ‘keldai dadah,’ ‘keldai wang,’ atau mereka yang dipaksa menjadi pengganas atau perlakuan yang menyokong keganasan, dll.
Buat masa kini, seksyen 2 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) tidak mendefinasikan jenayah paksa secara jelas sebagai satu bentuk eksploitasi. Namun begitu, terdapat ungkapan ‘apa–apa aktiviti yang menyalahi undang–undang’ dan ini boleh merangkumi eksploitasi melalui jenayah paksa. Walaubagaimanapun, pindaan dan penjelasan jenayah paksa di dalam ATIPSOM perlu dilakukan dengan mengambil kira pelbagai bentuk jenayah yang semakin canggih dengan penggabungan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam operasi jenayah terancang.
Salah satu bentuk pemerdagangan yang semakin menonjol di Asia Tenggara dan Malaysia khususnya sejak tiga tahun kebelakangan ini ialah pemaksaan individu untuk terlibat dalam operasi penipuan kewangan berskala besar yang seringkali melibatkan jenayah siber seperti penipuan dalam talian, pemerasan dan pengubahan wang haram.
Mangsa Jenayah Paksa

Mengikut Timbalan Pengarah JSJ Risikan Operasi Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dalam satu sidang media baru-baru ini, PDRM telah berjaya menyelamatkan 504 warga Malaysia dari Thailand, Myanmar, Kemboja, dan negara – negara lain daripada terus menjadi mangsa jenayah paksa. Namun begitu, hanya sekitar 10% disahkan sebagai mangsa pemerdagangan yang sebenarnya manakala sebahagian besar lagi merupakan individu yang telah secara sukarela menjadi ‘scammer’ dan hanya meminta diselamatkan selepas diugut atau didera kerana gagal mencapai sasaran keuntungan yang ditetapkan. Ada juga diantara mereka yang menjadi ejen dan merekrut warga Malaysia untuk menjadi ‘scammer’ di luar negara. Mereka ini juga dikatakan tidak memberi kerjasama dengan pihak berkuasa setelah pulang ke tanahair.
Fenomena ini semakin membimbangkan kerana jenayah paksa ini berlaku di pelbagai lokasi yang sah dan tidak sah seperti kasino, hotel, pusat hiburan, dan premis yang didaftarkan secara rasmi sebagai perniagaan. Banyak operasi ini dijalankan dalam kawasan tertutup atau berpagar, di mana mangsa dikurung dan dipaksa menjalankan jenayah siber seperti penipuan kewangan antarabangsa.
Tawaran Pekerjaan Lumayan
Sindiket jenayah ini memanipulasi kelemahan mangsa termasuk mereka yang mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan lumayan di luar negara. Namun, terdapat juga individu yang secara sukarela menjadi sebahagian daripada sindiket ini sebelum akhirnya terjerat dalam eksploitasi dan penderaan apabila gagal mencapai sasaran keuntungan yang ditetapkan oleh sindiket.
Terdapat dua senario yang jelas dalam keadaan ini. Pertama, individu yang telah diperdaya dan menjadi mangsa tetapi kemudiannya beralih menjadi ejen atau perekrut. Dalam hal ini, individu tersebut mungkin telah diperdaya atau dipaksa untuk menjadi ‘scammer’, namun setelah melihat pendapatan lumayan dari kegiatan ‘scam’, individu tersebut memilih untuk kekal dan menjadi sebahagian daripada sindiket secara sukarela. Kedua, individu tersebut telah diperdaya dengan tawaran pekerjaan sah dan kemudiannya dipaksa untuk melakukan jenayah seperti penipuan dalam talian tanpa sebarang pilihan untuk keluar dari kitaran eksploitasi.
Rumah Perlindungan
Mengikut ATIPSOM, mereka yang telah dikenalpasti sebagai mangsa pemerdagangan orang boleh mendapat Perintah Perlindungan Sementara dan ditempatkan di Rumah Perlindungan selama 21 hari sementara siasatan kes dijalankan. Dalam hal ini, Malaysia mempunyai 10 buah rumah perlindungan yang menempatkan mangsa pemerdagangan yang terdiri dari warganegara Malaysia dan warga asing.
Program yang dijalankan di Rumah Perlindungan ini banyak berbentuk psiko-sosial, kerohanian, pendidikan dan jasmani. Malah, program – program yang dijalankan di Rumah Perlindungan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta NGO lain amat menitiberatkan keadaan mental mangsa dengan mengambil kira trauma yang telah mereka lalui. Namun begitu, perlu ada juga program yang dikhaskan untuk mereka yang dikategorikan sebagai mangsa jenayah paksa kerana pengalaman dan trauma yang dilalui oleh mereka mungkin berbeza dari mereka yang telah dieksploitasi untuk seks dan buruh. Dalam konteks ini, program yang berteraskan psiko-sosial boleh dilakukan dirumah mangsa atau di suatu tempat yang sesuai sekiranya mereka tidak ingin tinggal di Rumah Perlindungan. Ini dapat membantu mangsa pulih dan berintegrasi semula dengan masyarakat.
Tiga Cabaran
Walaupun usaha bersepadu membanteras jenayah paksa digerakkan di peringkat serantau, terdapat tiga cabaran utama yang timbul. Pertama, kekeliruan konsep pemerdagangan orag dimana ramai yang masih mengehadkan pemerdagangan orang kepada buruh paksa dan eksploitasi seksual, sedangkan eksploitasi untuk jenayah juga diiktiraf secara global. Kedua, kesukaran menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat, Ini kerana sindiket beroperasi merentasi sempadan dengan struktur kompleks serta teknologi canggih yang menyukarkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Ketiganya, kurangnya kerjasama undang-undang antarabangsa. Walaupun Malaysia menyertai “Bali Process,” kejayaan membanteras jenayah ini memerlukan kerjasama rentas negara yang lebih kukuh termasuk bantuan bersama dalam siasatan jenayah dan ekstradisi.
Sebagai penutup, menangani isu jenayah paksa ini memerlukan kesepaduan antara pendekatan penguatkuasaan undang-undang yang lebih holistik, pemahaman mendalam tentang dinamik pemerdagangan untuk jenayah paksa, serta memperkukuh kerjasama antarabangsa. Hanya dengan gabungan usaha ini rantau Asia Tenggara mampu memutuskan rantaian eksploitasi jenayah paksa yang semakin mencengkam ini. – NMH
Also read:
Serial Killers: Do They Exist In Malaysia?

Dr Haezreena Begum binti Abdul Hamid is a Criminologist and Deputy Dean of Higher Degree at the Faculty of Law, Universiti Malaya. Her research scope encompass areas such as human trafficking, prison, terrorism, gender, victimisation and international crimes
Facebook Comments