MERINTIS PEMBENTUKAN MALAYSIA TAHUN 1963 DAN PERKARA 20 SABAH DAN SARAWAK

Oleh Hisemudin Kasim

Sempena dengan Hari Malaysia yang jatuh pada hari ini, 16 September, saya salinkan kembali sebuah artikel yang saya tulis dalam BLOG saya pada 14 September 2013 yang lalu. Moga ia memberi manfaat dan kita faham tentang sejarah penubuhan Malaysia. Ia merupakan catatan sejarah dan saya lakukan penyelidikan untuk penulisan ini.

Kredit Imej malaysia todaynet

Pada 16 September 2013, genaplah penyertaan Sabah dan Sarawak selama 50 tahun dalam negara Malaysia. Jubli emas sambutan Hari Malaysia pada tahun tersebut akan dikenang sebagai hari yang amat bersejarah bagi penyatuan bangsa Malaysia walaupun dipisahkan oleh Laut Cina Selatan.

Menyusuri sejarah pembentukan Malaysia yang mana Semenanjung Tanah Melayu telahpun diberikan kemerdekaannya oleh pihak British pada 31 Ogos 1957. Ianya diberi nama Persekutuan Tanah Melayu.

Namun gagasan pembentukan Malaysia yang pada asalnya meliputi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei akhirnya tidak menjadi kenyataan. Ini kerana pemberontakan di Brunei yang menghalang gagasan ini. Sebenarnya gagasan ini pada awalnya dinamakan sebagai Melayu Raya tetapi diubah kepada Malaysia. Akhirnya pada 16 September 1963, lahirlah penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak yang dinamakan Malaysia.

Namun dalam tahun 1965, Singapura telah mengisytiharkan negara republik dan keluar dari Malaysia. Dengan penggabungan ini, maka Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu telah bergerak seiring berpandukan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh penduduk-penduduk Sabah dan Sarawak sendiri. Syarat-syarat ini dikenali sebagai Perkara 20 yang menjadi asas kepada penyertaan kedua-kedua negeri tersebut dalam Malaysia.

Sebelum kita memperkatakan tentang Perkara 20 yang juga sering diwar-warkan setiap kali adanya pilihanraya umum ataupun pilihanraya negeri, terutamanya oleh parti-parti politik tempatan bagi tujuan memanaskan suhu pilihanraya, eloklah kita meneliti dahulu senario sebelum terbitnya Perkara 20 itu.

Cadangan untuk penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak mula diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 27 Mei 1961. Ketika itu, Tunku menyuarakan cadangannya dalam satu majlis Jamuan Persatuan Wartawan-wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Singapura.

Pada tanggal 23 Ogos 1961 Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah bersetuju untuk bergabung tetapi Sabah dan Sarawak belum memberikan persetujuannya Foto Arkib Negara

Pada tanggal 23 Ogos 1961, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah bersetuju untuk bergabung tetapi Sabah dan Sarawak belum memberikan persetujuannya. Pada 15 November 1961, satu memorandum yang diberi nama “Singapore White Paper” dipersetujui oleh pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura untuk bercantum. Hasilnya, pada 20-22 November 1961, satu perbincangan telah diadakan di London bagi membawa bersama Sabah dan Sarawak dalam gagasan penyatuan ini.

Seterusnya, pada 16 Januari 1962, satu suruhanjaya telah dibentuk dengan diketuai oleh bekas Gabenor Bank of England, Lord Cobbold dan diberi nama sebagai Suruhanjaya Cobbold bagi membuat kajian tentang penyertaan Sabah dan Sarawak. Sementara itu, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Allayharham Tan Sri Mohd Ghazali Shafie bagi mewakili kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Manakala Antony Abell dan Watherston bagi mewakili kerajaan British.

Hasilnya, 80% penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia iaitu kebanyakannya terdiri daripada Bumiputra dan 20% menentang. Ini diperolehi setelah suruhanjaya menemui 4000 orang dan menerima tidak kurang 2200 pucuk surat dan memorandum daripada parti-parti politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, pemimpin-pemimpin ugama, kesatuan pekerja dan orang ramai.

Majoriti Terima Islam Sebagai Bahasa Rasmi

Majoriti rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju menerimapakai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, menerima Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Maka dengan itu, Suruhanjaya Codbold telah mengesyorkan supaya Perlembagaan Tanah Melayu untuk dijadikan asas bagi membentuk Perlembagaan Malaysia yang baru. Namun beberapa pindaan haruslah diadakan bagi menyesuaikan dengan kemasukan negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

Sehubungan dengan itu, jaminan-jaminan mustahak perlulah dibuat bagi memastikan kepentingan-kepentingan khas bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak. Oleh itu, Sabah dan Sarawak diminta untuk menyediakan laporan khas bagi penyertaan mereka ke dalam Malaysia.Laporan ini dikaji oleh satu jawatankuasa yang diwakili oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, kerajaan British, Sabah dan Sarawak. Ianya dikenali sebagai Jawatankuasa Antara Kerajaan atau Inter-Government Committee (IGC). Ianya diketuai oleh Lord Landsdowne dan timbalannya ialah Tun Abdul Razak Hussein. Antara anggota-anggotanya yang lain ialah Donald Stephen, Abang Haji Mustaffa, Temenggung Jugah dan beberapa lagi.

Sementara itu, Sabah dan Sarawak pula mengkaji dan membuat beberapa usul serta tuntutan bagi menjaga kepentingan mereka terutamanya bagi Bumiputra kedua-dua negeri. Usul-usul ini disediakan dalam bentuk memorandum dan setelah melalui perbincangan dalaman oleh parti-parti politik seperti USNO, UNKO United Party, Demokratik Parti dan United Pasok Momogun Organisation. Ianya berkisar kepada hal-hal kebebasan ugama, bahasa-bahasa lain selain dari bahasa Melayu, migrasi dan lain-lain kepentingan khas Bumiputra

Pada 29 Ogos 1962, Sabah membuat 20 usul dan Sarawak 18 usul. Setelah membuat penyesuaian dan beberapa pindaan, maka lahirlah apa yang dinamakan sebagai Perkara 20 sebagai syarat penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.

Maka pada 9 Julai 1963, telah ditandatangani perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Malaysia 1963. Pada 28 Ogos 1963, satu pindaan dibuat untuk menentukan tarikh penubuhan Malaysia iaitu pada 16 September 1963. Sesungguhnya inilah tarikh yang kita sambut sebagai Hari Malaysia!

Tajuk2 berita yang menggermbirakan Foto Arkid Negara
Tajuk berita yang menggejutkan Foto Arkib Negara

Jadi Apakah Perkara 20 Itu?

Perkara 1: Agama – Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia, akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara (Sabah & Sarawak).

Perkara 2: Bahasa – Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia• Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

Perkara 3: Perlembagaan – Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali. Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara (Sabah & Sarawak) sewajarnya amat diperlukan.

Perkara 4: Ketua Persekutuan – Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara (Sabah & Sarawak) tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.

Perkara 5: Nama Persekutuan – “Malaysia” bukan “Melayu Raya”.

Perkara 6: Imigresen – Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan, tetapi kemasukan ke Borneo Utara (Sabah & Sarawak) sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukkan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara (Sabah & Sarawak) jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja. Borneo Utara (Sabah & Sarawak) seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara (Sabah & Sarawak).

Perkara 7: Hak Menarik Diri – Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.

Perkara 8: Borneonisasi – Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara (Sabah & Sarawak) seharusnya diwujudkan secepat mungkin

Perkara 9: Pegawai-pegawai British – Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai British untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.

Perkara 10: Kewarganegaraan – Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k), cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan. Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama lima tahun. Untuk diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya menyatakan “Tujuh daripada 10 tahun” dan bukan “Lapan daripada 10 tahun”. Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

Perkara 11: Cukai dan kewangan – Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.

Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara – Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara (Sabah & Sarawak) seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara (Sabah & Sarawak)

Perkara 13: Kerajaan negeri – Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara (Sabah & Sarawak) seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.

Perkara 14: Jangkamasa Peralihan – Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini, kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara (Sabah & Sarawak) mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh Kerajaan Persekutuan.

Perkara 15: Pelajaran – Sistem pelajaran Borneo Utara (Sabah & Sarawak) yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan – Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara (Sabah & Sarawak) tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara (Sabah & Sarawak). Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.

Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan – Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara (Sabah & Sarawak) tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.

Perkara 18: Nama Ketua – Yang Di Pertua Negara.

Perkara 19: Nama negeri – Sabah atau Sarawak

Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lainPerkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara (Sabah & Sarawak). Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara (Sabah & Sarawak). Oleh kerana Perkara 20 yang menjadi asas perjanjian kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia dibuat lebih 50 tahun yang lalu. Maka masa beredar serta perubahan politik, intergrasi nasional dan pembangunan di Sabah dan Sarawak telah mencorakkan suasana perubahan minda bagi orang-orang Sabah dan Sarawak. Ada yang masih bertahan mahu Perkara 20 itu diikuti satu persatu tanpa mereka sendiri sedari sebenarnya mereka telahpun berubah dek pembangunan di sekeliling. Namun kadang-kadang ianya menjadi isu disebabkan oleh kepentingan politik terutamanya oleh parti-parti politik tempatan semasa pilihanraya. Terjemahan dan pentafsiran undang-undang oleh seseorang menyebabkan berlakunya percanggahan. Tetapi selagi kita mengamalkan sistem demokrasi, setiap pandangan harus diambilkira selagi ianya tidak melanggar etika perundangan dan dalam kerangka yang dibenarkan. Ada pula kalangan mereka yang mengatakan bahawa sesungguhnya Perkara 20 itu sudahpun mansuh. Ini kerana apa yang dinyatakan dalam Perkara 20 itu hanyalah perkara minima dalam satu konteks teks Perlembagaan Malaysia yang luas.

Jika sesuatu fasal peruntukan undang-undang dalam Perkara 20 juga harus dibaca bersama dengan peruntukan undang-undang Malaysia yang lain juga, maka kadang-kadang secara tidak langsung, apa-apa yang tercatat dalam Perkara 20 tidak terpakai sama sekali. Maka ia kelihatan Perkara 20 tidak diambilkira.Ini terutamanya yang melibatkan pembangunan, pendidikan, percukaian, keselamatan dan lain-lain. Manakala yang lainnya masih kekal dipegang oleh kerajaan negeri.

Yang lebih menonjol ialah tentang Imigresen kerana ia banyak melibatkan pergerakan antara rakyat Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Sebagai contoh, kerajaan Persekutuan tidak boleh terikat sangat dengan peruntukan Perkara ke 15 mengenai pelajaran dalam Perkara 20 tersebut. Di sini ia menyatakan, sistem pelajaran Borneo Utara (Sabah & Sarawak) yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri. Jika dibiarkan kerajaan negeri mencorakkan pendidikan, ia tidak akan selari dengan pendidikan nasional. Maka intergrasi nasional dan usaha mencapai kegemilangan pendidikan nasional tidak akan tercapai.

Begitu juga dalam sistem percukaian, mungkin telah ada formula pembahagian balik hasil bumi dan wang rakyat Sabah dan Sarawak yang disalurkan dalam bentuk tunai ataupun pembangunan infrastruktur dan sebagainya, namun kutipan percukaian rakyat dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Namun demikian Sabah dan Sarawak masih menikmati percukaian dari hasil bumi dan beberapa perkhidmatannya yang dikendalikan sendiri.

Dalam isu Imigresen, sering diperkatakan oleh mereka yang tidak mengetahui mengapa untuk pergi ke Sabah dan Sarawak memerlukan seseorang itu mempunyai passport antarabangsa atau passport terhad walaupun kini telah dipermudahkan dengan penggunaan Mykad. Pihak imigresen kedua-dua negeri juga berkuasa untuk tidak membenarkan seseorang dari Semenanjung untuk mendapat kebenaran mendarat PTL (Permitted To Land) jika merasakan kedatangan mereka akan menggugat keselamatan dan ketenteraman awam. Kes dua orang ahli politik pembangkang yang terpaksa kembali ke Kuala Lumpur, malah seorang daripadanya terpaksa diusung keluar setelah tidak dibenarkan masuk ke Sabah beberapa bulan dahulu adalah berdasarkan peruntukan dalam Perkara 20 mengenai Imigresen. Ia sebenarnya tidak boleh dicabar!

Tentang keselamatan dalam negeri langsung tidak disentuh oleh Perkara 20. Ia secara langsung dimengertikan bahawa ia adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Maka kestabilan dan keselamatan Sabah dan Sarawak hari ini dalam menangani pemberontakan Komunis dahulu serta keselamatan perairan Sabah dan Sarawak yang begitu luas memerlukan komitment dari kerajaan pusat. Kes Lahad Datu yang baru lalu mengingatkan kita bahawa kesatuan Sabah dan kerjasama rakyatnya dalam Malaysia adalah bagai aur dengan tebing.

Mengenai Penulis: Megat Mohd Hisemudin adalah seorang bekas jurutera awam yang kini bergiat dalam pendidikan sebagai pengarang matematik silibus sekolah rendah dan menengah.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com

Latest articles

Related articles