Mencari Kelainan Dalam Bidadari Kiriman Tuhan

0
1433

Oleh Saodah Ismail

Terlebih dulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pengarah drama, sahabat lama saya, Rashid Sibir. Bukan saja kerana telah menyebabkan saya bengkak mata menyaksikan episod penutup tirai dramanya malam tadi, bahkan telah mengembalikan saya untuk menonton semula drama Melayu setelah sekian lama.

Sejak dua tahun lalu saya hanya on tv untuk menonton drama Korea. Saluran saya hanya One HD. Itu saja, baik siang atau malam. Siaran RTM,TV3 dan Astro langsung tak pernah saya singgah. Orang kata ia satu escapism, tapi buat saya ia satu peralihan yang menyegarkan kerana drama Korea mendukung ciri kasih sayang dan kekeluargaan di samping keindahan lokasi dan lakonan yang terpuji. Namun, di sebalik semua ini, saya rasa apa yang menyebabkan kita rakyat Malaysia tertarik dengan drama Korea adalah kerana ia tidak klise. Lain yang kita jangka, lain pulak kesudahannya.

Drama Melayu Sekarang Terlalu Klise

Ini sangat berbeza dengan drama Melayu terutama drama yang dihasilkan sekarang ini kebanyakannya diangkat dari novel. Ia menjadi trend apabila stesen TV, baik RTM, TV3 mahupun Astro lebih menggemari drama dari novel yang kebanyakannya mempunyai ending yang sangat klise. Kisahnya mesti orang bandar, rumah besar, kereta mewah dan  dengan watak Datuk syarikat korporat. Kerana ini corak yang digemari stesen TV, hampir setiap drama jadi serupa. Saya tidak salahkan penerbit kerana mereka hanya memberikan apa yang diminta dan tentunya mereka menyediakan apa yang lebih dikehendaki oleh pihak penyiar. Di mana ada deman, di situ ada supply. Pada saya, yang salah adalah stesen TV kerana jadi kemaruk mahukan drama dari kisah novel sehingga telah mematikan industri  karya kreatif yang suatu ketika dulu merupakan kekuatan dalam penerbitan filem dan drama. Kita mempunyai ramai penulis -penulis skrip  hebat sepertimana yang berlaku pada tahun 90an. Tapi mereka sudah hilang dari radar apabila stesen TV lebih berminat pada naskhah novel untuk dijadikan drama. Dan itulah situasinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebab itu, kita jadi kurang minat menonton drama-drama bersiri kerana kebanyakannya, kita dah boleh agak endingnya macam mana. Tak best, kan?

Tapi, berbeza dengan drama Bidadari Kiriman Tuhan  yang bersiaran  sejak 25 Ogos lepas. Ia  terbitan Opera Klasik Sendirian Berhad, arahan Rashid Sibir disiarkan di Astro Ria, berakhir semalam 5 Oktober 2020. Drama Bidadari Kiriman Tuhan membawa kelainan dan ia mengembalikan zaman kegemilangan drama  dengan  kehidupan masyarakat Melayu yang penuh dengan rencam cerita suka duka.

Dan jika selama ini drama Melayu hanya berligar sekitar watak orang muda dengan Datuk Datuk kaya dengan rumah banglo besar dan kereta menjalar di bandar besar yang moden, tapi Bidadari Kiriman Tuhan membawa kisah kehidupan dalam sebuah masyarakat kampung, padat dengan watak watak yang padu, termasuk watak orang tua. Iaitu watak lakonan Ruminah Sidek yang buat pertama kalinya berganding dengan anaknya Adlin Aman Ramlie. Apa yang menarik drama ini juga menampilkan barisan pelakon lama lain seperti Fauziah Nawi, Dian P Ramlee, Zarina Zainuddin dan Raja Azura dengan bintang utamanya, Mira Filzah dan Zul Ariffin.

Cerita mengenai seorang gadis Manis, lakonan Mira Filzah, seorang guru tadika yang tabah dan redho dengan takdir Allah dengan adik kembarnya Manja, seorang remaja autisme yang tinggal bersama ibu (Zarina Zainuddin) dan nenek (Ruminah Sidek). Manis bercinta dengan Cikgu Yusuf (Zul Ariffin), seorang guru sekolah rendah tapi Manis kemudiannya telah dikahwinkan dengan anak Ikram (Adlin Aman Ramlie), anak orang kaya kampung, MakSom (Fauziah Nawi).

Sebilangan besar pelakon yang membarisi drama ini adalah artis yang saya kenal di zaman saya sebagai wartawan hiburan, kecuali beberapa pelakon muda yang bukan dari era saya. Kerana itu, saya tidak kenal siapa Mira Filzah kecuali tahu namanya. Jadi, apabila saya menonton dan melihat watak Manis dan Manja, dua beradik kembar yang sangat seiras itu, saya katakan, dasyat produksi Rashid ini, castingnya hebat kerana boleh dapat pelakon yang seiras untuk pegang watak Manja dan Manis. Lalu saya ajukan perkara tersebut kepada anak saudara saya, mereka kata, kedua-dua watak itu adalah orang yang sama – Itulah Mira Filzah!

Untuk coretan ini, saya menghubungi Rashid dan memberitahunya tentang hal tersebut. Bahawa saya sangkakan Manis dan Manja adalah dua pelakon berasingan, tapi sangat serupa! Dia ketawa dan memberitahu yang tugasan itu sebetulnya amat mencabar kerana ia adalah pertama kali buat Miira dan ia juga cubaan pertama bagi pengarah. Sememangnya jarang dibuat watak seperti ini dan saya pernah lihat teknik serupa digunakan dalam  sebuah drama Korea, Good Witch, di mana Lee Da Hae memegang dua watak kembar.

Body Double

Ini tentunya sangat mencabar terutama dalam menghasilkan body double agar Mira tetap kelihatan  seperti Manis dan pada masa yang sama menjadi adik, Manja. Kekuatan ini juga bergantung pada kerja  kerja penyuntingan (editing) yang rapi bagi memboleh kejayaan ini. Dan ia juga memerlukan kerja yang sangat teliti, bukan saja di pihak pengarah bahkan pelakon yang memegang watak ini, iaitu Mira Filzah. Setiap gerak mesti diteliti, Manis berjalan cara lain dan Manja pula lain. Mira telah memberikan yang terbaik untuk menghidupkan watak Manis dan Manja. Rashid kata, kejayaan watak Manis dan Manja itu adalah disebabkan Mira merupakan seorang pelakon yang berbakat besar walau hanya mempunyai tujuh tahun pengalaman bahkan mempunyai sikap yang terpuji selain disiplin dan kemampuan untuk bekerja yang tinggi.Dia mempunyai dedikasi sebagai pelakon.

Wow! Sukanya saya mendengar sisi ini tentang Mira Filzah yang perkahwinannya menjadi viral di media sosial. Selama ini melalui media sosial ramai yang hanya melihat pelakon ini sebagai artis jelita yang menjadi rebutan jejaka. Rupanya, dia mempunyai banyak kelebihan lain. Sisi ini yang harus diketengahkan, iaitu bukan saja cantik, bahkan berbakat besar dan mempunyai sikap yang disenangi oleh para penggiat industri. Syabas Mira, anda telah dikurniakan kelebihan rupa paras dan peribadi yang baik dan anda juga telah memberikan keadilan pada kelebihan yang diberikan Allah itu. Jika kelebihan ini dikekalkan dengan baik , pelakon jelita ini boleh pergi lebih jauh dalam industri lakonan seperti aktres hebat kita yang terdahulu…

Suka saya pinjam kata kata Ayah Rani, kipidap, dongibab, Mira Filzah. – New Malaysia Herald

Apakah Kelainan Drama Bidadari Kiriman Tuhan? Sebuah Drama Astro Ria Arahan Rashid Sibir.
<em>Mengenai penulis Saodah Ismail adalah bekas pengarang hiburan penulis kanan stesen Astro TV bekas koresponden dan kolumnis Berita Harian Singapura Penulis buku dan banyak lagi cerita nak dikongsi melalui coretan beliau<em>

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com