Pinggan Terapung, Bunyi Troli Di Luar Sel Penjara Ayer Molek

0
4468
Kisah Malam Jumaat - Baca koleksi cerita hantu setiap malam jumaat di New Malaysia Herald
Kegemaran Badrolhisham Bidin memang pelik. Beliau gemar menerokai bangunan tinggal, mencari ketenangan di sana, namun sebenarnya dia takut dengan hantu. Badrolhisham juga suka menulis di FB dan boleh dihubungi di badcute@gmail.com.

Oleh Badrolhisham Bidin

Sebuah bangunan yang tersergam tapi menggerunkan. Berdiri megah di tengah-tengah Bandaraya Johor Baru, Penjara Ayer Molek menjadi seperti kusta dan dijauhi penduduk JB melainkan petugas yang tinggal di kuarters berhampiran.

Bangunan yang mula beroperasi pada tahun 1883 terletak di atas tapak 4.5 ekar telah menempatkan beribu penjenayah sepanjang ia beroperasi, termasuklah banduan di zaman Jepun.

Menurut cerita, ramai di antara mereka yang dipancung berhampiran sebuah telaga dan menjadi tempat yang paling berpuaka di situ.

Penjara ini ditutup pada tahun 2005 dan banduan dipindahkan ke penjara baru di Kluang, Johor.

Ia kemudiannya dibuka kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri keadaan penjara. Di antara tarikan ialah pengunjung berpeluang tidur semalam di dalam sel-sel yang dahulunya didiami oleh banduan pelbagai kesalahan.

Walaupun tidak ramai yang sanggup bermalam di sana, sekumpulan wartawan dipelawa untuk merasai sendiri kehidupan seorang banduan, penulis adalah di antara wartawan yang mengikut ekspedisi gila ini.

Kami mula dibawa masuk pada pukul 6 petang. Selepas mendaftar sebagai banduan dan diherdik, ditengking oleh pegawai bertugas, kami diarah untuk bertukar pakaian, iaitu baju dan seluar pendek sebelum diberi taklimat.

Mencangkung Di Tepi Longkang

Kami diarah mencangkung di tepi longkang dan tunduk. Kami juga tidak dibenarkan melihat pegawai-pegawai yang berada di hadapan kami.

Riuh rendah penjara yang sunyi untuk beberapa bulan kedengaran lebih-lebih lagi dengan kehadiran krew TV3 dan wartawan lain yang membuat liputan.

Selepas itu, kami dibawa ke sel masing-masing. Ada dua orang “banduan” wanita yang ditempatkan di dalam satu sel sementara yang lain diasingkan.

Saya dimasukkan ke dalam sebuah sel kecil dan dikunci dari luar. Dengan bantuan cahaya lampu malap dari siling yang tinggi, saya ternampak sebuah tikar, baldi hitam dan baldi kecil berisi air di atas simen.

Dari apa yang diceritakan awal tadi, baldi tersebut adalah “tandas” saya yang mesti dicuci sendiri keesokannya.

Tidak lama kemudian seorang pengawal membawa satu dulang berisi pinggan nasi dan seekor ikan goreng sejuk. Saya memegangnya dan merasakan seperti ikan plastik.

Terdetik di hati, para pegawai penjara nak kenakan kami supaya kami sakit perut dan terpaksa menggunakan “tandas” tadi. Oleh kerana itu, saya rela berlapar. Makanan tidak diusik. Nasib baik saya sudah mengisi perut waktu minum petang tadi.

Betullah kata-kata banduan yang pernah saya temu bual sebelum ini. Memang waktu berjalan lambat jika anda dikurung.

Tik tok! Tik Tok!! Masa berjalan. Ketika menghampiri 11 malam, kedengaran suara warden menjerit…lampu akan ditutup! Tidur!

Mata pula tidak mengantuk walaupun lampu sudah dipadam. Hanya cahaya dari luar mencuri masuk melalui tingkap kecil di dinding.

Batu dinding rasanya mahu lebih sekaki tebal, memang tidak kedengaran apa-apa, hanya air mengalir deras dari bawah lantai.

“Air?” Saya bergumam. Mungkin juga ada anak sungai melalui bawah sel kami. Senyap sunyi. Saya memandang dinding dan ternampak dua batang pencungkil gigi melekat di dinding.

Dari apa yang diberitahu awal tadi, pencungkil gigi digunakan untuk mengira berapa tahun lagi banduan kena kurung.

Tetapi, dengan satu kerdipan, saya ternampak sudah ada tiga batang pencungkil gigi yang melekat di dinding. Saya pejamkan mata. Memang sah suatu mistik berlaku. Kini ada empat. Saya biarkan. Saya tidak akan menyerah, biar apa pun terjadi.

Saya terus berbaring di atas tikar nipis dan memejamkan mata. Sesekali melihat jam di telefon bimbit. Bukan sejam berlalu, tetapi hanya beberapa minit.

Bosan, saya duduk bersila di dinding sambil memerhati pinggan nasi tadi. Eh! Pinggan tadi terapung di udara sebelum turun ke lantai. Saya pandang sekeliling dan kemudian melihat di bawah pinggan tadi.

“Ntah-ntah, orang penjara ini nak kenakan aku? Mungkin juga ada alat remote control yang terletak di bawah pinggan,” kata saya di dalam hati sambil tercari-cari tetapi tidak bertemu apa-apa.

Kemudian, berderau darah apabila terdengar bunyi troli ditolak di luar sel. Gedegang gedegung, bunyi bingit memecah kesunyian. Mungkin warden sedang bekerja, pujuk hati saya.

Tidur-tidur Ayam

Saya tidur-tidur ayam, setiap kali tersedar waktu hanya bergerak beberapa minit. Bayangkan mereka yang terpaksa menjalani hukuman penjara berpuluh tahun.

Apabila azan Subuh kedengaran sayup-sayup, hati ini yang berdebar-debar terus merasa lega. Ini bermakna hanya tinggal lebih kurang dua jam lagi untuk saya dilepaskan.

Lebih kurang pukul 7.30 pagi, kedengaran bunyi derap-derup, bunyi kasut warden dan serentak dengan itu, pintu sel dibuka. Gedegang!

“Kamu boleh keluar. Bawa tong hitam tu ke luar untuk dicuci,” warden itu mengarahkan. Adalah sekali dua saya buang air kecil di dalam tong hitam itu sepanjang malam tadi.

Setelah mencuci bersih tong hitam itu di luar bangunan, saya dibawa ke sebuah dewan untuk sarapan pagi.

Barulah warden-warden yang kelihatan garang malam sebelumnya bertegur sapa dan berborak dengan kami.

Setelah menceritakan pengalaman saya, seorang warden menerangkan saya diletakkan di dalam sel yang dikatakan paling “berhantu” kerana saya banyak cakap ketika didaftar.

Pinggan terapung, pertambahan pencungkil gigi di dinding dan bunyi troli itu menandakan saya diusik.

Troli Mayat

Menurut warden, laluan di luar sel saya dahulunya digunakan untuk menolak troli mayat-mayat banduan dari bilik mayat ke luar.

Terdapat juga sebuah anak sungai di bawah penjara yang menerangkan bunyi desiran air.

Seorang dari “banduan” wanita pula terdengar bunyi tapak kaki kuat seolah-olah menuju ke sel beliau.

Ditunggu-tunggu, tiada siapa pula yang datang.

Selepas berakhirnya majlis penyerahan sijil penyertaan, kami pun pulang.

Sampai di rumah, saya memeriksa gambar-gambar yang diambil ketika di dalam penjara. Salah satu gambar yang saya ambil secara rawak di luar sel terdapat bentuk seorang wanita berbaju putih dan berambut panjang sedang memerhati saya.

Apa yang berlaku di dalam sel itu masih terpahat di dalam ingatan saya. Tidak dapat dibayangkan bagaimana saya boleh bertahan selama 12 jam di dalam sel yang sempit seorang diri.

Kini bangunan bersejarah ini terbiar di tengah-tengah bandaraya, mungkin menanti masa untuk diroboh dan digantikan dengan bangunan pencakar langit. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com