DS Vida La Vida Berlakon Demi Cik-B, Anak Beliau Yang Berbakat

0
588
Siapa sangka lagu I Am Me oleh DS Vida boleh mencapai 50,000 penonton dan 128k likes di YouTube

Alang-alang penulis New Malaysia Herald menjadi ‘pak pacak’ sebagai wartawan dalam telemovie yang bakal ditayangkan oleh Astro Ria, apa kata terus melakukan ‘tugasan’ dengan menemuramah Datuk Seri Vida (DSV) pula sebelum balik ke Puchong. Maka penulis dan beberapa rakan media online pun setelah mendapat ruang dan peluang, kami pun berkumpul dan mengambil tempat masing-masing. Memandangkan hari sudah petang dan DSV pun ada urusan lain, temuramah kami di jalankan dengan agak pantas. Terima kasih kepada DSV yang peramah dan tidak lokek untuk berbicara bersama kami.

DSV atau nama sebenar Dr Hajjah Hasmiza bt Othman, lahir pada 24 Oktober 1971, adalah anak kelahiran Kelantan yang merupakan ikon usahawan wanita yang berjaya, dan merupakan seorang yang ‘adventurous’ dari segi mempromosikan produk perniagaan dengan ‘branding’ tersendiri. Single sulungnya bertajuk “I Am Me” telah dilancarkan pada 14 Julai 2017, di mana ia digubah oleh Edry Abdul Halim (Edry KRU) dan telah mendapat tontonan 50,000 penonton dalam tempoh dua hari setelah dimuatnaik ke YouTube.

Memegang watak sebgai Pengurus Cik Beyonchey Cik B dengan Chubb E dan Cat Farish dalam Telemovie Jay Jie X Cik B Yonchey

Penyokong Setia Anak

Bercerita tentang telemovie yang bakal di tayangkan di Astro Ria, DSV lebih banyak memperkatakan tentang anak beliau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau Cik B yang merupakan watak utama.

“Telemovie adalah sangat menghiburkan  dan saya hanya dimasukkan last minit. Saya menerima tawaran ini sebab mahu memberi semangat dan menemani anak saya. Sebagai ibu, saya tahu kekuatan anak saya adalah bakat yang dia ada. Cik B bukan sahaja berkebolehan untuk berniaga, dia juga berbakat menulis lirik, melawak dan berlakon.” Menurut DSV, pada awalnya, Cik B banyak menulis lirik lagu, tetapi hanya simpan dan malu nak tunjuk kepada ibunya.

“Setelah saya tahu kebolehan anak saya, satu persatu kebolehannya saya cuba ketengahkan. Termasuk untuk menjadi watak utama dalam telemovie ini. Saya pernah menghadapi pengalaman yang kurang mengembirakan semasa berlakon satu masa dahulu, dan bab menghafal skrip adalah yang saya paling lemah.

“Bukan sedikit pengorbanan masa apabila berlakon. Saya sampai di lokasi dan pulang ke hotel kadangkala jam 3 pagi. Kesabaran yang tinggi diperlukan semasa menunggu ‘scene’ lakonan.” Pada DSV, kehadiran beliau yang paling utama adalah sebagai peneman anak agar beliau tidak rasa sunyi apabila balik ke hotel setelah habis penggambaran.

Momen Remaja Yang Hilang

Dengan kesibukan Cik B yang tidak selari dengan usianya yang baru menjangkau 16 tahun, ramai yang bertanya adakah Cik-B kehilangan dunia remaja kerana begitu sibuk di ‘alam dewasa’ kerana mengikut jejak langkah ibunya.

“Berkenaan momen remaja Cik B, adalah benar bahawa dia tidak berkawan dengan rakan-rakan  yang sebaya dengan dia. Dia berkawan dengn pekerja-pekerja saya yang lebih dewasa.  Mungkin kerana itulah fikiran dia lebih matang daripada umur sebenar. Dia juga ada dua tiga ‘alam’, sebagai seorang rapper dan penghibur yang nama meningkat naik, seorang anak dan kakak  yang sangat penyayang, serta seorang individu yang baik hati, pemurah dan suka membantu orang lain. Berjiwa halus dan sensitif, walaupun kurang dengan rakan sebaya, tetapi sentiasa ada untuk adik kesayangannya, Kacak,” kata DSV.

Kacak adalah adik Cik B, nama sebenar ialah Muhammad Eric Zakuan berusia 14 tahun. Terdahulu DSV telah kehilangan dua orang anak lelakinya yang meninggal dunia akibat kebakaran dalam satu kejadian pada tahun 2013.

DSV juga mengakui bahawa Cik B tidak berkawan dengan sebarangan orang kecuali anak-anak pekerja dan pekerja-pekerja beliau.

Cik-B Anak Yang Membanggakan

”Saya sebagai ibu berbangga melihat cara Cik B menjawab pihak media, sangat matang dan ‘cool’. Saya bukan mahu memuji Cik B bagus kerana dia anak saya. Dia bagus kerana atas usaha dia sendiri, dia banyak belajar daripada internet dan persekitaran. Kerana itu, saya mahu menggilap dan mengangkat semua bakat yang dia ada. Saya bukan mahu memuji anak sendiri, tetapi dia memang bagus. Kerana itu saya perlu mengangkat bakat dia. Dulu, dia pemalu dan tidak mahu berkongsi koleksi lagu ciptaan dia dengan saya. Sekarang dia dah mula keluar dari kepompong dan tidak malu menyanyikan sendiri lagu-lagu ciptaan dia.”

Kejayaan Cik B berjaya menambat hati peminatnya apabila single pertamanya hasil ciptaan bersama Cik B dan DSV berjudul ‘Tolonglah’ yang menceritakan tentang liku-liku kehidupan Cik B sedari kecil di mana beliau melalui saat-saat getir didera pembantu rumah, kehilangan insan tersayang, isu keluarga dan sebagainya. Lagu tersebut meraih lebih 3.2 juta tontonan di YouTube. Pembikinan video lagu tersebut dilakukan di rumah dan gudang sambil dibantu oleh kakitangan Wisma Vida Beauty.

Harapan Seorang Ibu

DS Vida sebagai pelakon tambahan dalam Telemovie untuk hari raya demi menemani anak dia Cik B yang merupakan pelakon utama

Menurut DSV lagi, antara tiga bakat Cik B, yang paling menyerlah adalah menyanyi dan menulis lirik lagu. “Bagi saya kekuatan anak saya adalah dalam bidang seni hiburan selain daripada bidang keusahawanan, di mana dia boleh menyanyikan sendiri lirik yang dia tulis. Namun bagi saya, saya mahu Cik B dapat menjayakan semua yang di cita-citakan berbekalkan bakat yang dia ada. Sebenarnya, saya mahu asah bakat dan beri pendedahan, dan meletakkan dia sebgai seorang yang berjaya dalam semua bidang, sementara saya masih diterima dan saya ada penyokong dan peminat yang juga akan menyokong perjalanan seni dan kerjaya Cik B.” 

DSV juga memberitahu bahawa beliau anak-beranak sedang menunggu kemasukan ke kolej untuk Cik B, yang akan mengambil jurusan kejuruteraan programmer dan selepas urusan Cik B selesai, masa untuk menggilap potensi Kacak pula, dan  saya boleh berehat.”

Dari segi kerja-kerja kebajikan pula, DSV lebih suka melakukannya tanpa sebarang publisiti kerana pada beliau kerja-kerja sebegitu berpegang kepada prinsip lebih baik tangan kanan memberi, tanpa di ketahui oleh tangan kiri.

Nantikan kemunculan DSV bersama-sama Cik B, Cat Farish, Ifa Raziah dan bakat-bakat muda seperti Chubb-E, Yonni Boii dan Zynnakal dalam Telemovie Jay-Jie X Cik B-Yonchey pada hari raya ke-3, pukul 10.00 pagi di Astro Ria. – New Malaysia Herald

Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal ehwal domestik, penulis juga seorang Aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan-makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com