UMNO Menjunjung Kasih Titah Agong Persidangan Parlimen Diadakan Segera – Zahid

Kuala Lumpur: UMNO menjunjung kasih dan menyokong penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Presiden Umno Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.

“Saya amat menghargai kecaknaan Seri Paduka Baginda yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan ketika sesi mengadap pada 11 Jun lalu.

“Dalam sesi mengadap tersebut, saya turut menjelaskan bahawa Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang sedang dalam kesempitan seperti tuntutan Moratorium automatik secara pukal, kawalan harga barang, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan khas kepada rakyat sekaligus memulihkan semula ekonomi negara,” kata Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Zahid, yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datoh turut berkata, UMNO juga mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk Darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, sedangkan tanpa Darurat Kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19.

“UMNO juga mendokong dan memandang serius saranan Seri Paduka Baginda akan keperluan mewujudkan sebuah Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Sekali lagi UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih tidak terhingga kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu yang sentiasa menjadi sandaran dan payung tempat rakyat berteduh di saat-saat rakyat amat susah dan gelisah memikirkan tentang kelangsungan hidup mereka,” kata Zahid.

Terdahulu, Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi membincangkan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Majlis Raja-Raja Melayu sebulat suara memutuskan tiada keperluan untuk meneruskan darurat dan Parlimen harus bersidang dengan segera.

Kesemua Raja-Raja Melayu hadir kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V difahamkan tidak menghadiri sesi kali ini.

Perbincangan khas itu berlangsung kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ia merupakan kali kedua perbincangan khas seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019. New Malaysia Herald

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com

Latest articles

Related articles