Sebelum kita membicarakan tajuk ini dengan lebih lanjut, terdapat beberapa terma ekonomi dan polisi monetari yang harus difahami terlebih dahulu agar mudah kita memahami keseluruhan artikel ini.
Susut nilai matawang atau currency depreciation ialah merujuk kepada penurunan nilai matawang sesebuah negara berbanding dengan nilai matawang negara lain.
Sebagai contoh, jika 1 Dollar Amerika boleh ditukarkan kepada 1 Dollar Canada, maka matawang itu dikatakan punyai PARITI. Namun pada realitinya tidak berlaku demikian tetapi ia berlaku pada Singapore Dollar dengan Brunei Dollar, yakni S$1 = B$1. Ini dinamakan pariti.
Jika terdapat perubahan pertukaran kadar matawang di mana 1 Dollar Amerika boleh ditukarkan kepada 0.85 Dollar Canada, maka Dollar Amerika telah hilang nilai secara relatif kepada Dollar Canada dan itulah disebut sebagai penyusutan @ depreciation.
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada penyusutan nilai matawang sesebuah negara, ini termasuklah polisi monetari, kenaikan harga barang-barang atau inflasi, permintaan terhadap sesuatu matawang, pertumbuhan ekonomi, nilai eksport dan faktor dalaman sesebuah negara yakni kestabilan politik yang menyumbangkan kepada kemantapan polisi dan pentadbiran.
Nilai Semakin Kuat
Reserve currency adalah merujuk kepada Dollar Amerika. Ia digunakan oleh hampir keseluruhan negara-negara di dunia untuk urusan pembelian komoditi seperti minyak, emas, gandum dan lain-lain. Apabila penjual komoditi ini menghendaki pembayaran dibuat dalam reserve currency (yakni Dollar Amerika) maka terdapat satu permintaan palsu (artificial demand) telah diwujudkan terhadap Dollar Amerika yang membuatkan nilainya semakin kuat dan memonopoli sistem pembayaran.
Secara amnya pengukuhan matawang sesebuah negara banyak bergantung kepada eksport komoditinya atau dalam kes Singapura sebagai pelabuhan entreport serta kekuatan perkhidmatan kewangannya. Lantaran itu ia punyai rizab negara yang banyak dalam bentuk matawang asing yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran. Dalam kes Sri Lanka, negara ini tidak punyai rizab negara dalam matawang asing untuk membuat pembayaran dan pembelian komoditi yang akhirnya jatuh muflis.
Namun dalam kes Amerika Syarikat, imbangan perdagangannya ialah berbentuk defisit di mana import lebih banyak daripada eksport. Maka Amerika Syarikat menggunakan kaedah reserve currency untuk mengukuhkan Dollar Amerika. Bukan itu saja, malah Amerika Syarikat “menjual hutang” untuk mendapat keuntungan.
Amerika Syarikat menggunakan polisi monetari untuk mendapatkan pembiayaan dalam negara melalui bank negaranya yang dikenali sebagai Federal Reserve @ Fed. Dengan menaikkan atau menurunkan kadar faedah bagi mengimbangi kecairan dalam negara.
Merendahkan kadar faedah atau disebut sebagai “easing” dengan menggalakkan pelabur meminjam wang untuk digunakan oleh pelanggan dan sektor perniagaan bagi merancakkan ekonomi Amerika Syarikat. Namun lama-kelamaan ia semakin melemahkan Dollar dan berlaku penyusutan kerana Dollar Amarika tidak disandarkan kepada emas atau eksport komoditinya.
Namun situasi sekarang Fed menaikkan kadar faedah untuk mengekang inflasi di Amerika Syarikat yang mencecah 8.5%. Secara tidak langsung pengurus dana global tertumpu ke Amerika Syarikat dengan membeli Dollar bagi mendapatkan pulangan yang lebih baik. Sebab itu permintaan terhadap Dollar semakin mengukuh.
Sejak beberapa bulan ini krisis Russia-Ukraine telah meletakkan dunia dalam keadaan tidak selamat maka sekali lagi Dollar Amerika yang dikatakan matawang paling selamat (sebenarnya ialah Yen Jepun) lalu semakin ramai berebut membeli Dollar Amerika.
Banyak negara besar kini cuba untuk mengelakkan penggunaan Dollar Amerika dalam urusan pembayaran. Semasa krisis Russia-Ukraine sekarang, Russia mahukan Ruble digunakan sebagai matawang pembayaran bagi negara-negara di Eropah timur yang mendapat bekalan gas dari Russia. Malah Russia mengumumkan pada 25hb Mac lalu 5,000 Ruble untuk 1 gram emas sebagai asas standard pautan Ruble dengan emas.
Pembayaran minyak yang dibeli oleh China dari Arab Saudi sebahagiannya menggunakan Yuan China. Malah Amerika Syarikat amat bimbang dengan semakin banyak negara menggunakan Yuan menggantikan Dollar Amerika sebagai matawang pembayaran.
Bagaimana pula dengan Ringgit dan matawang serantau?
Susut nilai Ringgit berbanding Dollar Amerika dan Dollar Singapura menjadi tajuk perbincangan hangat di mana-mana kerana ia secara langsung menghimpit kehidupan rakyat yang banyak bergantung kepada import bahan makanan khususnya.
Apa tidaknya isu ayam yang mahal sekarang. Ada yang bertanya, bukahkah ayam diternak dalam negara? Betul, tetapi jagung bijian yang menjadi 50% – 70% formula makanan ayam diimport dari luar khususnya Brazil dan Argentina. Kesemuanya dibeli dengan Dollar Amerika.
Dengan tukaran US$1 = RM4.40 dan S$1 = RM3.20 pada 26hb Mei, ia adalah yang terburuk sejak beberapa tahun ini.
Mengapa Ianya Terjadi Begini?
Polisi monetari negara adalah berdasarkan kadar tukaran asing @ forex yang meruap (volatile) di mana ia ditentukan oleh pasaran dengan bebas. Secara relatif, apabila Dollar Amerika meningkat maka Ringgit menyusut.
Disebabkan perubahan kadar faedah di Malaysia adalah PERLAHAN berbanding faedah di peringkat antarabangsa, maka selisih atau perbezaan kadar ini akan diterjemahkan kepada kelemahan Ringgit.
Perubahan kadar faedah yang RENDAH di Malaysia adalah bertujuan mengurangkan “kekejutan” akibat perubahan fasa pandemik Covid-19 kepada endemik serta pembukaan banyak sektor yang dianggap baru nak bernafas kembali. Jadi ia harus ditangani secara perlahan-lahan.
Berbanding Singapura begitu cepat mengikut perubahan kadar faedah antarabangsa khususnya Amerika Syarikat, maka sebab itulah jurang penyusutan antara Ringgit dengan Dollar Singapura agak ketara. Dengan itu pengukuhan Dollar Amerika bermakna pengukuhan bagi Dollar Singapura juga. Secara tak langsung dilihat penyusutan Ringgit adalah selari dengan Dollar Amerika dan Dollar Singapura.
Dengan kadar faedah yang tinggi akan mengurangkan jumlah pengedaran wang di pasaran dan mengurangkan inflasi kerana pinjaman bank semakin mahal tetapi simpanan wang mendapat pulangan yang lebih baik. Itulah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan pengurus dana global berebut menyimpan wang di Amerika Syarikat bagi mendapat pulangan yang lebih tinggi.
Kelemahan Yuan China berbanding Dollar Amerika juga secara tidak langsung memberi kesan kepada penyusutan Ringgit kerana Malaysia adalah rakan dagang yang besar dengan China.
Mengikut pakar-pakar ekonomi dan kewangan bahawa kenaikan nilai Dollar Amerika berbanding Ringgit adalah normal dan ia bersifat sementara serta dianggap sebagai technical correction atau pembetulan teknikal sehingga berlaku satu keseimbangan kemudiannya atau juga self-correcting.
Ia bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan sangat kerana fundamental ekonomi Malaysia adalah kukuh. Dalam suku pertama (Q1), 2022 pertumbuhan ekonomi negara berkembang 5% berbanding tempoh yang sama Q1 2021 ialah 0.5%. Dengan sektor eksport semakin mengukuh dan dijangka KDNK bertambah baik untuk “outlook” 2022.
Kita juga tidak perlu untuk menambat Ringgit kepada Dollar Amerika seperti yang berlaku semasa krisis kewangan Asia di tahun 1998 dahulu. Kerana situasi ketika itu Ringgit diserang oleh penyangak matawang dan pengaliran Ringgit keluar negara. Maka Ringgit ditambat kepada RM3.80 untuk US$1 dan dilakukan kawalan modal (capital control). Akhirnya kita kehilangan daya saingan dengan negara-negara jiran dan para pelabur enggan lagi untuk menanam modal di Malaysia.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Nor Shamsiah Mohd Yunus, kejatuhan Ringgit sebanyak 4.4% berbanding Dollar Amerika dan 2.4% berbanding Dollar Singapura adalah mengikut trend terkini. Beberapa matawang asing yang lain juga memperlihatkan trend yang sama.
Yen Jepun merosot 10.4% berbanding Dollar Amerika, Pound-UK sebanyak 7.3%, Won Korea Selatan sebanyak 6% dan Thaibath sebanyak 2.7%.
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$111.4 bilion pada 13 Mei, 2022 berbanding dengan AS$112.5 bilion pada 29 April, 2022. Ia memadai untuk membiayai 5.6 bulan import barangan dan perkhidmatan.
Komponen utama rizab antarabangsa ini merangkumi rizab mata wang asing berjumlah AS$98.4 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak AS$1.4 bilion, Hak Pengeluaran Khas (SDR) AS$6.0 bilion, emas pada AS$2.4 bilion dan aset rizab lain berjumlah AS$3.2 bilion.
Menurut Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Zafrul yang ditemubual oleh Bloomberg di Davos, Switzerland baru-baru ini, ekonomi Malaysia kini sedang pesat berkembang ekoran harga komoditi yang tinggi di pasaran. Maka dengan itu masih ada ruang untuk mengetatkan polisi monetari bagi membendung inflasi.
Pertumbuhan Global
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2020 mengunjurkan pertumbuhan global telah disemak semula kepada 3.6% pada 2022 dan 2023.
Bagi Malaysia, dasar kawalan harga yang dikenakan oleh Kerajaan serta subsidi yang diperuntukkan untuk Petroleum RON95 dan pelbagai barangan makanan akan melindungi rakyat daripada sebarang implikasi tekanan inflasi. Kadar inflasi Malaysia pada tahun ini lebih rendah berbanding negara lain dalam ASEAN.
Filipina (4.3%), Vietnam (3.8%), Thailand (3.5%), Singapura (3.6%), Indonesia (3.3%) dan Malaysia (3.0%).
Walaupun rakyat Malaysia mengeluh dengan kenaikan Dollar Amerika berbanding Ringgit, namun ia bukanlah negara kita sahaja yang menghadapinya. Ia dirasai oleh seluruh dunia yang bergantung kepada Dollar Amerika sebagai reserve currency.
Amerika Syarikat ingin mengubah nasibnya maka kita juga terpaksa menerima tempiasnya. – New Malaysia Herald
Mengenai penulis: Megat Hisemudin Megat Kasim adalah seorang jurutera awam, pengarang matematik dan penganalisa politik. Perkara yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian New Malaysia Herald.
Facebook Comments