Mempunyai watak kepimpinan yang diwarisi daripada bapa mereka, adakah ‘Nurul VS Nurul’ bakal menjadi kenyataan pada PRU15?
Nurul Izzah Anwar Ibrahim dan Nurul Hidayah Ahmad Zahid, merupakan anak sulung kepada kedua-dua pemimpin politik veteran ini. Bapa mereka, bersama-sama sebagai Pemuda UMNO pada satu ketika dahulu dan merupakan ‘Team Mahathir’ semasa pergolakan UMNO semasa Mahathir berseteru dengan Tengku Razaleigh.
Kedua-dua wanita ini ada kekuatan dan kontroversi mereka sendiri. Namun apa pun, itu hak peribadi mereka. Memandangkan mereka anak ahli politik yang tersohor, sudah tentu apa yang mereka perkatakan dalam media sosial menjadi bualan ramai.
Di sini, penulis tidak mahu mengulas tentang kontroversi mereka tetapi lebih kepada kekuatan mereka sebagai ahli politik dengan aura, gaya dan acuan mereka tersendiri.
Nurul Izzah Si Puteri Reformasi
Siapa yang tidak kenal Nurul Izzah? Sedari dia belia, dia sudah bersepak-tendang dalam dunia politik, sehingga ke arena antarabangsa. Merupakan ‘poster girl’ si bapa dan tulang belakang si ibu, Wan Azizah di awal-awal Reformasi. ‘Kekuatan’ wajah lembutnya di samping kebolehan oratori yang sangat baik setanding dengan Anwar Ibrahim, menjadikan Nurul Izzah bukan sahaja ikon tetapi ‘dream girl’ siswa dan siswi pada ketika itu.
Kerana seorang Nurul yang menangis di samping ibu kerana si bapa sehinggakan berjaya menjadikan gelombang Reformasi itu fenomena antarabangsa. Namun, semakin beliau meningkat dewasa, pesona sang puteri itu semakin pudar, berubah ke persona seorang ahli politik yang disegani. Di pihak Pakatan Harapan (PH) dan hak asasi kemanusiaan pro-kesamarataan gender, Nurul Izzah di katakan layak untuk menjadi Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia.
Ia bukan sesuatu yang mustahil, jika kita melihat arus politik antarabangsa pada waktu ini, di mana banyak negara yang telah dan sedang diterajui oleh wanita sebagai Perdana Menteri antaranya New Zealand, German, Britain, Thailand, Kota Selatan dan Bangladesh. Pada ketika ini jika dilihat dari segi keupayaan kepimpinan yang setara dengan Nurul Izzah untuk menjadi calon ‘Perdana Menteri Wanita Pertama’ hanya UMNO sahaja yang mempunyai tokoh-tokoh wanita yang layak dan berkaliber.
Nurul Hidayah ‘Kekuatan’ Si Bapa
Desas-desus politik mengatakan bahawa Nurul Hidayah, anak sulung kepada Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO bakal bertanding untuk Pilihanraya umum ke 15. Ada yang mengatakan di Bagan Datoh , tetapi ada juga mengatakan di tempat lain.
Nurul Hidayah mempunyai kekuatan sendiri terutamanya dalam gerak gempur wanita UMNO. Dengan panggilan mesra ‘Kak Long’, walaupun agak lantang di media sosial dan selalu berlaga angin dengan netizen, namun sangat disayangi dan dihormati oleh akar umbi UMNO, dan mereka yang mengenali diri beliau.
Memanglah nama beliau tidaklah sebegitu dikenali berbanding nama Nurul Izzah, tetapi bagi Pilihanraya bukanlah masa untuk berlumba siapa yang lebih dikenali seantero dunia, ia adalah satu masa di mana pemilihan adalah berdasarkan betapa dekatnya calon di hati rakyat. Lebih-lebih lagi sejak Pilihanraya-pilihanraya Kecil dan Pilihanraya-pilihanraya Negeri memperlihatkan calon ‘anak tempatan’ terutamanya calon daripada UMNO memenangi kerusi pilihanraya.
Kekuatan politik Nurul Hidayah selama ini diukur dengan melihat ‘kemenangan’ ayah beliau iaitu Zahid Hamidi. Walaupun pelbagai tohmah, fitnah dan ‘black operation’ yang dilakukan oleh pihak lawan, Zahid Hamidi tetap menang di Bagan Datoh dan kekal di kerusi Presiden UMNO. Tidak keterlaluan jika dikatakan Nurul Hidayah merupakan ‘senjata sulit’ bagi UMNO pusat, UMNO Perak dan sudah tentunya bagi Zahid Hamidi sendiri.
‘Face off’ Yang Mengujakan
Bagi pemerhati politik marhean seperti penulis, Nurul VS Nurul amatlah ditunggu-tunggu. Bukan kerana nak tengok anak siapa menang, tetapi mahu melihat dua orang tokoh politik wanita, seorang yang dari ‘politik bandar’ iaitu Nurul Izzah, dan seorang daripada ‘politik akar umbi’ yang mana sebenarnya merupakan ‘kekuatan politik’ rakyat.
Tidak semestinya yang nampak manis seperti Nurul Izzah mampu untuk memenangi hati rakyat biasa, kerana seperti yang kita tahu, Parti Keadilan Rakyat begitu banyak ‘sisi gelap’ yang menjadi buah mulut rakyat. Dan kita juga tidak tahu tokoh seperti Nurul Hidayah yang ‘brutal’ di media sosial sebenarnya merupakan tokoh pemimpin wanita yang diperlukan oleh wanita biasa sebagai suara ‘akar umbi’. – NMH
Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal-ehwal domestik, penulis juga seorang aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan-makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.
Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat NMH.
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.
Facebook Comments