Rakyat Dikhianati Akibat Politik Ciplak Bersatu dan PN

Bersatu dan PN wujud daripada pengkhianatan politik yang berlaku ke atas BN dan PH

Dengar khabar pergolakan terus berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ego dan mengenepikan pendapat dan ‘keperluan politik’ sekutu mereka yang lain, terutamanya PAS.

Perkara tersebut berlaku apabila PAS setuju dan akur untuk menggunakan lambang PN bagi pilihanraya umum ke 15 nanti (PRU15), dan bukan lambang tradisi ‘bulan’ mereka.

Perkara ini membuatkan akar umbi PAS terutamanya ahli veteran tawar hati untuk bersama-sama berkempen bagi pihak parti mereka untuk pilihanraya kali ini. Kebanyakan dari mereka adalah ahli yang merupakan penyokong Piagam Muafakat Nasional, iaitu satu bentuk ‘ikatan’ antara UMNO dan PAS. Ia merupakan satu bentuk kefahaman ‘perpaduan ummah’ antara kepimpinan kedua-dua parti terbesar orang Melayu, dimana peristiwa bersejarah pada 14 September 2021 ini memperlihatkan lebih kurang lima juta ahli parti UMNO dan PAS berkumpul bersama dan buat julung kalinya bendera PAS berkibar di PWTC sebagai saksi.

Rasa Tertipu

Bagi mereka sebagai akar umbi yang selama ini bekerja untuk parti, mereka lebih mengetahui gerak kerja ‘sekutu’ setelah rasa ‘tertipu’ dengan kerjasama bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) semasa PRU12 sebagai Pakatan Rakyat (PR) pada 2008.

Kewujudan pakatan ini kemudiannya dipertikaikan kerana DAP mengisytiharkan ia tidak lagi wujud pada 16 Jun 2015 kerana DAP tidak dapat bekerjasama dengan PAS. Namun bagi PAS pula mereka menegaskan pakatan ini masih wujud tetapi hanya di antara PAS dan PKR. Atas dasar inilah, kelompok akar umbi PAS ini tidak mahu bekerjasama dengan PN. Mereka sudah muak diinjak oleh sekutu yang ada kena mengena dengan serpihan PKR mau pun serpihan UMNO.

Politik ‘Katak’ dalam Bersatu dan PN

Seperti yang kita tahu, dalam politik Bersatu dan Perikatan Nasional terdapat dua kategori ahli parlimen. Kategori pertama, ialah ahli parlimen yang bertanding di atas platform Bersatu atau PKR, mereka telah menang dengan undi PH, PKR, DAP dan Amanah. Bagi kategori ini, kita pun tahu pada PRU15, tanpa undi Pakatan Harapan (PH), DAP, PKR dan Amanah yang mereka khianati melalui ‘Sheraton move’ pada Februari 2020 sudah tentu sukar bagi Bersatu untuk menang seperti yang dibuktikan melalui Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Kita juga tahu semasa PH menjadi kerajaan dan Bersatu adalah sebahagian daripada PH, ada beberapa orang ahli parlimen yang bertanding di atas platform UMNO BN kemudiannya lari masuk ke Bersatu kerana takut di dakwa atas kes-kes jenayah. Sudah pasti mereka tidak akan dapat undi daripada pengundi UMNO BN yang mereka khianati. Akar umbi dan penyokong UMNO yang telah memenangkan mereka sudah tentu tidak akan memandang mereka. Itu sudah kira baik, kalau boleh pemimpin yang ‘khianat’ ini mahu diludahi sebagai tauladan jangan ambil remeh jerih-perih jentera yang memenangkan mereka.

Mengkhianati Sahabat

Kini, Bersatu adalah merupakan komponen utama di dalam PN bersama PAS akan terus diingati sebagai komponen PH/PR yang mengkhianati ‘sahabat’ dan sebagai sebahagian daripada komponen kerajaan yang bersama-sama PH yang menghapuskan pelbagai kemudahan rakyat yang telah dijayakan oleh Barisan Nasional (BN). Antaranya kemudah seperti Klinik 1Malaysia, Bantuan Baucar Buku 1Malaysia (untuk siswa) dan Kedai 1Malaysia.

Harta negara dijual umpama lelongan ‘timbang kati’ di mana aset-aset strategik negara dijual secara besar-besaran dengan ‘restu’ pemimpin Bersatu termasuk Perdana Menteri ke-8 yang ketika itu berada dalam kem PH.

Rakyat tidak pernah lupa bagaimana aset aset strategik dijarah oleh PH di mana adanya pemimpin Bersatu yang duduk dalam barisan Kabinet pada masa itu NMH infografik oleh DH

Sementara itu, mereka juga adalah ‘anasir’ yang telah menyebabkan kejatuhan pasaran saham dan pasaran kewangan sebanyak RM157 billion selain menjarah rezab negara sebanyak RM80 billion. Rakyat awam, penyokong BN dan tidak dilupakan Penyokong PH tidak pernah lupa akan keadaan ekonomi yang begitu buruk.

Bersatu Yang Rapuh, Perikatan Yang Tidak Nasionalis

Bersatu yang kini komponen utama PN juga adalah sebahagian daripada komponen PH yang menyebabkan kerosakan perhubungan diplomatik dengan negara Cina, India dan negara-negara Timur Tengah. Keangkuhan pentadbiran negara pada ketika itu menyebabkan pelabur luar negara enggan melabur di Malaysia, kilang-kilang besar beransur-ansur tutup dan bermulanya lambakan pekerja, terutamanya dalam bidang elektronik. Kebijaksanaan menteri yang selama ini pandai bercakap sebagai ‘pembangkang’ teruji apabila gagal menjaga kepentingan sawit Malaysia di pasaran global, menyebabkan warga FELDA kehilangan sumber pendapatan. Orang politik mungkin lupa, tetapi rakyat jelata sukar mahu melupakan betapa susahnya mereka apabila hilang punca pendapatan.

Bagi memburukkan lagi keadaan, Kerajaan PN dibawah Mahiadin (Muhyiddin) Yassin adalah kerajaan yg ditegur oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 jun 2021 kerana masaalah kesusahan hidup rakyat yang tidak dapat dibendung, serta darurat yg tidak diperlukan sehingga menyebabkan ramai rakyat-jelata terpaksa mengibar bendera putih untuk mendapatkan bantuan daripada rakyat lain. Persepsi Rakyat pada masa itu sememangnya ‘kita jaga kita’, kerana ‘Kerajaan Abah’ tidak mampu untuk jaga kita.

Cacamarba

Akhir kata, Bersatu dan PN adalah sebuah entiti cacamarba yang tiada identiti dan pendirian sendiri. Baik Bersatu atau PN adalah ‘ciplak’ dari UMNO dan Barisan Nasional (BN). Segalanya tentang UMNO dan BN ditiru baik dari segi perlembagaan, warna rasmi merah (UMNO) dan biru (BN) dan model-model ekonomi serta politik.

“Kita akur, mereka boleh ‘meniru’ apa sahaja yang fizikal, tetapi mereka masih belum mampu meniru semangat, kesepakatan, kesetiaan dan gerak-kerja politik, pentadbiran dan ekonomi UMNO dan Barisan Nasional walaupun segelintir daripada mereka adalah ‘serpihan’ UMNO/BN,” kata seorang penyokong BN.

Maka kita sebagai rakyat Malaysia, jangan lupa untuk turun mengundi pada 19 November 2022. Undilah dengan bijaksana agar Malaysia akan kembali sejahtera dan makmur, serta tidak perlu lagi menukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali untuk satu penggal. – NMH

Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal-ehwal domestik, penulis juga seorang aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan-makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.

Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat NMH.

Facebook Comments

author avatar
Emma Harith
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.

Latest articles

Related articles