Peluang KJ Buat Kejutan Di Parlimen Sg Buloh

Selain faktor pengundi Melayu, pemilihan KJ sebagai calon akan memudahkan lagi untuk membuat pilihan kerana beliau adalah seorang calon yang popular

Apabila Rafizi Ramli menerusi ciapan dalam Twitter memaklumkan akan berbincang dengan Anwar Ibrahim tentang maklumbalas pengundi di Sungai Buloh mengenai calon PKR setakat ini, saya fikir Khairy Jamaluddin (KJ) mempunyai peluang cerah untuk membuat kejutan di kawasan tersebut.

Kita amat berharap pencalonan KJ sebagai calon Barisan Nasional (BN) akan meningkatkan lagi peluang BN untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang selama tiga penggal berturut-turut telah menguasai kawasan ini. Pada PRU-14 lalu PH/PKR menerusi Sivarasa Rasiah menang 43,631 undi dengan majoriti 26,634 undi. Waktu itu, calon BN dari MIC, Pakas Rao, memperolehi 16,681 undi di tempat ketiga di belakang calon PAS Nuridah Mohd Salleh dengan 16,997 undi.

Tidak mustahil KJ boleh menang kerana:

Faktor Pengundi Melayu

Sekarang Sungai Buloh adalah kawasan majoriti Melayu yg sebahagianya adalah penduduk bandar. Demografi Sungai Buloh setakat September 2022 ialah Melayu 68%, Cina 19%, India 10% dan lain-lain 3%. Pengundi berdaftar kira-kira 155,000 orang. Sebelum ini Sungai Buloh diletakkan di bawah nama Parlimen Subang, bukan dianggap sebagai kawasan majoriti Melayu yang melebihi 50%.

Parlimen Sungai Buloh: Peningkatan Pengundi Melayu Beri Harapan Cerah Kepada Dan Bn. - Nmh Grafik Oleh Dh
Parlimen Sungai Buloh Peningkatan pengundi Melayu beri harapan cerah kepada dan BN NMH grafik oleh DH

Mungkin sebab itu calon BN sejak 2004 (PRU-11) adalah bukan Melayu iaitu dari MIC. Sejak 2008 (PRU-12), BN yang diwakili MIC tewas berturut-turut. Jadi dengan peningkatan jumlah pengundi Melayu yang agak mendadak sejak 2018 lagi, maka cubaan BN meletakkan calon Melayu pula kali ini adalah tindakan yang sangat dialu-alukan. Perkara sama telah dilakukan oleh PH di Parlimen Bangi apabila kali ini meletakkan Syahredzan Johan menggantikan Ong Kian Ming kerana Parlimen Bangi juga telah berlaku peningkatan pengundi Melayu yang sebelum itu peratusan pengundi Cina adalah lebih tinggi. Pada PRU-14 juga calon PAS di Parlimen Sungai Buloh adalah di tempat kedua mengatasi calon BN dari MIC.

Maka cubaan BN meletakkan calon Melayu memberikan satu lagi pilihan kepada pengundi-pengundi Melayu yang memungkinkan meningkatnya jumlah undi BN pada PRU-15 nanti.

Calon PH pula mungkin menghadapi kesukaran jika kekal meletakkan calon bukan Melayu untuk menyaingi calon Melayu dari BN kerana telah menjadi kawasan majoriti Melayu. Jika hanya bergantung banyak kepada pengundi bukan Melayu belum cukup untuk menjamin kejayaan PH.

Faktor KJ

Selain faktor pengundi Melayu, pemilihan KJ sebagai calon akan memudahkan lagi pengundi Melayu untuk membuat pilihan kerana KJ adalah seorang calon yang popular yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Pengundi Melayu yang dahulu mengundi PH atau PAS berkemungkinan sebahagiannya akan memberikan undi kepada KJ pula pada kali ini.

KJ juga mungkin dapat menarik sokongan sebahagian pengundi bukan Melayu. Rekod beliau di Parlimen Rembau sebelum ini dan prestasi beliau ketika menjadi Menteri Kesihatan mungkin menjadi rujukan pengundi-pengundi di Sungai Buloh. Dan beliau mungkin mendapat sokongan besar pengundi yang merupakan kakitangan KKM di Hospital Sungai Buloh. KJ juga memaklumkan yang beliau akan membuat penambahbaikan kpd Hospital Sungai Buloh jika menang nanti.

Gentleman

Sikap KJ yang gentleman dan professional menerima cabaran bertanding di Sg Buloh serta amat positif bila diumumkan menjadi calon BN di Sg Buloh juga tentunya menarik perhatian ramai. Sikap beliau itu telah memudahkan urusan jentera BN malah semangat yang ditunjukkan beliau untuk terus bekerja bertemu seramai mungkin pengundi adalah suatu permulaan yang cukup baik untuk beliau dan BN membuat kejutan.

Paling menarik KJ sudah cukup bersedia dan begitu jelas dalam misinya untuk berkhidmat dan membantu warga Sungai Buloh. Setelah tiga penggal berkhidmat di kawasan kampung dan pinggiran bandar iaitu di Rembau, beliau sendiri mahu datang ke bandar dan berjuang untuk warga bandar pula.

Kata beliau, Malaysia telah mencapai 77% kadar urbanisasi tetapi BN tidak menjadi pilihan pengundi di kawasan bandar. Untuk itu BN mesti berani untuk menawarkan khidmat di kawasan bandar kerana BN perlu menjadi wakil kepada semua rakyat Malaysia. Bagi KJ bukan semua yang duduk di bandar ini senang. Jadi beliau akan mengumumkan Manifesto Sungai Buloh yang mengandungi cadangan penyelesaian kepada isu-isu warga Sungai Buloh. Saya fikir Manifesto Sungai Buloh beliau itu nanti pasti menjadi tarikan para pengundi kerana sudah tentu ia suatu yang realistik untuk dilaksanakan oleh BN jika diberi peluang menang nanti.

Faktor isu dalaman PKR

Sivarasa dari PKR telah memenangi Parlimen ini tiga penggal berturut-turut tetapi kali ini dia disingkirkan. Kemungkinan besar kerana dia adalah dari kartel Azmin. Jadi dijangka akan berlaku pergolakan dalaman PKR Sungai Buloh yang menjejaskan gerak kerja PH malah mungkin berlaku sabotaj atau protes dari kalangan penyokong kuat Sivarasa.

Sekiranya berlaku, ia memberi kelebihan kepada BN.

Faktor-faktor lain seperti:

  • faktor peratusan keluar mengundi yang dijangka menurun pada PRU-15 berpunca dari pengundi PH yang mungkin memboikot PRU-15 sebab kecewa dengan prestasi PH dan keliru dengan hasutan PH sebelum ini kuat memainkan isu banjir memberi kelebihan kepada BN;
  • faktor semangat tinggi pengundi BN di Sungai Buloh yang mahu memenangkan calon BN; dan
  • faktor parti-parti lawan yang tidak bersedia, berpecah dan tiada kesepakatan;

Maka tidak mustahil BN mampu menumbangkan PH termasuk calon-calon dari parti-parti lawan lain … insya-Allah.

*Data-data setakat PRU-14 lalu:

Facebook Comments

author avatar
Hilmy Abdul Rahman

Latest articles

Related articles