Umpama sirih pulang ke gagang, Nizar Razak, anak kepada Najib Razak dan cucu kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak kini diberi peluang bertanding di Pahang sebagai calon Dewan Negeri oleh BN
Semalam (Sabtu, 05 Nov) adalah hari penamaan calon yang begitu meriah, tanpa banyak insiden yang tak diingini dan Barisan Nasional (BN) memaparkan gelombang biru di beberapa negeri, termasuk Pahang.
Syukur di pihak Barisan Nasional di Semenanjung tiada sebarang insiden yang memalukan berlaku berbanding dengan parti Amanah, di mana telah diviralkan presiden parti tersebut, iaitu Mat Sabu dilabel ‘koyak’, gara-gara memanggil seorang perempuan ‘bohsia’ kerana provokasi politik semasa penamaan calon di Bukit Raja. Itu sahajalah mungkin ‘standard’ parti lain berbanding dengan BN.
Legasi
Di Pahang contohnya, legasi Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak, masih subur dan terus membantu rakyat. Daripada zaman datuk, bapa dan kini giliran si anak pula akan menabur bakti buat bumi Pahang yang berdaulat.
Parti-parti politik termasuk Barisan Nasional akan terus bergerak secara agresif membidak tempat bagi berkempen dan mempromosikan calon demi memastikan calon parti mendapat ruang dan peluang terbaik meraih sokongan pengundi terutamanya pengundi muda dan atas pagar. Tidak dilupakan juga calon-calon bebas yang menambahkan lagi kemeriahan PRU15 dengan lambang-lambang mereka, serta calon-calon ‘katak’ yang berharap mereka akan terus diundi oleh pengundi tempat mereka walaupun mereka telah melakukan ‘lompatan’ ke pihak lain.
Setelah pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan penurunan had umur 18 tahun, Pekan menyaksikan pertambahan jumlah pemilih sehingga 119,000 orang termasuk 7,000 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun berbanding 89,000 pengundi ketika PRU14.
Anak Bossku di Pekan Pahang
Berbalik ke suasana di Pekan, Pahang. Para penyokong BN begitu gembira apabila anak sulung Bossku Najib Razak hadir bersama ibu beliau Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 66, dengan beberapa ahli keluarganya ke pusat penamaan calon P85 Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah bagi memberi sokongan kepada beliau sebagai calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya itu.
Perletakkan Nizar Najib dikatakan satu percaturan bijak kerana UMNO dan BN menunjukkan bahawa mereka tidak ketandusan pemimpin muda dengan memberikan ‘tawaran’ calon yang memenuhi kehendak orang muda.
Kehadiran beliau bersama ibu, isteri dan adik-beradik lain pada hari penamaan calon begitu mencuri perhatian serta membangkitkan semangat penyokong-penyokong BN yang hadir yang dilihat begitu teruja kerana mereka mahu legasi Najib Razak terus mewarnai politik negara.
Diiringi Restu Ibu dan Bapa
Gambar Nizar mengucup tangan ibu mengingatkan rakyat, begitulah Najib Razak memohon restu Tun Rahah setiap kali berlakunya hari penamaan calon. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi apabila didikan adab telah menjadi darah daging.
Sejuk mata rakyat memandang tradisi keluarga yang mengutamakan memohon restu daripada orang tua, sebelum melakukan sesuatu yang penting. Benci atau marah rakyat terhadap Najib, termasuk mereka yang bersorak gembira apabila beliau dimasukkan ke penjara kerana penghakiman yang bermotifkan politik kejam, tetap akan tersentuh hati melihat penghormatan seorang anak kepada si ibu.
Sebagai seorang bapa, walaupun tidak bersama dan hanya memerhati dari jauh, sudah tentunya, Najib Razak amat gembira dan bersyukur apabila anak beliau diberi kepercayaan untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat di DUN Peramu Jaya. Sudah tentu beliau akan mendoakan kejayaan besar berpihak kepada Nizar Najib dan berharap anaknya itu akan mengikut jejak langkah beliau yang sentiasa mendahulukan rakyat dan berusaha membangunkan kawasan Peramu Jaya.
Disokong oleh Adik-Beradik
Walaupun berlainan ibu, dilihat adik-beradik Nizar menyokong penuh keputusan abang mereka untuk bertanding kali ini bagi meneruskan perjuangan bapa mereka, Najib Razak. Mereka dilihat berdiri teguh dibelakang beliau bagi memastikan kemenangan kerusi yang ditandingi sebagaimana penyokong Bossku yang akan terus bersama beliau tanda solidariti bersama Bossku yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
Sebagai calon muda dari latarbelakang pendidikan tinggi dan dari bidang profesional, Nizar Najib dikatakan mampu memberikan khidmat terbaik, dan dengan bantuan penyokong, keluarga terdekat dan handai taulan beserta strategi yang ampuh, Nizar mampu untuk menjadi ahli politik dengan corak dan gerak tersendiri tanpa dibayangi oleh Najib Razak.
Memang diakui, mencontohi semangat Bossku sebagai pemimpin yang mampu bangkit dari kejatuhan adalah sesuatu yang bukan mudah, walaupun sebagai seorang anak. Namun, kepercayaan dan persahabatan yang telah beliau jalinkan bersama penyokong tegar Bossku mampu untuk membantu kempen mendekati pengundi terutama pengundi muda yang kini kebanyakannya sudah beralih ke BN.
Semoga Diberikan Kemenangan
Tanggungjawab menggantikan Najib Razak adalah amat berat untuk dipikul, lebih-lebih lagi inisiatif mesra rakyat yang pernah dijalankan oleh BN, di bawah tema ‘1Malaysia’, di mana begitu banyak bantuan dan kemudahan diberikan dan disediakan untuk rakyat.
Sebagai orang muda dan muka baru, diharap pencalonan kali pertama yang disertai dengan kemenangan akan dapat membantu memperkukuh kerajaan negeri jika diberikan peluang oleh rakyat untuk berkhidmat. Sebagai orang muda, sudah tentu usaha membangunkan anak muda dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran golongan itu selain membantu menarik pelaburan baharu ke kawasan Pekan adalah agenda utama jika dipilih sebagai wakil rakyat.
Pada PRU15 ini, Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan berdepan saingan empat penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN) Abu Talib Muhammad, Tugimon Abdul Hamid (PH) dan calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin. – NMH
Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal-ehwal domestik, penulis juga seorang aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan-makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.
Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat NMH.
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.
Facebook Comments