PRU15: Wanita Dalam Gerak Kerja Politik

Jentera Wanita adalah Srikandi yang tidak didendang bagi setiap parti politik

Wanita, terutamanya dalam UMNO sejak dari awal penubuhan merupakan ‘srikandi’ yang bukan sahaja membantu dari segi tenaga tetapi sanggup bergolok bergadai demi memastikan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara tercapai.

‘Tradisi’ wanita UMNO yang turun padang berkempen dari rumah ke rumah, semasa gotong royong dan berkenduri-kendara di mana-mana sahaja menjadikan mereka ‘jentera politik’ paling efektif dan menjadi contoh kepada sayap-sayap wanita parti lain.

Di kesempatan ini penulis sempat menemuramah tiga orang wanita yang giat berkempen demi kemenangan parti masing-masing. Menjadi jentera wanita adalah sesuatu yang amat mencabar.

Walau kadangkala terasa terpinggir dan terasa hati namun para wanita yang menjadi jentera parti tetap gagah bersemangat di sebalik kelembutan mendokong cita dan dasar perjuangan parti masing-masing.

Gerak Kerja Wanita

Di Mana Ada Gotong-royong Di Situ Akan Ada Jentera Wanita Menyumbang Tenaga Sambil Memeriahkan Suasana. - Gambar Ihsan Firda Ayu
Di mana ada Gotong royong di situ akan ada jentera wanita menyumbang tenaga sambil memeriahkan suasana Gambar ihsan Firda Ayu

Noraidah Kassim merasakan sebagai ‘orang UMNO’, jentera wanita adalah mereka yang menjadi mata dan telinga kepada kepimpinan bagi menyampaikan permasalahan dan isu dari akar umbi. Noraidah berkata, “Sebagai wanita, kami mudah menjiwai denyut nadi rakyat dengan memahami keperluan dan kehendak rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

“Ia sudah menjadi darah daging jentera wanita dalam UMNO tidak kira sayap wanita atau puteri, menyantuni masyarakat dengan mengambil tahu kebajikan warga tua, pesakit kronik, asnaf, ibu tunggal dan anak yatim agar mereka yang memerlukan ini mendapat bantuan yang sewajarnya. Ada yang kami bantu secara langsung, dan ada yang akan kami bantu dengan mendapatkan bantuan untuk mereka daripada agensi-agensi kerajaan yang tertentu.”

Generasi Celik Politik

Bagi beliau, mendidik masyarakat melalui tauladan agama dan norma masyarakat juga adalah perlu bagi mewujudkan generasi yang celik politik tanpa meninggalkan jatidiri sebagai masyarakat Malaysia yang kaya dengan adat dan budaya.

“Sebagai wanita dan ibu, saya bukan sahaja mahu generasi akan datang lebih celik politik, tetapi saya juga sentiasa memperjuangkan kedudukan kepimpinan wanita agar tidak terpinggir dan duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan pemimpin-pemimpin lain,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Kampung Bentara, Ulu Tiram Johor sedang giat membantu Nicole Wong calon Barisan Nasional dari MCA bagi Parlimen P158 Tebrau.

Bukan Setakat Pembawa Bunga Manggar

Kini sayap-sayap wanita bukan setakat menjadi AJK jamuan, jadi ‘tukang’ membungkus hadiah atau pembawa bunga manggar menyambut tetamu kehormat. Merekalah yang akan memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar.

Bagi Nurhafizah Jamaluddin, Ketua Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia, sayap wanita dari parti-parti politik adalah di antara kumpulan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan pada Pilihanraya. Sayap wanita merupakan tulang belakang dalam menentukan kekuatan dan menggerakkan parti bersama dua lagi sayap muda wanita dan lelaki.

“Namun, sayap wanita lebih menunjukkan kekuatan apabila mereka sanggup berkorban untuk parti dengan menjalankan kerja-kerja kebajikan dalam menjalankan aktiviti serta program sebelum, semasa dan selepas Pilihanraya. Usaha mereka yang lebih kreatif, produktif dan efektif sebagai jentera atau peraih undi sepanjang kempen Pilihanraya tidak dinafikan dan perlu diberi penghargaan.”

Beliau juga mengakui, peranan sayap wanita masa kini dalam memenangi hati rakyat mungkin lebih mencabar berbanding tahun-tahun lalu dan jentera-jentera parti perlulah memikirkan strategi baharu yang lebih efektif, lebih-lebih lagi pada zaman teknologi serba canggih dengan pelbagai platform media sosial yang mungkin sudah mengambil alih peranan peraih undi (door-to-door approach) ini.

Menawan Hati Pengundi

“Bagi saya, strategi alternatif perlu dipilih menjelang PRU-15 yang perlu diambil kira bagi meraih sokongan rakyat terutama menawan hati pengundi baharu/pengundi muda perlulah mengikut rentak mereka. Cabaran generasi era digital yang bukan sahaja merangkumi orang muda malah golongan pertengahan juga sudah mahir serba serbi menggunakan media sosial,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua Pemudi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa kombinasi idea, tenaga dan strategi dari sayap wanita dan sayap wanita muda merupakan faktor kepada kekuatan sesebuah parti. Ia mesti diiktiraf sama fungsinya dengan lelaki yang turut berkecimpung dalam bidang yang penuh cabaran dan pergolakan tanahair.

Jentera Wanita, Agresif Dalam Kelembutan

“Alhamdulilah, gerak kerja Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Azizah Mohd Dun sudah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya ke-15 ini. Kami sudah lama turun padang bagi mendekati rakyat, mendalami permasalahan mereka serta menghulurkan bantuan tanpa mengira pegangan politik,” ulas Julia Baharom, Srikandi Bahagian Kota Kinabalu, Sabah.

Wanita dalam politik walaupun bersifat agak agresif ketika berkempen, pada masa yang sama tidak pernah lupa untuk menjadi ‘wanita’ dalam apa jua situasi. Ini kerana sifat perjuangan itu sendiri tidak pernah membezakan antara jantina atau sosio-ekonomi.

Aman Sejahtera

“Sedar atau tidak, jentera wanita dalam politik sebenarnya merupakan para wirawati yang tidak didendang. Mereka tidak pernah meminta apa-apa daripada parti, yang mereka mahukan hanyalah agar negara ini aman sejahtera, agar generasi anak-anak akan datang bakal mewarisi sebuah negara yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Di Sabah, Parti GRS (GABUNGAN RAKYAT SABAH) merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). Walaupun Bersatu, Star & SAPP adalah sebahagian daripada PN, untuk PRU15, logo GRS akan digunakan. Mereka akan bekerjasama dengan Barisan Nasional juga.

Walaupun beliau daripada BERSATU namun, bagi Kempen PRU15, jentera wanita akan turun sebagai satu nama iaitu ‘Wanita GRS’.

Wanita Dalam Politik Bukan Untuk Diri Mereka Sendiri

Wanita-wanita yang bergerak dalam politik sama ada sebagai pemimpin atau ahli biasa rata-ratanya menceburkan diri mereka dalam arena yang didominasi oleh kaum lelaki ini bukan untuk diri mereka.

Mereka sedar, jika mereka tidak turut sama berpolitik, kepentingan mereka sebagai wanita, ibu dan penyumbang kepada kemakmuran negara mungkin akan terlepas pandang.

‘Kecantikan’ wanita dalam berpolitik bukan sekadar dilihat secara luaran sahaja, dan semata-mata untuk diangkat sebagai pemimpin.

Politik wanita adalah akal dan jiwanya yang sentiasa menjadi sebahagian daripada intipati perjuangan wanita itu sendiri. Itulah sebabnya kenapa jentera wanita bagi mana-mana parti adalah jentera paling ‘efektif’ dan paling dihormati oleh ahli parti yang lain. – NMH

Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal-ehwal domestik, penulis juga seorang aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan-makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.

Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat NMH.

Facebook Comments

author avatar
Emma Harith
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.

Latest articles

Related articles