Revolusi Sukan Udara Malaysia Melalui Aplikasi SAMS

Pelancaran SAMS dilihat sebagai satu peristiwa bersejarah ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab sukan udara di rantau ini, memberi inspirasi kepada generasi atlet dan peminat sukan udara di masa akan datang agar sukan ini bertambah cemerlang, dari segi penyertaan dan pertandingan di peringkat kebangsaan juga antarabangsa.

PUTRAJAYA – Sebagai satu langkah proaktif, usaha pendigitalan sukan udara di Malaysia, Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) hari ini telah melancarkan Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS). Pelancaran ini menandakan detik penting bagi sektor tersebut, di mana ia bakal menjanjikan peningkatan kecekapan, keselamatan dan inovasi bagi komuniti peminat sukan udara.

Menurut Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, MSAF harus dipuji kerana pelanjaran apikasi tersebut menunjukkan dedikasi dan visi MSAF dalam memastikan sukan udara relevan mengikut era kini dengan memperkenalkan proses pengurusan sukan udara secara digital , meningkatkan standard keselamatan komuniti dan menyediakan data semasa ‘real time’ untuk atlet, jurulatih dan mereka yang terlibat dalam sukan udara.

“Aplikasi SAMS bukan sekadar alat pengurusan, ia adalah simbol kemajuan dan pemangkin kepada transformasi,” kata Hannah Yeoh sambil menerangkan bahawa agenda pembangunan sukan udara ini akan diselaraskan dengan komitmen kerajaan terhadap transformasi digital dan inovasi dalam sukan tersebut.

Sukan Udara Di Bawah TVET

Hannah kemudian menjelaskan bahawa Kementeriannya bersedia untuk bekerjasama dengan MSAF untuk mengenal pasti aspek yang boleh dibangunkan dalam kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Beliau percaya aktiviti sukan udara ini mampu menarik perhatian pelajar di sekolah untuk memupuk minat yang lebih mendalam terhadap mata pelajaran sains seperti fizik.

“Seperti yang kita amat maklum, ini (sukan penerbangan) adalah sukan yang diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan, ia dipanggil sukan udara. Selepas diwartakan, individu boleh mendapatkan pengurangan cukai sehingga RM1,000 untuk sebarang peralatan yang digunakan.

“KBS juga mahu menjalinkan kerjasama membangunkan kursus TVET yang berkaitan dengan sukan udara bersama dengan MSAF. Ini kerana TVET di bawah KBS memberi tumpuan lebih kepada industri yang berkaitan sukan,” katanya.

Presiden MSAF, Nurhaqimy Ismail, mendedahkan bahawa pengiktirafan antarabangsa untuk SAMS telah pun diterima, apabila beberapa negara menunjukkan minat untuk menerima pakai aplikasi tersebut.

“Persekutuan Sukan Udara Asia telah pun menyatakan minat yang mendalam untuk menggunakan aplikasi SAMS ini kerana potensinya yang mampu untuk mengubah dan memudahkan pengurusan sukan udara pada skala global,” tambahnya.

Nurhaqimy turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakan kongsi yang terlibat dalam pembangunan SAMS, termasuk Identex Digital Sdn Bhd, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), AIM Aerial Technologies, Generali Insurance Malaysia Berhad, dan Futurise Sdn Bhd. Beliau amat menghargai usaha kerjasama dalam memastikan aplikasi SAMS ini dapat direalisasikan dan bakal menjadi aras penetapan piawaian baharu dalam pengurusan sektor sukan udara.

Lebih Selamat Melalui SAMS

Aplikasi SAMS juga menyepadukan pelbagai fungsi; daripada menguruskan lesen dan sijil kepada penjejakan langsung dan pemantauan prestasi individu, pada waktu yang sama memastikan pematuhan lebih tegas kepada peraturan keselamatan individu yang terlibat dalam komuniti sukan udara lebih mudah dilaksanakan. Aplikasi inovatif ini juga menjanjikan untuk menjadikan penerbangan rekreasi dan sukan udara lebih mudah dan selamat untuk semua orang yang terlibat.

Antara acara kemuncak acara hari ini ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara SAMS dan rakan strategik, dan Menteri serta Nurhaqimy sebagai Presiden MSAF menghuraikan prospek masa depan SAMS dan jangkaan kesannya terhadap ekosistem sukan udara yang akan dilaksanakan bermula di Malaysia, dan bakal digunapakai juga oleh negara-negara Asia yang lain.

Sementara itu, ketika ditanya media, Menteri mendedahkan bahawa kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan berpakaian dengan pakaian rekaan pereka fesyen terkemuka negara, Rizman Ruzaini, pada majlis perasmian temasya itu, yang dijadualkan pada berlangsung pada 27 Julai.

Hannah Yeoh berkata satu majlis memperagakan pakaian kontinjen Malaysia untuk Majlis Perasmian akan diadakan pada 24 Julai.

“Pakaian rasmi untuk Olimpik tahun ini adalah di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) dan kami telah mendapatkan khidmat pereka terkemuka Malaysia Rizman Ruzaini.
“Itu sahaja yang boleh saya katakan. Saya percaya bahawa atlet kita akan memakai pakaian dengan bangga semasa Majlis Pembukaan Olimpik.

“Kami mengutamakan ciri-ciri Malaysia dan keselesaan atlet dalam reka bentuk dan saya telah melihat busana tersebut dan apa yang boleh saya katakan, ia adalah elegan,” tambahnya sambil membayangkan bahawa ia adalah jauh berbeza daripada reka bentuk awal untuk kontinjen itu, yang ditaja oleh Yonex.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ng Sze Han, Exco Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Selangor. Aplikasi SAMS boleh dimuat turun oleh pengguna mulai hari ini. – NMH

Facebook Comments

author avatar
Emma Harith
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.

Latest articles

Related articles