Guru Musik: Ia Bukan ‘Kerja’ Tetapi Sentuhan Jiwa Seorang Guru Kepada Anak Anak Didiknya

Tiga pelajar, sebuah persembahan dan seribu satu kisah guru musik yang membina insan bukan sekadar penghibur. Di sebalik nota lagu yang didendangkan di Royal Selangor Visitor Centre, tersembunyi kisah ikatan murni antara seorang guru vokal, Liow Jun Yi, dan anak-anak didiknya, termasuk Lucas Law, seorang pemuda autistik yang menemui keberanian dan impian di atas pentas. Ini bukan sekadar kisah persembahan muzik, tetapi bukti bagaimana ketulusan seorang pendidik mampu membina kekuatan dan keyakinan menghadapi kehidupan anak didiknya.

Tidak semua guru diingati kerana apa yang ditulis di atas papan hitam. Ada guru yang dikenang sampai bila-bila kerana berjaya menyentuh ruang hati paling dalam, membina semula keyakinan yang retak, dan mengubah jalan hidup anak-anak didik mereka.

​Begitulah kisah Liow Jun Yi, seorang pendidik vokal dari Crescendo Music & Dance Studio. Bagi Jun Yi, muzik bukan sekadar susunan nota, irama, atau keindahan melodi. Muzik adalah sebuah benteng disiplin, membentuk keberanian, dan medium untuk membina keyakinan diri anak-anak muda yang mencari identiti diri.

​Melodi Kasih di Pentas Persembahan

Bagi Jun Yi Menjadi Guru Musik Adalah Satu Kepuasan Bagi Diri  Kerana Dengan Musik Beliau Dapat Membantu Membina Keyakinan Dan Keberanian Para Belia Di Bawah Didikannya.
Bagi Jun Yi menjadi guru musik adalah satu kepuasan bagi diri kerana dengan musik beliau dapat membantu membina keyakinan dan keberanian para belia di bawah didikannya

​”Saya hampir menangis beberapa kali hari ini,” luah Jun Yi dengan suara bernada sebak selepas tirai persembahan Celebrating Music, Mentorship & Friendship: An Afternoon Recital ditutup di Royal Selangor Visitor Centre.

​Persembahan petang itu menampilkan tiga anak didiknya — Gwen Lee, Glenys Lam, dan Lucas Law — dengan diiringi jemari halus Lau Jo Yee di piano.

Bagi penonton, ia adalah sebuah konsert yang indah. Namun bagi Jun Yi, ia adalah sebuah keajaiban kecil: melihat anak-anak didiknya mekar menjadi penghibur sejati yang mempunyai identiti dan jati diri tersendiri.

​Lebih Daripada Seorang Guru, Beliau Adalah ‘Kompas’ Kehidupan

​Bimbingan Jun Yi melangkaui bilik latihan vokal. Bagi Gwen Lee, yang mula belajar menyanyi sejak usianya enam tahun, Jun Yi adalah sosok mentor yang menemaninya membesar dari zaman kanak-kanak hingga ke alam kolej.

​”Beliau sentiasa memberikan nasihat yang sangat berguna, bukan sahaja tentang teknik nyanyian, tetapi juga tentang bagaimana melepasi cabaran kehidupan,” kongsi Gwen tentang gurunya.

​Sementara itu, Glenys Lam, yang mula berlatih sejak berumur lima tahun, menganggap pengajaran paling berharga daripada Jun Yi ialah keberanian untuk menjadi diri sendiri.

​”Beliau tidak pernah mahu saya meniru suara penyanyi lain. Beliau mengajar saya mencari ‘suara’ dan identiti saya yang sebenar,” kata Glenys.

​ Lucas Law: Muzik Sebagai Bahasa Jiwa

Lucas Seorang Belia Neurodivert Yang Berbakat  Menyanyi Dengan Penuh Perasaan Bersama Sahabatnya  Glenys Lagu Duet' A Whole New World'.
Lucas seorang belia neurodivert yang berbakat menyanyi dengan penuh perasaan bersama sahabatnya Glenys lagu duet A Whole New World

​Di antara kisah-kisah indah petang itu, perjalanan hidup Lucas Law menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Pemuda berusia 23 tahun berasal Dari Selangor ini merupakan seorang insan dalam spektrum autisme.

Bagi insan neurodivergent seperti Lucas, kehidupan realiti selalunya penuh dengan halangan, tiada arah hidup dan kurang kepercayaan kepada kemampuan diri. ​Namun, di bawah bimbingan dan dorongan tanpa henti daripada Jun Yi di Crescendo, Lucas berjaya membuktikan bahawa bakat tidak mengenal batasan. Lucas tidak hanya berdiri di atas pentas; beliau menyinar sebagai seorang ‘Bintang’.

​Selepas menyertai konsert Unveiling Uniqueness pada tahun 2024 dan 2025 serta memegang watak utama dalam pementasan teater muzikal tempatan Life Is 2.0, Lucas tampil memukau tersebut. Beliau menyampaikan dua lagu solo dengan penuh penghayatan, Dan mendendangkan duet indah A Whole New World bersama Glenys.

​”Encik Jun Yi sangat percaya kepada pelajarnya. Walaupun, kadangkala sangat sukar untuk kami percaya pada kemampuan diri sendiri. Beliau sentiasa berada di sisi kami memberikan dorongan yang kami perlukan. Kata-kata semangatnya membuatkan kami terus melangkah ke hadapan tanpa segan Dan penuh keyakinan,” luah Lucas dengan penuh perasaan.

​Kisah Lucas menjadi bukti betapa pentingnya pendidikan seni yang inklusif, satu ruang di mana setiap insan, tanpa mengira latar belakang atau kekurangan, diberi peluang untuk mekar dan bersinar.

​Hubungan Yang Tak Lapuk Dek Hujan

​Ikatan antara seorang guru dan muridnya tidak pernah terputus apabila waktu kelas berakhir. Kehadiran bekas pelajar seperti Amos, yang kembali dari United Kingdom untuk berkongsi pentas bersama Jun Yi selepas hampir sedekad, menjadi saksi betapa dalamnya kesan kasih sayang seorang pendidik.

​Amos mengakui, rasa terhutang budi kepada ibu bapa dan Jun Yi yang mengenalkannya kepada dunia muzik sejak seawal 3 tahun tidak akan pernah pudar. Walaupun pada awalnya Amos tidak begitu suka menghadiri kelas musik, tetapi atas dorongan dan kesabaran Jun Yi akhirnya Amos mendapati bahawa musik adalah sebahagian daripada bakatnya.

​Kejayaan Sebenar Bukanlah Pada Trofi

​Bagi Jun Yi, kejayaan seseorang guru tidak diukur dengan kilauan trofi di atas rak, atau sijil penghargaan yang berbingkai emas. Kejayaan sebenar ialah apabila melihat anak didiknya membesar menjadi insan yang yakin, berani, berdaya tahan (resilient), dan mampu menyebarkan kebaikan kepada orang lain.

​Jun Yi berhasrat agar persembahan hari ini bukanlah titik akhir, melainkan permulaan buat mereka. “Saya akan terus mendorong mereka, menelipon mereka, dan memberi semangat agar mereka tidak pernah melepaskan impian nyanyian mereka,” tegas Jun Yi.

​Warisan Yang Abadi

​Sesungguhnya, jasa seorang guru tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Mereka umpama penanam benih harapan serta menabur benih keikhlasan yang mungkin hanya berbuah manis bertahun-tahun kemudian.

Dan apabila bekas pelajar kembali dengan senyuman, kejayaan, serta ucapan terima kasih yang tulus, itulah hadiah paling bernilai buat seorang pendidik.

​Kerana pada akhirnya, ​Manusia mungkin akan terlupa setiap nota dan irama yang pernah dimainkan di atas pentas. ​Namun, mereka tidak akan pernah melupakan insan yang pernah mengajar mereka untuk percaya kepada diri sendiri.

​Itulah warisan sebenar seorang guru; bukan sekadar memberikan ilmu, tetapi membimbing kehidupan dengan kasih sayang, keikhlasan, dan pengorbanan yang tiada galang gantinya. – NMH

Facebook Comments

author avatar
Emma Harith
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.

Latest articles

Related articles