Bajet 2023 merupakan bajet mesra wanita dan dikatakan juga memberikan kelebihan kepada bumiputera, terutamanya dari Sabah dan Sarawak. NMH membawakan kepada anda apa kata empat orang wanita Melayu berkenaan bajet tersebut yang baru lepas dibentangkan kelmarin.
Bajet 2023 dimulakan dengan agak gugup oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang segak berbaju Melayu berwarna kebiru-biruan pada Jumaat (07 Okt). Ramai yang tertunggu-tunggu kemungkinan ada pengeluaran KWSP buat kali kedua.
Namun, sehingga ke akhir pembentangan tiada pun diumumkan. Bajet kali ini memperuntukkan sejumlah 372.3 billion ringgit berbanding bajet 2022 sebanyak 332 billion ringgit. Ia boleh di katakan sebagai satu bajet yang seimbang kerana mengambil kira keperluan semua rakyat dalam banyak sektor, namun bajet kali ini lebih menjurus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak.
Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan Bajet 2023 ini banyak mengutamakan kebajikan rakyat apabila nasib golongan susah di berikan keutamaan dengan lebih 450 isi rumah layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Banyak juga potongan cukai bagi M40 dan T20, serta inisiatif-inisiatif ‘win-win situation’ bagi pihak majikan dan kerajaan.
Dalam masa Bajet 2023 ini masih panas, NMH sempat menemu bual empat orang wanita berkenaan pendapat mereka mengenai intipati Bajet 2023.
Adakah Bajet 2023 Memaparkan Bajet Berkebajikan?
Mengikut Azlin Othman, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia bersetuju bahawa
Bajet 2023 yang di bentangkan pada kali ini sangat mengutamakan rakyat dan pembangunan negara.
“Bajet di bawah JKM adalah penting kerana agensi ini ditugaskan untuk memberi pelbagai bentuk bantuan bulanan kepada golongan miskin seperti Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-kanak serta Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar.
“Bantuan ini penting, kerana kebanyakan rakyat baru pulih dari segi ekonomi dan kehidupan setelah lebih dua tahun hidup di dalam keadaan pandemik Covid-19,” kata Azlin.
Seperti yang diumumkan, keluarga yang mempunyai anak lebih daripada lima orang dengan pendapatan kurang dari RM2500 akan mendapat Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), isi rumah sehingga empat anak, layak terima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000, isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000. BKM disediakan antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak. Bagi warga emas yang tiada pasangan serta golongan bujang, mereka akan terima BKM di antara RM350 hingga RM600 bergantung kepada had pendapatan.
Azlin juga memuji inisiatif kerajaan memberikan bantuan awal persekolahan yang dinaikkan daripada RM100 kepada RM 150 setiap seorang murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa, serta menambahkan bajet untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
“Pemberian bantuan awal tanpa had ini bagus kerana ia mengurangkan birokrasi selain daripada tambahan BKM yang di berikan kepada rakyat.
“Saya juga berpendapat bahawa penambahbaikan RMT dengan kenaikan kadar makanan bermasak daripada RM2.50 kepada 3.50 di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak kenaikan daripada RM3 kepada RM4 berkuatkasa serta merta amatlah penting kerana harga barang yang semakin naik dan kenaikan ini adalah untuk menjaga kualiti RMT yang di sediakan oleh pihak sekolah,” tambah Azlin.
Azlin berharap agar, bajet 2023 ini akan dapat membantu rakyat dan negara dalam menghadapi keadaan pasca-covid yang kini semakin mencabar kerana keadaan ekonomi global dan kedatangan musim tengkujuh yang bakal mengundang seribu satu bentuk dugaan.
Bajet Mesra Wanita
Bagi Sue Yomomo (bukan nama sebenar) seorang usahawan dari rumah berpendapat bahawa bajet 2023 ini lebih kepada ‘gula-gula’ pilihanraya, walaupun begitu diakui juga bajet kali ini amat ‘Mesra Wanita’ di mana, banyak inisiatif-inisiatif khas untuk wanita serta pemerkasaan wanita dalam bidang kerjaya dan keusahawanan.
“Walaupun secara peribadinya, saya menganggap bajet 2023 kali ini adalah ‘bajet Pilihanraya’, namun tidak dapat dinafikan bajet kali ini banyak memberikan keistimewaan kepada kaum wanita antaranya dari segi sosial, Tribunal Anti Gangguan Seksual, Pusat sokongan untuk wanita, pemeriksaan kanser payudara (mammogram) dan kanser servik.
“Kerajaan juga memberikan RM500 kepada setiap ibu yang melahirkan anak dan itu adalah satu bentuk initiatif kerajaan yang sangat bagus, kerana ia membantu keluarga dari segi kewangan. Maklumlah apabila hendak menyambut ‘orang baru’ dalam rumah sudah tentu perlukan persediaan tertentu,” jelas Sue.
Sue juga menyambut baik Pengecualian Cukai Untuk Wanita Berpendapatan yang diterima pada tahun 2023 sehingga 2028 akan diberikan pengecualian bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja setelah ‘career break’ kerana kebanyakan yang mengambil ‘career break’ ini adalah profesional yang akan kembali bekerja setelah merasakan anak-anak sudah cukup besar dan tidak memerlukan perhatian penuh si ibu. Selain pelepasan cukai untuk wanita yang kembali bekerja, pelepasan cukai bagi yuran Tadika Dan Taska Sebanyak RM3,000 pelepasan sehingga tahun taksiran 2024 juga menarik.
“Selain daripada itu, Suruhanjaya Sekuriti akan mengadakan program latihan khas bagi meningkatkan kemahiran wanita bagi menambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah adalah sesuatu yang menarik, selain daripada Geran-Geran khas serta pinjaman daripada Bank Simpanan Nasional, TEKUN dan lain-lain agensi yang di khaskan untuk golongan usahawan wanita.
“Bagi saya penambahan Had Amanah Saham Bumiputera (ASB) Dan Pinjaman Mudah ASB di BSN Jumlah pegangan maksimum di ASB dan ASB2 ditingkatkan kepada 300,000 unit (RM300,000) berbanding 200,000 unit sebelum ini adalah sangat bagus kerana orang melayu dan bumiputra memang ramai yang menyimpan dalam ASB,” katanya lagi.
Selain itu, golongan B40 bumiputera juga layak untuk memohon pinjaman mudah BSN untuk melabur di ASB pada kadar 1.5 peratus.
Bajet Luar Bandar
“Tahun ini, ada bajet untuk beranak, saya harap nanti akan ada Bajet untuk wanita menopos pula kerana wanita menopos juga memerlukan keprihatinan dan kebajikan terutamanya dari segi sistem sokongan, perubatan dan kesihatan mental,” kata Cik Aibi Johannes seorang pesara swasta dari Sabah.
Pada pendapat Aibi, Bajet 2023 adalah bajet yang bagus untuk wanita tetapi kerajaan ‘terlupa’ segmen wanita warga emas yang masih mampu memberikan sumbangan kepada negara terutamanya pesara-pesara penjawat awam dan swasta. Selain daripada itu, boleh di katakan bajet kali ini bajet yang terbaik setakat ini, terutamanya dalam hal-ehwal menambah baik infrastruktur luar bandar, terutamanya bagi Sabah dan Sarawak.
“RM 123 juta untuk infrastruktur pemasangan lampu untuk jalan-jalan kampung adalah satu bentuk inisiatif yang bagus terutamanya bagi pedalaman Sabah dan Sarawak. Peruntukkan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) juga dibenarkan digunakan oleh kerajaan negeri bagi membina jambatan, jalan raya dan longkang akibat banjir.
“Bajet kali ini pun banyak berkenaan pelancongan dan saya berharap destinasi-destinasi di Sabah juga ada yang akan di pilih sebagai destinasi yang akan dipromosikan oleh kerajaan Malaysia,” ujar beliau lagi.
Sejumlah 2.55 billion ringgit di tumpukan untuk pembangunan Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, bekalan elektrik luar bandar, Bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif, lampu jalan kampung dan membina 85 jambatan baru yang telah uzur dan rosak.
“Saya juga sebenarnya ternanti-nanti ‘Jualan Murah Keluarga Malaysia’ yang dikatakan akan di adakan di seluruh negara. Memandangkan semua barang telah naik harga saya harap dengan adanya inisiatif jualan murah ini dapatlah beli barang rumah banyak sikit daripada selalu,” katanya di akhir bicara.
Bajet Anak Seni
Bagi anak seni dari Sarawak seperti Mac Ruhayu Mohd Nor yang telah berkecimpung dalam bidang seni lebih 30 tahun dan Pengasas bagi Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Ekonomi Wanita (PRPEW), bajet 2023 ini agak bagus. Walaupun begitu, pada pendapatnya, ada beberapa perkara yang perlu diambil peduli oleh pihak kerajaan.
“Pihak kerajaan wajar setarakan semua karnival atau event Yang berkonsepkan pelancongan agar mendapat peruntukan khas sebagai sokongan kerajaan dalam memartabatkan lagi pelancongan. Ini termasuklah sokongan modal opex (operating expenditure) amatlah membantu untuk menggerakkan kerja awalan.
“Memandangkan Malaysia termasuk di dalam peta destinasi pilihan pelancong antarabangsa, maka banyak program pelancongan yang boleh menjana ekonomi perlu dilakukan dan diberi ‘jenama’ yang tersendiri seperti ‘Pesta Lumut’ dan ‘Pesta Pulau Pinang’. Pihak kerajaan juga perlu mewujudkan satu jawatankuasa khusus bagi memastikan segala program mengikut garis panduan yang telah ditetapkan, demi mengelakkan penganjur dari menipu mahupun di tipu.
“Selain daripada itu, geran bagi pelancongan patut diberikan lebih kepada permohonan bagi program yang mempromosikan kebudayaan etnik di setiap daerah atau negeri. Lambakan konsert jemputan hiburan dari luar perlu dikurangkan dan utamakan penghibur-penghibur tempatan agar industri hiburan negara terus hidup dan membantu menjana ekonomi negara. Bagi bab pemberian dana pula, adalah lebih baik dana diberikan kepada penganjur adalah sekata, jika dana adalah RM150,000 maka semua penganjur akan dapat jumlah yang sama, barulah ramai yang merasa dana dan ia adalah lebih adil kerana pemberian adalah seragam,” katanya.
Mac berpendapat selain menurunkan bajet kepada pertubuhan yang mewakili anak-anak seni, kerajaan juga perlu menetapkan garis panduan asas kebajikan bagi ahli-ahli industri kreatif. Beliau juga mencadangkan tumpuan kepada keperluan asas kebajikan seperti kesihatan diutamakan kepada golongan ini.
“Pihak kerajaan juga perlu memperkenalkan satu bentuk sistem kerjasama diantara Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) dengan ahli-ahli industri kreatif dalam menjaga kebajikan serta bantuan kos perubatan bagi ahli/keluarga ahli yang sakit, terutamanya penyakit kronik seperti kanser, kencing manis, buah pinggang dan jantung. Dengan syarat, ahli tersebut memang aktif dalam industri dan tanpa mengira had umur,” kata Mac lagi.
Dari segi lain pula, Mac juga berharap pihak kerajaan mengadakan inisiatif bagi majikan kelab malam yang menggunakan khidmat ‘live band’ tempatan sebagai residen artis mereka dan jika menggunakan kugiran luar, maka kadar cukai hiburan terhadap kelab tersebut wajar di naikkan. Cadangan ini bertujuan untuk mengawal kadar persembahan band luar contohnya dari Philippine, daripada berleluasa bermain Di kelab kelab malam di negara ini.
Akhir kata, Bajet 2023 kali ini memang tersangat indah di kertas. Diharap dari segi perlaksanaannya juga seharusnya indah supaya rakyat jelata dapat merasa ‘duit negara’ tersebut dan ianya bukan sekadar omongan kosong hanya untuk menyedapkan hati dan telinga rakyat sahaja. — NMH
Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal-ehwal domestik, penulis juga seorang aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan-makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.
Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat NMH.
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.
Facebook Comments