Ramai pihak mengatakan bahawa kelompok pengundi muda yang berumur 18 hingga 29 tahun berjumlah 6,007,978 ini bakal menjadi penentu lanskap politik negara. Betul ke?
Setakat Ogos 2022 terdapat seramai 21,173,638 pengundi berdaftar seluruh negara berbanding 14,940,624 pengundi yang berdaftar pada PRU-14 lalu. Pertambahan jumlah pengundi berdaftar yang mendadak di semua kawasan Parlimen hingga ada yang melebihi 100 ribu ini disebabkan oleh pendaftaran pemilih automatik (AVR).
Pertambahan jumlah tersebut melibatkan dua kelompok, iaitu kelompok undi-18 (pengundi yang berumur 18-20 tahun) dan kelompok pengundi yang berumur 21 tahun dan ke atas. Banyak pihak yang mengulas PRU-15 ini banyak dipengaruhi oleh kelompok pengundi muda 18 ke 29 tahun seramai 6,007,978 iaitu terdiri dari dua kelompok:
- 18-20 tahun -1,393,549
- 21-29 tahun – 4,614,429

Bagaimanapun saya fikir ia sepatutnya dipecahkan kepada tiga kelompok kerana mereka sebenarnya berbeza dari segi kematangan berfikir, pendedahan, pengalaman, pergaulan dan kecenderungan politik. Jadi dari kelompok 18 ke 29 tahun ini, saya pecahkan kepada (i) 18-20 tahun dan dari 21-29 tahun kpd dua kelompok lagi iaitu (ii) 21-24 tahun dan (iii) 25-29 tahun.
(i) Pengundi 18-20 tahun
Walaupun kelompok ini sudah mula terdedah kepada pengaruh media sosial tetapi saya fikir isu-isu semasa yang berat seperti politik belum lagi menarik minat mereka.
Sekalipun mereka ini ada yang sudah memasuki alam pekerjaan dan menyambung pelajaran, saya fikir kelompok ini mungkin kurang dari 50% yg akan keluar mengundi kerana kebanyakannya tidak tahu atau tidak berminat lagi dgn politik. Mungkin mereka belum sedar akan kepentingan dan tanggungjawab rakyat untuk mengundi. Sama ada tinggal bersama keluarga atau bujang, mereka ini nak keluar mengundi pun mungkin malas melainkan disuruh atau dipaksa oleh keluarga.
Politik Ahli Keluarga
Bagi yang keluar mengundi pula akan memilih mengikut kecenderungan politik ahli keluarga terdekat seperti ibubapa dan adik beradik berbanding yang mengundi atas pilihan sendiri. Yang keluar mengundi pula mungkin sebahagiannya ada yang memilih berasaskan usia dan paras rupa calon yang bertanding bukan berasaskan kpd pertimbangan senario politik, sosial, agama atau ekonomi semasa.
Terpulang kepada parti politik masing-masing untuk mengatur strategi atau pendekatan bagaimana untuk menarik mereka keluar mengundi dan memihak kepada parti mereka. Tetapi bagi saya kelompok ini bukanlah kelompok utama dalam peringkat umur 21-29 tahun yang bakal memberi kesan besar kepada keputusan PRU-15. Lagi pun jumlah keseluruhan pengundi berdaftar kelompok ini adalah kira-kira 1.4 juta dari keseluruhan 6 juta pengundi.
Jadi saya kurang bersetuju untuk mengatakan bahawa kelompok seramai 1.39 juta ini yang juga merupakan pengundi pertama kali bakal menentukan lanskap politik negara untuk lima tahun akan datang.
(ii) Pengundi 21-24 tahun
Kelompok ini sebenarnya yang kritikal yang perlu diberi lebih perhatian oleh parti-parti politik khususnya BN. Kelompok ini mungkin seramai kira-kira dua juta orang.
Bagi yang bekerja mereka ini sudah mempunyai pengalaman pekerjaan paling kurang tiga tahun. Begitu juga yang belajar, sebahagian besarnya adalah merupakan penuntut pusat pengajian tinggi termasuk kolej dan institut-institut kemahiran. Kehidupan harian mereka ini sebahagian besarnya sudah dipengaruhi oleh rakan-rakan sama ada rakan sekerja atau rakan belajar. Yang bekerja mungkin sudah agak lama tinggal bersama menyewa di rumah bujang atau asrama pekerja. Begitu juga yang belajar, mereka pun tinggal agak lama bersama rakan-rakan.
Kelompok ini, selain pengaruh media sosial, mereka mula terdedah dan berbincang isu-isu perkembangan semasa termasuk politik sesama rakan mereka. Kemungkinan besar kecenderungan politik mereka adalah mengikut kelompok rakan-rakan pergaulan yang rapat sama ada rakan sekerja, rakan sekuliah atau rakan serumah. Dari situ mereka sudah mula membina pendirian politik masing-masing tetapi masih lebih terikut kepada pandangan majoriti kelompok rakan mereka bukannya hasil dari pengamatan mendalam mereka sendiri. Jadi jika sebelum ini tidak berminat dengan isu semasa termasuk politik, mereka sudah mula mengambil tahu. Jika sebelum ini mereka cenderung terpengaruh kepada pilihan parti politik keluarga terdekat, berkemungkinan sudah berbeza pilihan berpunca dari pengaruh rakan sebaya.
‘Anti-establishment‘
Peringkat umur begini juga sebahagiannya mempunyai sifat ingin mencuba yang tinggi, berjiwa ‘memberontak’, ‘anti-establishment’ dan mula terdedah kepada pemikiran pragmatism dan realism. Mereka mahukan kebebasan mutlak dalam hidup yang secara tidak sedar mula tertarik dengan fahaman liberalism, humanism atau feminisme misalnya. Darah muda memang begitu sifatnya. Jadi mana-mana politikus atau parti politik yang dilihat selari atau sesuai dengan gelora jiwa mereka ketika itu, mereka lah yang dijadikan pilihan.
Sebahagiannya lagi ialah mereka yang walaupun cakna kepada isu-isu semasa termasuk politik tetapi memilih untuk tidak keluar mengundi. Mungkin kerana mereka belum dapat membuat keputusan untuk cenderung kepada parti mana atau mungkin mereka marah atau tidak percaya kepada ahli-ahli politik. Tidak pasti peratusan golongan ini kurang, lebih atau sama dengan golongan muda yang lebih matang pemikirannya dalam menilai isu-isu politik, ekonomi, sosial dan agama.
Saya tidak tahu peratusan keluar mengundi untuk kelompok ini tetapi mungkin kelompok paling tinggi keluar mengundi. Tidak seperti kelompok 18-20 tahun, kelompok ini dijangka ramai keluar mengundi kerana teruja atau bersemangat untuk mengundi buat kali pertama.
Kelompok ini yang mungkin BN perlu lebih fokus. Walaupun begitu saya masih tidak berasakan kelompok ini yang bakal menentukan lanskap politik negara untuk lima tahun akan datang.
(iii) Pengundi 25-29 tahun
Kelompok ini mungkin berjumlah dua juta lebih pengundi berdaftar. Kelompok ini paling matang dan sebahagiannya telah ada pengalaman keluar mengundi iaitu pada PRU-14 lalu walaupun sebahagian lagi mungkin tidak pernah mengundi lagi.
Untuk kelompok ini saya jangka mereka akan membuat keputusan berasaskan pengalaman mereka lalui sendiri sebelum dan selepas PRU-14. Ada yang kekal menjadi penyokong parti masing-masing, ada yang berubah parti atau ada yang akan memboikot PRU-15 kerana protes.
Kelompok inilah yang paling terkesan dengan PRU-14 kerana banyak yang mereka harapkan ketika mahu mencuba memilih kerajaan baru dulu hasilnya mengecewakan. Sebagai contoh janji mansuhkan GST dapat kurangkan harga barang tidak berlaku, mansuhkan PTPTN tidak berlaku. Kelompok inilah sewaktu PRU-14 dulu ramai yang masih menuntut dan baru memasuki alam pekerjaan. Jadi kelompok inilah yang sangat terasa atau marah dengan kegagalan kerajaan PH.
Penyokong Tegar
Kelompok ini telah melalui proses dan pengalaman kehidupan kelompok 18-20 tahun dan kelompok 21-24 tahun. Memang sudah wujud golongan penyokong tegar parti tetapi sebahagian besar kini lebih matang untuk menilai mana yang lebih baik atau mana yang lebih mendatangkan mudarat. Mereka tidak akan telan bulat-bulat semua propaganda yang dimainkan semua parti ketika ini.
Keadaan ini mungkin memberi kelebihan kepada BN dan kekurangan kepada PH. Mungkin akan ada pengundi PH pada PRU-14 yang marah dan kecewa dengan PH akan beralih arah kepada BN atau PN khususnya dan mungkin kali ini tidak keluar mengundi pun. Jadi dalam kedua-dua keadaan ini mungkin memberi kelebihan kepada BN.
Rumusan:
Jadi saya tidak bersetuju untuk mengatakan kelompok pengundi muda 18-29 tahun sebagai penentu PRU-15. Penentu sebenar adalah pengundi atas pagar terutama yang dalam peringkat umur 25-59 tahun. Kelompok inilah yang seramai antara 12-13 juta pengundi yang bakal menentukan lanskap politik negara kita untuk tempoh 5 tahun akan datang.
Lagi pun 4.87 juta pengundi baru yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi sebelum ini bukan hanya dari golongan muda tetapi mungkin mereka yang berusia 30-70 tahun. Mereka yang umur 60 tahun ke atas sudah tentunya akan mengundi parti sama dan kemungkinan besar mereka tidak berminat dengan politik lagi.
Ini hanya pengamatan peribadi saya sahaja.
*Data:
18-20 tahun seramai 1,393,549
21-29 tahun sramai 4,614,429
30-39 tahun seramai 4,681,384
40-49 tahun seramai 3,645,248
50-59 tahun seramai 3,027,498
60-69 tahun seramai 2,77,070
70-79 tahun seramai 1,093,951
80-89 tahun seramai 353,631
90 tahun dan ke atas seramai 86,914
Facebook Comments