Warkah Kasih Buat Najib: Tanda Setia Mahasiswa Kepada Negarawan Mereka

Sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang menzahirkan rasa kasih dan penghargaan mereka terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui satu kunjungan hormat ke kediaman Datin Seri Rosmah Mansor, menyerahkan sepucuk “Warkah Kasih” sebagai simbol ingatan, hormat dan doa. Bagi mereka, Najib bukan sekadar seorang pemimpin — beliau adalah sebahagian daripada sejarah hidup mereka.

Suasana tenang di kediaman Datin Seri Rosmah Mansor dua minggu lepas bertukar menjadi momen penuh emosi apabila sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau, membawa sepucuk Warkah Kasih buat suami tercinta, Datuk Seri Najib Tun Razak — tokoh yang mereka anggap sebagai negarawan unggul dan idola pendidikan anak muda.

Rombongan istimewa itu diketuai oleh Muhammad Nazmi Hakimi, Pengerusi Kelab UMNOSiswa USM, dan turut diiringi oleh tokoh akademik tersohor, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian. Hadir sama ialah Mohamed Azrin Samah, Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Anak Pahang USM serta Muhammad Adam Hafiz Ahmad, yang membacakan doa penuh penghayatan hingga mengundang air mata hadirin.

“Kami Datang Dengan Kasih, Bukan Sekadar Kata” – Suara Mahasiswa

Menurut Nazmi, kunjungan itu bukan semata-mata simbol penghargaan, tetapi manifestasi kesetiaan dan penghormatan kepada perjuangan kebenaran yang pernah dibawa oleh Najib — khususnya dalam usaha memperluas akses pendidikan dan peluang kepada golongan muda.

Jasa Najib Razak adalah sangat besar dan wajar disanjung oleh generasi yang membesar di bawah dasar dasar beliau semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 6

Mereka menyifatkan Najib bukan sekadar Perdana Menteri Keenam, tetapi pemimpin yang membentuk sebahagian daripada perjalanan hidup dan kenangan mereka sebagai mahasiswa.

Rosmah Tersentuh: “Saya Anggap Kamu Semua Seperti Anak Saya Sendiri”

Datin Seri Rosmah tidak dapat menyembunyikan rasa sebaknya ketika menerima Warkah Kasih dan mendengar luahan mahasiswa. Dengan nada keibuan, beliau melahirkan penghargaan terhadap kehadiran rombongan itu yang disifatkan sebagai suntikan semangat yang amat bermakna.

“Terima kasih kerana datang dengan hati yang ikhlas. Kamu semua hadir bukan sekadar membawa kata-kata, tetapi menunjukkan nilai, hormat dan keperibadian mahasiswa yang membanggakan. Saya anggap kamu semua seperti anak saya sendiri,” kata Rosmah dalam nada penuh kasih.

Beliau turut memuji ketertiban dan keberanian para mahasiswa yang berani menyatakan pendirian meskipun bertentangan dengan arus persepsi semasa.

Warkah Kasih Buat Negarawan Adalah Tanda Penghargaan Buat Seorang Negarawan Yang Jasa Dan Budinya Tidak Pernah Dilupakan.
Warkah Kasih Buat Negarawan adalah tanda penghargaan buat seorang Negarawan yang jasa dan budinya tidak pernah dilupakan

Doa yang Menyentuh Jiwa

Majlis turut diserikan dengan bacaan doa oleh Muhammad Adam Hafiz Ahmad. Lafaz doanya yang penuh keinsafan menzahirkan harapan dan simpati buat keluarga Rosmah dan Datuk Seri Najib.

“Ya Allah, andai beliau dizalimi, Engkau Maha Adil untuk mengangkat kezaliman itu… Maka nyatakanlah kebenaran, bersihkanlah nama beliau daripada fitnah dan aib, dan tegakkanlah keadilan dengan penuh hikmah dan kasih sayang-Mu…”

Doa tersebut menyebabkan beberapa hadirin mengesat air mata, termasuk wakil media yang turut hadir. Suasana menjadi syahdu, penuh simpati terhadap dugaan yang sedang dihadapi keluarga terbabit.

Prof. Sivamurugan: Mahasiswa Perlu Berani Nyatakan Pendirian

Dalam ucapannya, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan menyeru mahasiswa untuk berani menyuarakan kebenaran secara berhemah dan berprinsip. Menurut beliau, mahasiswa bukan hanya penuntut ilmu, tetapi juga penyambung suara sejarah.

Jati diri dan keberanian anak muda wajar menjadi contoh tauladan kerana ia bukan satu perkara yang kecil

Beliau turut menyifatkan rombongan ini sebagai cerminan mahasiswa berprinsip yang berani menzahirkan penghargaan terbuka kepada pemimpin yang pernah meletakkan asas penting dalam pembangunan negara.

Petikan Warkah yang Meruntun Jiwa

Antara isi Warkah Kasih yang disampaikan:

“Dato’ Sri bukan hanya Perdana Menteri Keenam kami, tetapi sebahagian daripada sejarah hidup kami. Kami membesar dengan dasar-dasar beliau. Dalam diam, kami mendoakan kebaikan buat beliau. Kami percaya, kebenaran akan muncul jua.”

Kasih, Hormat dan Doa — Bahasa Hati Anak Muda

Kunjungan ini membuktikan bahawa masih ramai anak muda yang tidak mudah terpengaruh dengan persepsi semasa. Sebaliknya, mereka menilai pemimpin dengan mata hati yang jernih.

“Kami bukan generasi yang lupa. Kami generasi yang tahu menghargai dan mendoakan yang terbaik buat mereka yang pernah berbakti,” ujar salah seorang mahasiswa.

Bagi Rosmah, kasih yang dizahirkan hari ini adalah hadiah terbesar untuk seorang isteri dan ibu yang sedang melalui ujian getir kehidupan.

Semoga beliau diberikan kekuatan dan ketabahan untuk terus menghadapi hari-hari mendatang – sehingga kebenaran tersingkap jua akhirnya. – NMH

Facebook Comments

author avatar
Emma Harith
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.

Latest articles

Related articles