Kempen “Jom Cuti! Bersama Wira & Manja” memperkenalkan pengalaman penginapan bertemakan hidupan liar Malaysia serta pakej mesra keluarga bagi menggalakkan rakyat meneroka destinasi tempatan
KUALA LUMPUR — Ketika industri pelancongan global terus berdepan cabaran akibat ketidaktentuan geopolitik dan perubahan corak perjalanan antarabangsa, Tourism Malaysia dan Dorsett Hotels Malaysia berganding bahu memperkukuh pelancongan domestik menerusi kempen “Jom Cuti! Bersama Wira & Manja”.
Kerjasama strategik itu dilancarkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan matlamat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meneroka destinasi dalam negara sambil menikmati pengalaman percutian yang mesra keluarga dan mampu milik.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Muhammad Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata pelancongan domestik kekal menjadi tunjang utama industri pelancongan negara, khususnya ketika pasaran antarabangsa berdepan pelbagai cabaran.
Menurut beliau, pengalaman lalu membuktikan pelancong tempatan memainkan peranan penting dalam membantu industri pelancongan dan perhotelan negara kekal berdaya tahan ketika berdepan krisis.
“Selepas pandemik Covid-19, pelancongan domestik menjadi antara faktor utama yang membantu pemulihan industri. Sebab itu kita terus memberi penekanan kepada usaha menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara,” katanya.
Tourism Malaysia Teruskan TMM2026 Hingga Ke 2027
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif di bawah TMM2026 akan diteruskan sehingga 2027 bagi memastikan momentum pertumbuhan sektor pelancongan negara dapat dikekalkan.
Antara tarikan utama kempen itu adalah di mana kumpulan Dorsett Hotels di Malaysia memperkenalkan bilik penginapan bertemakan Wira dan Manja, maskot rasmi VM2026 yang berinspirasikan beruang matahari.

Dihiasi mural hutan hujan tropika, karakter hidupan liar Malaysia, ruang permainan kanak-kanak, khemah mini dan pelbagai elemen interaktif, bilik tersebut direka bagi menawarkan pengalaman percutian yang lebih menyeronokkan kepada keluarga.
Naib Pengerusi Dorsett Malaysia, Datin Jasmine Abdullah Heng berkata inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menarik lebih ramai pelancong domestik, malah memupuk penghargaan terhadap khazanah alam semula jadi negara.
Kenangan Bermakna
“Melalui kempen ini, kami berharap lebih ramai keluarga dapat mencipta kenangan bermakna sambil meneroka keindahan destinasi tempatan,” katanya.
Kempen tersebut melibatkan rangkaian 13 hotel Dorsett di seluruh negara dan menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk diskaun sehingga 30 peratus, baucar makanan dan minuman bernilai RM50 serta konsep penginapan fleksibel selama 26 jam tertakluk kepada kekosongan.
Tourism Malaysia percaya inisiatif seperti “Jom Cuti! Bersama Wira & Manja” mampu merangsang pergerakan pelancongan domestik, sekali gus menyokong pertumbuhan hotel, restoran, pengusaha pelancongan dan perniagaan berkaitan di seluruh negara. – NMH

Anita Pandian is a versatile media writer and PR professional, with expertise in media management. She excels at creating compelling content, managing media relations, and developing strategic public relations campaigns. Her ability to engage audiences and strengthen brand narratives allows the companies she represents to effectively communicate their messages and enhance their public profiles. A seasoned broadcaster and TV host, Anita combines her on-screen presence with her PR acumen to offer a unique perspective, blending storytelling with corporate communications to drive visibility and impact for her clients.
Facebook Comments