ArtRISE @ Dorsett Satukan Imuda, Zuwairi dan Bakat Neurodiverse YANIS

Datuk Imuda dan pelukis mural Zuwairi Rahman antara penggiat seni yang menyokong inisiatif ini, yang turut mengetengahkan sembilan karya batik hasil kreativiti pengkarya neurodiverse Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS).

SUBANG JAYA: Seni menjadi titik pertemuan antara dua penggiat seni tanah air, Datuk Imuda dan Zuwairi Rahman, dengan sembilan pengkarya neurodiverse daripada Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) menerusi inisiatif ArtRISE @ Dorsett, yang bakal dilancarkan di Dorsett Grand Subang pada 25 November ini.

Imuda, yang dikenali sebagai pelawak, pelakon dan kartunis, serta Zuwairi, seorang pelukis mural, menyokong usaha memperluas ruang kepada bakat neurodiverse untuk diketengahkan melalui seni.

Antara tarikan utama inisiatif ini ialah koleksi sembilan karya batik hasil kreativiti pengkarya YANIS. Karya berkenaan akan dipamerkan di Executive Lounge, Dorsett Grand Subang dan ditawarkan untuk jualan sepanjang tempoh setahun.

ArtRISE @ Dorsett merupakan kerjasama antara Pertubuhan Rentak, Irama, Seni & Ekspresi (R.I.S.E.), Dorsett Grand Subang dan YANIS, yang menggabungkan seni, komuniti dan industri hospitaliti dalam satu platform inklusif.

Sembilan Pengkarya YANIS, Sembilan Hasil Kreativiti

Koleksi batik ini menampilkan pelbagai motif, warna dan interpretasi seni, dengan setiap hasil membawa identiti serta penceritaan tersendiri.

Antara lukisan dari YANIS yang bakal di paparkan di ArtRISE @ Dorsett. Tari Pusaka - Alunan Garisan umpama lentokan tarian traditional yang memukau.
Antara lukisan dari YANIS yang bakal di paparkan di ArtRISE @ Dorsett. Tari Pusaka – Alunan Garisan umpama lentokan tarian traditional yang memukau.

Antara karya yang diketengahkan ialah Tari Pusaka, yang menggabungkan motif bunga dan ornamen dalam rona merah jambu, jingga serta keemasan; Laman Kemuning, yang membawa suasana taman tropika; dan Laman Serindit, yang menyerlah dengan bunga merah dan jingga berlatarbelakangkan biru kehijauan.

Kembang Bara tampil dengan gabungan warna yang lebih dramatik, manakala Malam Bersemi mengetengahkan bunga-bungaan berlatarbelakangkan warna gelap. Koleksi ini turut merangkumi Arus Jingga, Unggas Rimba, Seroja Bintang dan Mekar Permai, masing-masing dengan interpretasi tersendiri terhadap alam dan keindahan flora.

Kesemua karya dihasilkan menggunakan material kapas berkualiti tinggi 100 peratus.

Laman Serindit: Apabila Sang Serindit singgah di Taman, bunga -bunga kembang mekar. Batik daripada YANIS di ArtRISE @ Dorsett.
Laman Serindit: Apabila Sang Serindit singgah di Taman, bunga -bunga kembang mekar. Batik daripada YANIS di ArtRISE @ Dorsett.

Selain nilai estetik, koleksi ini memperlihatkan potensi seni sebagai medium ekspresi dan pengiktirafan. Apabila dipamerkan serta ditawarkan untuk jualan, hasil kreativiti para pengkarya turut berpeluang menjangkau pembeli dan pencinta seni di luar lingkungan komuniti mereka.

R.I.S.E.: Membuka Laluan Daripada Bakat Kepada Peluang

Bagi R.I.S.E., pameran seni merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar untuk membangunkan potensi golongan neurodiverse, khususnya mereka yang memasuki alam dewasa.

Presidennya, Datin Hasnah Abdul Rahman, berhasrat membina ekosistem yang membolehkan individu neurodiverse, khususnya mereka berusia 16 tahun ke atas, mengembangkan kebolehan, membina kemahiran dan menuju kehidupan lebih berdikari.

Pendekatan pertubuhan itu merangkumi empat bidang utama: pembangunan sosial dan sokongan, pembangunan bakat serta bimbingan, pembangunan akademik dan kemahiran, serta pembangunan kerjaya dan peluang pekerjaan.

Matlamatnya adalah memastikan bakat yang dikenal pasti sejak usia muda terus dibangunkan apabila seseorang meningkat dewasa, dengan laluan yang boleh membawa kepada pekerjaan, keusahawanan atau sumber pendapatan sendiri.

Selain pameran seni, ArtRISE @ Dorsett turut merangkumi platform persembahan menerusi ArtRISE @ Dorsett Live! dan pengenalan R.I.S.E. Champions 1.0, yang mengetengahkan bakat neurodiverse dalam bidang kreatif.

Dorsett Membawa Seni Inklusif Ke Ruang Hospitaliti

Kerjasama dengan Dorsett Grand Subang memperlihatkan bagaimana sektor hospitaliti boleh menjadi rakan strategik dalam memperluas akses kepada ruang seni dan komuniti.

Melalui pameran di Executive Lounge, hotel menyediakan persekitaran yang membolehkan karya YANIS dinikmati oleh tetamu dan pengunjung, termasuk pelanggan korporat, pelancong serta pencinta seni.

Naib Pengerusi Dorsett Hospitality International Malaysia, Datin Jasmine Abdullah Heng, dan Pengurus Besar Dorsett Grand Subang, Nigel Boey, turut menyokong usaha membawa kreativiti dan keterangkuman ke dalam persekitaran hospitaliti.

Satu ciri penting program ini ialah kesinambungan pameran. Karya yang terjual akan digantikan dengan hasil baharu, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pengkarya untuk menyertai platform berkenaan sepanjang tahun.

ArtRISE @ Dorsett akan dilancarkan secara rasmi pada Rabu, 25 November 2026, jam 2 petang di Piano Lounge, Dorsett Grand Subang. Majlis itu akan turut diserikan dengan kehadiran Datuk Imuda dan Zuwairi Rahman, yang menyokong usaha memperluas pengiktirafan terhadap bakat seni golongan neurodiverse.- NMH

Facebook Comments

Latest articles

Related articles