Rosmah Mansor: Tujuh Tahun Dihukum, Hari Ini Akhirnya Didengar

Keputusan Mahkamah Rayuan bukan pembebasan, tetapi memberi sedikit kelegaan selepas bertahun-tahun Rosmah Mansor berdepan sabitan dan penghakiman di media sosial.

Selama hampir tujuh tahun, Datin Seri Rosmah Mansor bukan sahaja berdepan proses mahkamah.

Beliau turut berdepan “mahkamah masyarakat” — dan di media sosial, hukuman sudah lama dijatuhkan.

Pelbagai cerita diulang sehingga menjadi “fakta” bagi ramai orang. Antaranya, dakwaan bahawa wang projek solar hibrid RM1.25 bilion itu ialah wang untuk anak-anak sekolah di pedalaman Sarawak yang akhirnya digunakan untuk kepentingan peribadi.

Tetapi hari ini, Mahkamah Rayuan membuka satu lagi ruang untuk bukti diuji.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azhahari Kamal Ramli, bersama Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Muniandy a/l Kannyappan, membenarkan Rosmah mengemukakan keterangan tambahan, termasuk keterangan baharu daripada saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah.

Ini bukan bermakna Rosmah sudah bebas.

Mahkamah juga belum memutuskan bahawa keterangan baharu itu benar.

Tetapi mahkamah memutuskan ia cukup penting untuk didengar dan diuji.

Persoalan Yang Sejak Dulu Mengganggu

Saya mengikuti perbicaraan ini dan berada di mahkamah ketika banyak perkara berlaku.

Sejak awal, saya tertanya-tanya tentang kedudukan Rizal Mansor — yang pada mulanya didakwa bersama Rosmah sebelum menjadi saksi pendakwaan.

Saya juga tertanya-tanya mengenai persoalan asas: siapa sebenarnya melihat wang itu diserahkan kepada Rosmah?

Keterangan baharu Rayyan kini menimbulkan persoalan bahawa beliau sendiri tidak melihat Rizal menyerahkan atau mengenal pasti beg wang kepada Rosmah, dan pengetahuannya mengenai perkara itu datang daripada orang lain.

Begitu juga dakwaan bahawa arahan dan komunikasi berkaitan bayaran disampaikan melalui Rizal, bukan secara langsung daripada Rosmah.

Ini bukan bermakna dakwaan baharu itu sudah terbukti.

Tetapi bukankah persoalan-persoalan sebegini patut diuji di mahkamah, bukan dihukum di media sosial?

“Today Justice Has Been Served”

Pasukan Pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor Bergambar Di Mahkamah Rayuan Putrajaya Selepas Keputusan Membenarkan Keterangan Tambahan Dalam Rayuannya.
Pasukan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas mahkamah membenarkan keterangan tambahan dikemukakan dan diuji dalam rayuannya berhubung kes projek solar hibrid

Selepas keputusan itu, peguam utama Rosmah, Datuk Amer Hamzah Arshad, berkata:

“Today justice has been served.”

Beliau juga berkata mengenai keterangan baharu itu:

“We want it to be tested.”

Dan saya rasa di situlah letaknya makna keputusan hari ini.

Rosmah belum menang.

Sabitannya belum diketepikan.

Tetapi selepas tujuh tahun, dia akhirnya mendapat peluang untuk membawa persoalan-persoalan itu kembali ke tempat yang sepatutnya.

Bukan Facebook.
Bukan TikTok.
Bukan netizen.

Mahkamah.

Dan bagi seseorang yang telah bertahun-tahun dihukum, dicaci dan dilabel oleh masyarakat, saya rasa sedikit kelegaan itu memang wajar.

Tujuh tahun dihukum. Hari ini, akhirnya didengar. – NMH

Facebook Comments

author avatar
Hasnah Rahman
Datin Hasnah is the co-founder and CEO of New Malaysia Herald based in Kuala Lumpur, Malaysia. With an extensive background in mass communication and journalism, she works on building up New Malaysia Herald and it's partner sites. A tireless and passionate evangalist, she champions autism studies and support groups. Datin Hasnah is also the Editor in Chief of New Malaysia Herald.

Latest articles

Related articles