Oleh Anak Sabah
Semakin hari semakin teruk kenyataan yang dihambur oleh pemimpin-pemimpin Parti Warisan Sabah. Ia dibuat mungkin kerana terdesak untuk meraih undi pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Pemimpin pelbagai peringkat di negara ini menganggap kenyataan terbaharu calon Warisan DUN Segama PRN Sabah mengenai peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sebagai sandiwara sebagai biadab dan menghina anggota dan keluarga pasukan keselamatan.
Kenyataan bekas Menteri Pelancongan dan Kesenian, Mohammaddin Ketapi amat memalukan dan berniat jahat kepada pasukan keselamatan negara.
Mereka mahu tindakan tegas diambil terhadap calon itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kenyataan calon Warisan DUN Segama itu, menghina dan tidak menghormati pengorbanan anggota pasukan keselamatan dari seluruh negara yang menggadaikan nyawa mereka mempertahankan kedaulatan Sabah.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata kenyataan keterlaluan itu pasti menghiris perasaan seluruh anggota keselamatan terutama keluarga 10 anggota yang terkorban dalam peristiwa Kg Tanduo, Lahad Datu pada 2013.
Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, Dr Zahid menafikan segala tuduhan fitnah calon Warisan DUN Segama mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu. Beliau menegaskan Ops Daulat adalah langkah terbaik kerajaan BN dalam menghadapi ancaman pengganas.
Menurutnya, rakyat Sabah harus menolak calon-calon seperti ini yang menghina pasukan keselamatan.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Anifah Aman juga menyatakan ucapan calon itu satu penghinaan kepada anggota pasukan keselamatan yang sanggup menggadaikan nyawa untuk kedaulatan Sabah.
Mempertahankan Kedaulatan Sabah
“Di mana rasa hormat pemimpin Warisan ke atas anggota pasukan keselamatan yang terkorban mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pandangan calon itu tidak boleh diterima dan amat menyakitkan hati keluarga dan mangsa yang terkorban.
Parti Warisan patut rasa malu kepada kenyaatan bekas Menteri Pelancongan dan Kesenian itu. Rakyat harus menolak pemimpin Warisan ini.
Sementara itu, portal berita MyTv Online menyifatkan kenyataan itu satu penghinaan yang amat dahsyat sekali daripada seorang calon PRN terhadap pasukan keselamatan negara. Calon itu bukan saja tidak menghormati mereka yang gugur mempertahankan maruah negara dari pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013 tetapi memperlekehkan pengorbanan yang disumbangkan.
Kenyataan Mohamaddin Ketapi itu terhadap 10 orang anggota pasukan keselamatan telah gugur dalam tragedi hitam pencerobohan Lahad Datu seolah-olah menafikan pengorbanan mereka dan kehilangan nyawa mereka, selain langsung tiada nilai di mata pemimpin Warisan. Inilah sikap sebenar pemimpin Warisan tidak.menghargai pengorbananan orang lain.
Analisis yang dibuat oleh MyTv Online menyatakan demi sokongan dan untuk mendapat undi dalam PRN Sabah, tergamak seorang yang telah menjadi pemimpin kerajaan melakukan penghinaan sedemikian rupa terhadap pasukan keselamatan negara.
Mohammadin Ketapi calon Warisan menyifatkan bahawa peperangan di Tanduo Lahad Datu sebenarnya adalah suatu sandiwara semata-mata dan bukannya peperangan yang sebenarnya. Beliau juga menyifatkan bahawa peperangan yang berlaku itu adalah di antara pasukan keselamatan dengan ayam dan anjing.
Hasutan Dan Penghinaan
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kata portal berita itu, harus mengambil tindakan di mana kenyataan yang dibuat itu bersifat hasutan dan penghinaan terhadap anggota keselamatan yang telah gugur berjuang mempertahankan maruah negara dari diceroboh.
Bagaimana perasaan seorang ahli politik Warisan melihat gambar kematian anggota keselamatan? Apakah ini satu sandiwara? Apakah nyawa mereka boleh ditukar ganti dengan yang lain?
Bagi pemerhati politik, rakyat Sabah harus mengecam kenyataan yang telah dikeluarkan oleh calon Warisan ini dan membuat satu laporan polis sebagai tindakan tidak bersetuju dengan penghinaan yang dilakukan terhadap pasukan keselamatan.
Bukan itu sahaja, MyTV Online mencadangkan rakyat Sabah seharusnya menolak keseluruhan pemimpin dari parti Warisan yang bertanding dalam PRN Sabah pada kali ini. Sikap tidak bertanggungjawab ini sudah pastinya dapat dibendung dengan tidak memilih mereka atau tidak memberikan undi kepada mereka untuk menjadi kerajaan negeri.
Rakyat Sabah juga seharusnya sedar bahawa semua pemimpin Warisan yang bertanding tidak bertanggungjawab dalam apa juga tindakan dan perkataan yang mereka keluarkan yang akan memudaratkan rakyat Sabah apabila terus memilih mereka dalam pengundian pada 26 September 2020 nanti. – New Malaysia Herald
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com
Facebook Comments