Hantu Kenit Ganggu Tidur, Pocong Tak Bagi Kencing

Oleh Badrolhisham Bidin

Sedikit pembaharuan di dalam artikel penulis yang terbaru dan seterusnya. Kali ini, cerita yang dipaparkan adalah di dalam Bahasa Melayu, sesuai dengan tajuknya “Malam Jumaat Tales”.

Terdapat banyak permintaan dari pembaca yang mahukan kisah-kisah seram ini ditulis di dalam Bahasa Melayu dan tajuknya juga ditukar kepada “Kisah Malam Jumaat”.

Bunyinya sedikit kinky, tetapi apa yang akan dipaparkan adalah kisah-kisah seram dan mistik yang penulis alami sendiri dan yang didengar dari mereka yang pernah melaluinya.

Inilah kisahnya.

Saya suka memandu di waktu malam. Untuk balik kampung, bercuti atau ke mana sahaja, saya akan cuba memulakan perjalanan selepas tengah malam kerana cuaca dingin dan tidak banyak kenderaan di jalan raya.

Pada tahun 1991, saya bertemu dengan isteri saya, seorang gadis Terengganu dan bekerja di Kuala Lumpur. Apabila akhirnya kami bertunang, kami sering balik ke kampung halamannya di Marang. Tugas saya sebagai wartawan memang sibuk, tidak pernah dapat pulang ke rumah sebelum pukul 9 malam.

Beliau juga ketika itu seorang peguam dan sibuk. Apabila ada cuti mingguan, kami akan mengambil kesempatan untuk pulang ke Marang membuat persiapan majlis perkahwinan dan dapatlah mencuri masa untuk ke pantai.

Ketika itu tiada lagi Lebuh Raya Pantai Timur dan kami menggunakan jalan lama untuk menuju ke Pantai Timur. Laluannya sama. Masuk melalui Bentong, lalu Lebuh Raya Karak dan masuk ke jalan dalam melalui pekan-pekan di Pahang.

Kisah yang ingin saya ceritakan ini berlaku di dalam perjalanan pulang dari Marang ke Kuala Lumpur. Oleh kerana kami berdua bekerja pada hari berikutnya, kami mengambil keputusan untuk pulang pada pukul 10 malam dan menjangkakan akan sampai ke KL pada waktu subuh, memberikan kami cukup masa untuk membuat persiapan ke pejabat.

Selepas makan malam dan secawan kopi dengan keropok lekor, kami pun memulakan perjalanan. Jalan sunyi dan sekali-sekali akan bertemu dengan lori-lori besar yang menggunakan laluan yang sama.

Sampainya kami di Pekan Temerloh, saya mula rasa mengantuk dan terjumpa sebuah stesen minyak yang waktu operasinya telah tamat.

Saya memberitahu bakal isteri saya (ketika itu) yang saya hendak melelapkan mata sekejap sebelum meneruskan perjalanan.

Setelah memastikan kenderaan dikunci, saya pun melelapkan mata. Ketika itu jam kereta menunjukkan lebih kurang pukul tiga pagi.

Ketika saya tidur, saya bermimpi sekumpulan kanak-kanak telah memasuki kereta kami dan memarahi saya dengan kata-kata lebih kurang “Kau masuk kawasan kami. Kau ganggu kami. Mereka telah memanjat kerusi dan mengusik sana-sini. Ada juga beberapa orang kanak-kanak di luar kereta memanjat cermin hadapan dan mengusik wiper kereta.

Tiba-tiba saya terjaga dan melihat jam kereta menunjukkan pukul 5.20 pagi. “Hishhhh, lama aku tertidur,” saya bergumam dan selepas membasuh muka menggunakan air mineral di dalam kereta, terus memulakan perjalanan memikirkan kami akan terlambat untuk ke pejabat.

Ketika memandu, saya perasan walaupun jam bergerak ke hampir pukul 7 pagi, keadaan di luar masih gelap. Bakal isteri saya tidak sedar pun apa yang terjadi dan tidur nyenyak di sebelah.

Sesampainya kami di tol Gombak, dan ketika membayar tol, saya bertanya wanita yang menjaga tol pukul berapa sekarang.

Terkejut saya apabila diberitahu ketika itu baru pukul lima pagi, walaupun jam di dalam kereta menunjukkan pukul tujuh lebih.

Saya meneruskan perjalanan dan ketika sampai di rumah sewa saya dan keluar mengangkat beg. Ketika itu saya perasan ada beberapa tapak kaki kecil di atas cermin kereta hadapan dan tiba-tiba teringat mimpi tadi. Rupa-rupanya betul, kereta kami dimasuki kanak-kanak kerana di dalam mimpi itu, saya ternampak ada kanak-kanak yang mengusik jam di dalam kereta.

Selepas sebulan lebih, kami sekali lagi pulang ke Marang dan kali ini memulakan perjalanan pada waktu pagi. Kami berhenti di stesen minyak yang sama yang beroperasi dan selepas membeli jajan, saya berjalan di belakang stesen.

Kelihatan sebuah tanah perkuburan yang kebanyakannya kubur kecil yang menandakan milik kanak-kanak.

Saya bertanya seorang pekerja stesen minyak mengenai kubur itu dan beliau menjawab ia sebuah tanah perkuburan lama dan tiada siapa tahu kubur milik siapa. Adakah penghuni kubur itu yang masuk ke dalam kereta kami?

Satu lagi kisah, juga mengenai stesen minyak. Selepas berkahwin dan mendapat dua orang anak, kami masih lagi dengan habit memandu di waktu malam untuk pulang ke kampung.

Pada suatu malam, ketika isteri dan anak-anak tidur nyenyak, saya berhenti di sebuah stesen minyak yang gelap untuk ke tandas. Saya memandu terus ke belakang dan berhenti di hadapan tandas.

Lampu depan kereta menyuluh ke arah tandas dan saya terus berundur untuk keluar dari kawasan itu. Berdiri di hadapan tandas adalah satu lembaga berpakaian putih seperti pocong.

Isteri saya tersedar dan bertanya kenapa tidak ke tandas tetapi saya kata tandas berkunci kerana tidak mahu menakutkan beliau.

Saya memandu sehingga ke tol Gombak, terlupa yang saya pada mulanya ingin ke tandas selepas menyaksikan “pocong” tadi. Mungkinkah penduduk di situ sengaja menakut-nakutkan saya atau itu memang pocong sebenar?

Sehingga kini, saya masih gemar memandu di waktu malam. Mungkinkah saya akan bertemu dengan entiti-entiti sebegini di dalam perjalanan-perjalanan akan datang? Hanya masa yang menentukan. – New Malaysia Herald

Kisah Malam Jumaat - Baca Koleksi Cerita Hantu Setiap Malam Jumaat Di New Malaysia Herald
Kegemaran Badrolhisham Bidin memang pelik Beliau gemar menerokai bangunan tinggal mencari ketenangan di sana namun sebenarny dia takut dengan hantu Badrolhisham juga suka menulis di FB dan boleh dihubungi di badcutegmailcom

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com

Latest articles

Related articles