Sebagai ahli UMNO, penulis Panglima Limabelas tetap menghormati Presiden bukan kerana beliau adalah personaliti tertentu, tetapi kerana dia adalah Presiden.
Sebagaimana kita menghormati pemimpin Melayu yang ikhlas berjuang untuk Alifbata begitulah kita seharusnya menghormati institusi Presiden UMNO. Ramai yang tidak faham dan mahu menghayati kepentingan menghormati Institusi Kepresidenan.
Sebagai ahli UMNO, penulis tetap menghormati Presiden, bukan kerana Presiden itu Si dia atau Si Anu, tetapi kerana dia adalah Presiden. Presiden yang dipilih, bukan melantik diri sendiri. Kita patut menegur dan nasihat dengan menggunakan saluran yang ada. Dahulu, apabila BN kalah Najib Razak diasak untuk letak jawatan sebagai Presiden UMNO. BossKu akur dan menyerahkan kepada orang lain.
Ketika UMNO sakit, tiada sumber kewangan Zahid Hamidi berani untuk mengambil alih jawatan Presiden. Anehnya ramai yang cabut, termasuk Hishamuddin Hussein, lari senyap tak bersuara. Sekarang, Zahid diasak oleh pihak berkepentingan untuk melepaskan jawatan Presiden. Termasuklah orang yang sudah dipecat dan bukan ahli UMNO.
Sampai bila akan jadi begini? Ada sekelumit menjerit mahu menggantikan presiden kerana disuruh oleh pihak yang berkepentingan. Ya, betul, ia kerja mudah, tetapi kena ingat dasar pasti akan berubah. Kita jangan berbalah kerana itu kerja bodoh. Tumpukan kudrat dan tenaga untuk menang PRU15.
Apabila kalah pada PRU14 pada Mei 2018, kita semacam tempang. Sugul dan meroyan. Menuding jari. Sedikit demi sedikit, kita mencari rentak semula untuk terus berjalan. Sehingga kini masih terasa kehilangan kejantanan dan terasa sedikit tempang walaupun sudah menjadi sebahagian kerajaan. Kita tiada dana dan kementerian yang diberikan oleh Muhyiddin Yassin adalah portfolio yang tidak penting. Ahli UMNO akan ingat muslihat Abah Din (panggilan gelaran Muhyiddin Yassin). Tunggulah masanya.
Yang seelok-eloknya, kita terapkan nilai kesetiaan kepada institusi Presiden. Bantu Presiden untuk merealisasikan semua matlamat yang disusun. Banyak sudah Presiden lakukan bersama pasukannya. Janganlah asyik-asyik salahkan Presiden. UMNO tak jadi MB Perak, salahkan Presiden. UMNO tak jadi Ketua Menteri Sabah, salahkan Presiden. Bukalah mata hati kerana Presiden dan pasukannya sentiasa mahu orang UMNO jadi MB dan KM. Cuma faktor lain yang tidak perlu disebut, antaranya cengkaman dari pihak yang tertentu. Tuduhan ada agenda peribadi itu semestinya tidak lari. Waima, jika saya Presiden atau Timbalan Presiden, sekali pun bohonglah jika penulis idak memikirkan agenda peribadi.
Namun selagi maruah parti tidak dijaja, selagi martabat parti tidak digadai kepada pengkhianat, kita wajib menyokong Institusi Kepresidenan. Apatah kini banyak katak-katak yang melompat daripada parti sudah mula nak musnah parti mereka dahulu. Inilah spesis yang tidak bermaruah, tetapi akan dilaknati Allah SWT kerana membelot. – New Malaysia Herald
Nota: Pandangan yang dilontarkan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak melambangkan pendirian pengurusan portal berita ini.
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com
Facebook Comments