Oleh Badrolhisham Bidin
Ini kisah di mortuari Hospital Kuala Lumpur yang berlaku pada tahun 1986. Dua orang rakyat Britain dan Australia ditangkap menyeludup heroin dan dihukum gantung sampai mati. Kes Kevin John Barlow dan Brian Geoffrey Sherhold Chambers menggugat hubungan baik di antara Malaysia dan Australia ketika itu.
Selepas gagal mendapat pengampunan, kedua-dua banduan ini telah menjalani hukuman gantung di Penjara Pudu dan mayat mereka dibawa ke mortuari untuk dibedah siasat dan menunggu keluarga untuk menuntut.
Pada pagi itu, selepas mendapat berita tentang hukuman gantung, ramai wartawan menanti di depan Penjara Pudu. Kami kemudian berpindah ke mortuari untuk menanti berita terbaru. Biasanya, pihak kedutaan mereka akan datang. Kami juga mendapat tahu ibu bapa dan keluarga dua banduan turut akan ke mortuari untuk tujuan pengesahan dan menuntut mayat selepas dibedah siasat.
Apa yang diceritakan di sini bukanlah mengenai dua banduan ini tetapi keadaan di mortuari pada hari itu. Ketika kami sampai di mortuari, ada satu lagi mayat yang masih belum dituntut. Menurut pihak hospital, mayat seorang pengemis ditemui mati di bandaraya di dalam keadaan yang sudah reput dan berulat.
Walaupun disimpan di dalam peti sejuk di mortuari, baunya menyucuk hidung semua yang berada di sana.
Tetapi sebagai wartawan, kami terpaksa menahan bau busuk yang amat sangat. Memang tidak menyenangkan, tetapi kami harus menunggu keluarga Kevin Barlow dan Geoffrey Chambers untuk menuntut mayat mayat mereka.
Ketika itu, nak pergi makan pun risau sebab mungkin kami akan “tertinggal bas”. Walaupun rakan-rakan di sana semua baik-baik tetapi sayanglah kalau dah menunggu sehari suntuk tetapi boleh terlepas.
Kami “ohhh sooom” sesama sendiri siapa yang boleh ke kedai mencari makan dan makan di luar mortuari.
Tunggu punya tunggu, tiada siapa pun datang. Bila malam berlabuh, seorang demi seorang wartawan mula meninggalkan perkarangan mortuari. Masa itu tiada lagi portal ataupun laman sesawang yang perlu diisi. Kesemua wartawan di situ adalah dari akhbar dan stesen tv. Apabila deadline kami pun terlepas, masing-masing membawa diri. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Hanya tinggal saya dan seorang wartawan NST.
Apabila dah hampir tengah malam, rakan dari NST memberitahu yang dia terpaksa pulang kerana esok syif pagi.
Saya kata OK. Tetapi saya tetap menunggu, manalah tahu keluarga kedua-dua banduan ini menantikan semua wartawan balik, barulah mereka hadir untuk mengelakkan dari dikerumuni jurugambar dan pemberita.
Lebih kurang pukul 2 pagi dan terpaksa menahan bau busuk dari dalam mortuari, saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah selepas meminta pekerja mortuari untuk menghubungi saya di rumah kalau ada apa-apa pergerakan di sana.
Dengan bau busuk yang sudah melekat di pakaian dan tubuh, saya menunggang motosikal pulang ke rumah di Setapak.
Di dalam perjalanan pulang, kedengaran anjing menyalak yang berbunyi woooooooooo seolah-olah mereka terlihat sesuatu. Sampai di kawasan perumahan, anjing-anjing penduduk di situ pun turut menyalak. Satu taman perumahan riuh-rendah malam itu dengan anjing-anjing menyalak. Setiap rumah yang ada anjing riuh dengan salakan yang bersahut-sahutan.
Rendam Pakaian
Sampai di rumah, saya teringatkan pesanan Mak supaya merendam pakaian sebelum tidur. Saya rendam di dalam besen berisi air panas dan esoknya basuh dengan sabun.
Keesokannya, sibuk jiran-jiran saya bertanya sesama sendiri kenapa anjing-anjing di kawasan perumahan menyalak semacam aje awal pagi tadi. Saya hanya mendengar tetapi tidak memberitahu mereka apa yang terjadi. Mungkinkah haiwan-haiwan ini juga terbau yang sama atau ternampak sesuatu mengikut saya pulang?
Saya tidur nyenyak mungkin kerana terlalu penat. Pada awal pagi, selepas bersarapan, saya terus ke mortuari untuk sambung kerja.
Kisah kedua ini berlaku ketika menghantar isteri ke mahkamah Kuala Kubu Baru di Hulu Selangor. Isteri saya seorang peguam ketika itu dan perlu menghadiri satu prosiding. Oleh kerana kami tidak pernah sampai ke sana dan tinggal pula di Ampang, kami keluar awal pagi.
Sesampai di KKB lebih kurang pukul 6 pagi, kita pun mencari mahkamah. Tetapi saya sudah silap simpang dan memandu terus ke dalam perkarangan hospital di sana. Memang sunyi. Di dalam kabus tebal (ketika itu KKB masih berkabus walaupun sudah pukul 10 pagi), ternampak seorang wanita sedang berjalan mendaki bukit. Kami tidak hiraukan dan saya terus memandu ke hadapan.
Tak sampai 200 meter, kami ternampak wanita tadi di hadapan kami. Saya sudah mula cuak tetapi meneruskan perjalanan. Wanita yang di belakang tadi sudah berada di hadapan kami sekali lagi.
Bila toleh ke belakang, wanita tadi memang tiada. Saya ketika itu memandu perlahan.
Isteri saya pun perasan tetapi saya memberi isyarat jangan tegur.
Di hadapan, saya membuat pusingan U dan dalam perjalanan turun, wanita tadi sudah hilang. Siapa wanita itu?
Sementara itu, saya pun terfikir: Apa perasaan mereka yang bertugas di mortuari di waktu malam? Ada di antara mereka yang bekerja lebih 20 tahun di tempat yang sama.
Teringat saya kepada satu cerita yang tersiar di sebuah majalah beberapa tahun lalu. Seorang atendan didatangi seorang makcik untuk melihat mayat anaknya yang disimpan sebelum diambil oleh ahli keluarga.
Ketika itu, wajah mayat anaknya yang sebelum ini cerah bertukar gelap. Berceritalah makcik itu bahawa anaknya seorang yang baik, tidak pernah melawan atau meninggikan suaranya ketika berdepan dengan emaknya.
Tetapi ada pe’elnya yang tidak disenangi oleh Makcik itu. Jika ditanya sudahkah bersolat, anaknya akan buat cakap lain, tidak pernah dilihat anaknya itu mengerjakan ibadah.
Pada keesokannya, apabila ahli keluarga datang untuk menuntut mayat pemuda itu, atendan tadi tidak puas hati kerana mereka telah membiarkan ibu pemuda itu datang seorang di waktu malam.
Kenapa tidak diteman. Paling memeranjatkan ialah ahli keluarga itu berkata makcik itu sudah meninggal dunia.
Dia tidak percaya sehinggalah ditunjukkan gambar ibu pemuda itu. Rupanya sebiji dengan makcik yang mengunjungi mortuari malam sebelumnya. Siapa pula yang mengunjunginya malam semalam? – New Malaysia Herald
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com
Facebook Comments