Elok PRU15 (Online?) Daripada Bagi Pada Anwar

0
534
Elakkan penularan wabak Covid-19 seperti berlaku selepas PRN Sabah. - Gambar Fail NMH

Oleh Anak Permatang Padi

Mula-mula Kerajaan Barisan Nasional (BN), kemudian Pakatan Harapan (PH) dan kini Perikatan Nasional (PN).

Rakyat sudah merasakan tiga episod politik negara ini yang sangat berbeza dan yang terakhir ini amat merimaskan tatkala mereka menghadapi pandemik COVID-19.

Kini ada pula episod Anwar Ibrahim dengan laungan ‘cukup jumlah MP untuk membolehkannya membentuk kerajaan baharu’. Ini seperti Kenyataan September. Dahulu pun ada – 16 September tetapi dah jadi Tragedi September. Dalam kenyataan terbaharu Anwar, dia menyatakan telah diperkenankan untuk menghadap DYMM Tuanku YDP Agong pada 13 Oktober. Ada kerajaan baharu lagi?

Secara bandingan tentulah Kerajaan BN mempunyai banyak kelebihan kerana 60 tahun memerintah dengan banyak jasa sedangkan ketika zaman PH, rakyat menderita, sentiasa ditipu serta dizalimi terutama bangsa Melayu dan Bumiputera. PN pula yang bermula dengan baik kini semakin goyang dan menyongsang dengan perangai PM Muhyiddin Yassin yang seperti orang syok sendiri dan banyak memuji diri.

Apa kesudahannya bila Anwar Ibrahim dikata akan menghadap DYMM Tuanku YDPA pada hari Selasa 13 Oktober kelak Grafik NMH

Apatah lagi ramai orang UMNO yang tidak gemar dengan taktik kotor Muhyiddin dan konco-konconya. Muhyidin atau syok dipanggil Abah memberi ruang kepada katak-katak politik menghentam parti mereka sebelum ini. Tidak kira katak dari PKR seperti sikap Azmin Ali atau katak dari UMNO membabitkan perangai Hamzah Zainuddin. Mereka membentuk Geng C5. Mungkin mereka diajar oleh Muhyiddin sendiri.

Ada pemerhati politik melihat kemarahan UMNO kepada Kerajaan PN bermula seawal keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas presidennya, Najib Razak.

Ramai pemimpin UMNO kecewa dengan Muhyiddin kerana tidak membela Najib Razak sedangkan semua MP Parti Najib memberikan sokongan kepada Muhyiddin sehingga bekas MB Johor itu menjadi PM Gambar dari FB Najib Razak

Ramai pemimpin UMNO kecewa kerana keputusan itu menunjukkan PM Muhyiddin tidak membela Najib sedangkan semua MP parti Najib memberikan sokongan kepada Muhyiddin sehingga bekas Menteri Besar Johor itu menjadi PM.

Yang lebih menyakitkan hati orang UMNO ialah Muhyiddin seolah-olah lepas tangan terhadap semua pendakwaan politik oleh Atok Madir (Mahathir Mohamad) dengan kerjasama Tommy Tomato (Tommy Thomas) termasuklah kes Ahmad Maslan, Zahid Hamidi, Azeez Rahim dan Bung Moktar Radin. Apakah Muhyiddin nak jadikan ia sebagai senjata politik?

Ada pandangan yang menyatakan kemarahan pemimpin UMNO tidak padam malah semakin menjadi-jadi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan selepasnya.

UMNO dikatakan tidak dilayan dengan adil dalam agihan kedudukan dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan melihat perjanjian memegang portfolio tertentu cuba dimungkiri walaupun sudah dipersetujui.

Pemerhati politik melihat kemarahan kumpulan pemimpin pertengahan ini dikatakan sudah tak dapat dikawal oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan pemimpin MKT.

Pemimpin akar umbi UMNO mula bersuara tidak ada untungnya parti itu dalam Kerajaan Muhyiddin dan mahu UMNO menarik diri segera jika tidak dipedulikan ‘kehadiran’ mereka. Atau memberi Muhyiddin kata dua.

Sejurus selesai PRN Sabah pada 26 September lalu, pemimpin UMNO mula menyuarakan rasa tidak puas hati kepada PN terutamanya terhadap Bersatu melalui media sosial. Ini termasuk Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang kehilangan sebuah negeri selepas PRU14, mahu parti itu mengkaji semula kedudukannya bersama PN. Tidak ada faedah, katanya.

Bekas Timbalan Menteri, Asyraf Wajdi pula menganggap parti Bersatu lebih sudu dari kuah dan berlagak handal walaupun masih setahun jagung.

UMNO semakin marah dengan tindakan Bersatu main belakang termasuk membenarkan pemimpin bahagian mereka Rubin Balang menjadi calon bebas menentang Raime Unggi ketika PRN Sabah. Kemarahan UMNO semakin memuncak apabila Bung Moktar tidak dipilih menjadi KM. Hajiji juga mungkir janji dengan UMNO mengenai jawatan Menteri Kabinet Sabah selepas menjadi KM.

Atas semua faktor tersebut, pemerhati politik melihat pemimpin pertengahan UMNO seperti ketua bahagian dan ketua pemuda, yang baru balik dari Sabah tidak puas hati dengan segala perkembangan terbaharu berkaitan layanan Bersatu terhadap UMNO. Mereka tahu apa yang berlaku. Mereka yang kerja kuat tapi Bersatu kaut keuntungannya. Mereka melepaskan melalui media sosial dan pendekatan lain. Api kemarahan semakin merebak.

Penentangan akar umbi itu amat jelas sehingga pemimpin UMNO yang mempertahankan kerajaan Muhyiddin dimarahi dan dimaki tanpa segan silu. Antaranya Setiausaha Agung BN Annuar Musa. Teruk beliau dibelasah seolah-olah kenyataannya itu cuba membodek Muhyidin.

Ketika kemarahan orang UMNO terhadap Muhyidin, Hamzah, Hajiji dan PN, tiba-tiba Anwar membuat sidang media menyatakan beliau ada jumlah MP yang sudah beralih daripada menyokong Muhyiddin kepadanya. Terbaharu, Anwar menyatakan beliau akan menghadap DYMM Tuanku Agong untuk mempersembahkan perkara berkaitan jumlah MP yang cukup itu.

Ramai pemimpin politik menganggap tindakan Anwar itu sebagai mementingkan diri sejak dari dahulu lagi sedangkan negara sedang bergelut dengan COVID-19 manakala rakyat terkesan dengan pandemik itu. Ada yang diberhentikan kerja. Ada yang tiada pendapatan dan ada yang bisnes terlingkup.

Asyraf Wajdi mahu Anwar fikirkan pasal rakyat yang kini menderita kerana terkesan dengan wabak COVID-19 dan jangan hendak sibuk menjadi PM.

Ada pula pemimpin UMNO yang lantang menentang sebarang usaha membawa UMNO menyokong Anwar yang sudah pasti ada geng DAP di dalamnya. Geng DAP inilah yang dibiarkan oleh Atok Madir bermaharajalela melaksanakan agenda mereka terhadap kakitangan kerajaan dan bangsa Melayu. Ini termasuk mengkucar-kacirkan agensi yang ada roh Melayu dan Islam. DAP mempunyai balaci untuk melaksanakan agenda mereka termasuklah Mujahid.

Pemimpin UMNO mahu Zahid tidak membantu Anwar membentuk kerajaan baharu jika DAP masih ada di dalamnya. Lebih baik Parlimen dibubarkan dan biarkan rakyat menentukan kerajaan baharu daripada menyerahkan kepada Anwar. Suruhanjaya Pilihan Raya boleh melaksanakan PRU15 mengikut kaedah online atau pendekatan yang dapat menggelakkan penularan wabak COVID-19 ke seluruh negara. Rakyat tidak mahu kesilapan atau dosa Shafie Afdal terus berlaku sehingga meningkatnya kes baharu COVID-19.

Tidak perlu lagi berkempen kerana rakyat sudah tahu untuk memilih kerajaan baharu yang dapat memperjuangkan nasib mereka. Ayuh tolak DAP dan Anwar jika mereka membentuk kerajaan baharu selepas 13 Oktober ini. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com