UMNO Sudah Keluar Suara Jantan?

0
6751
Mesyuarat MT malam tadi yang buat keputusan drastik mengenai kerjasama politik bersama PN. - Gambar penulis.

Oleh Johari Baharuddin

Mulai malam tadi, ramai yang memberi pandangan dan analisis mengenai keputusan kerjasama politik UMNO dengan Perikatan Nasional (PN). Keadaan marah sayang tidak dapat lagi dibendung apabila PN banyak menikam dari belakang daripada bekerjasama secara ikhlas.

Malah retakan yang sudah bermula sejak awal lagi PM Muhyiddin memegang tampuk jawatan kini semakin lebar terutama selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lalu. Jawatan KM untuk UMNO dinafikan, malah jawatan penting dalam Kabinet Negeri Sabah hendak dibolot oleh Bersatu. Ini mencetuskan keputusan drastik UMNO malam tadi.

Pemerhati politik melihat mesyuarat Biro Politik UMNO malam tadi telah memutuskan untuk mempertimbangkan kerjasama politik bersama kerajaan PN sedia ada. Presiden tak ada telo? Ungkapan itu sudah dibuktikan tidak boleh dipakai lagi hasil daripada keputusan yang telah dibuat oleh UMNO.

Inilah antara ikon kepimpinan yang lestari di mana setiap keputusan dibuat melalui muzakarah bersama barisan kepimpinan parti. Bukan dia seorang yang buat keputusan. Bukan dia syok sendiri macam PM Muhyiddin yang ingin mempopularkan diri dengan panggilan Abah. Kini dijadikan ejekan sebagai #abahcow. Diharap ada pemimpin UMNO yang sering mengutuk pimpinan parti harus insaf dan bertaubat.

Menyelamatkan Keadaan Yang Runcing

Awalnya dilihat penyatuan ketiga tiga parti besar di bawah satu nama, iaitu Perikatan Nasional, lebih kepada menyelamatkan keadaan yang runcing tetapi setelah beberapa lama berada di bawah satu bumbung, jelas terlihat kuku-kuku rakus mula bercakaran siang dan malam menarik UMNO ke ranking yang lebih jauh ke bawah.

Bibir bibir rakyat lebih menyebut PN berbanding BN ataupun UMNO. Tidak cukup dengan itu, teknik membunuh karier politik kepimpinan UMNO dilakukan dengan rakus. Tuduhan-tuduhan di mahkamah yang nampak lebih kepada berunsurkan politik dikenakan terhadap tunjang-tunjang di dalam UMNO.

Hakikatnya, suara UMNO sebagai penyumbang utama kerusi bagi membentuk kerajaan PN dinafikan secara sinis. Presiden UMNO diasak kiri dan kanan malah lebih teruk ditekan dari luar dan dalam untuk melepaskan jawatan. Namun silat dan strategi berseni Presiden dan pasukannya melemahkan langkah koboi mereka.

Sudah sampai masanya PN harus sedar sumbangan besar UMNO dalam PN. Pemimpin PN tidak harus bersikap bongkak dan sombong dalam membuat sebarang keputusan membabitkan UMNO sehingga adakala seolah-olah mahu parti keramat ini mengikut telunjuk sesetengah pemimpin dalam PN. PM harus bangun dari tidur dan tidak ditarik hidung sepanjang masa. Apatah yang tarik hidung Abah ialah katak-katak politik. Menjadi PM tidak boleh lemah dan lalai. Harus cekap dan sentiasa bersedia.

Kini, UMNO telah bersuara jantan melalui institusi Presiden, menerusi Presiden yang di kala lemah dia tetap ada, tatkala disanjung dia tetap mengalah. Maka pentas pencak bakal terbuka luas. Yakinlah walaupun UMNO itu lapuk, namun tetap berbisa. Keramat dan azimat sang murabi bakal membawa UMNO ke tahtanya semula. Apa sumbangan kita yang berdarahkan Melayu, apa sumbangan kita yang bernafaskan kalimah tauhid? Pertahankanlah parti keramat ini dengan kepimpinan yang ada. Mereka tidak lari di waktu susah. Mereka menggapai tombak tatkala hulubalang lari bertempiaran.

Apa lagi yang kita mahu? Jika ditanya kepada penulis, maka tetaplah jawapannya biar mati bermaruah dari hidup menjadi petualang perjuangan. Belajarlah dari sejarah kejatuhan Kesultanan Melaka oleh pengkhianat bangsa. Mereka harus dihumban jauh-jauh ke tengah laut. – New Malaysia Herald

Nota: Pandangan yang dilontarkan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak melambangkan pendirian pengurusan portal berita ini.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com