Oleh Saodah Ismail
Anda tahu bagaimana rasanya tiba-tiba berjumpa kawan lama, yang dekat 20 tahun tak bersua muka? Tak boleh nak dibayangkan indahnya bukan? Itulah yang saya rasa ketika tiba-tiba dapat panggilan daripada artis ini – Salih Yaacob aka Abang Jem, beberapa hari lalu.
Selain mengenalinya sebagai artis yang sering saya temubual, kami ada sejarah bekerjasama dalam satu program memasak sewaktu saya di Astro. Saya jadi penulis skrip rancangan yang dinamakan, Sari Rasa di mana Salih sebagai hos. Boleh dikatakan ia antara tugasan yang menyeronokkan bekerjasama dengan seorang pelawak tersohor yang bagaimana anda lihat di kaca tv begitulah juga di luar kamera. Salih seorang yang boleh buat anda hilang stress, tak rasa penat malah tak rasa macam bekerjapun! Saya kira team produksi kami ketika itu cukup gembira setiap kali kami berada di set lokasi.
17 Tahun Kami Tidak Berjumpa
Selepas enam tahun, saya berhenti dari Astro dan tidak pernah sekalipun bertemu Salih dan hanya mendengar jenakanya di radio Sinar. Pernah juga saya terfikir untuk pergi ke Radio Sinar dan berjumpanya di konti. Ya, 17 tahun lamanya kami tidak berjumpa namun sebaik saja dia bagi salam dan cuba menyamar, saya menjerit. Aduhai, saya terus melompat gembira. Katanya dia dapat nombor saya dari rakan saya, Adam Salleh. Dan sejak hari itu, hampir setiap hari kami “berjumpa”, menyingkap kisah kisah lama, mengingati rakan rakan artis 80an dan 90an yang kebanyakkannya sudah tiada, malah ada yang sedang dalam jagaan keluarga kerana masalah kesihatan dik usia yang memanjat.
“Tak ada buat apa, buat bodoh jer!” katanya bila saya tanya buat apa setelah kontraknya dengan Radio Sinar selama 13 tahun berakhir dua tahun lalu, sebaik kerajaan 22 bulan mengambil alih. Mereka tak mahu sambung kontrak, nak buat macam mana, ujarnya.
Itu silapnya Sinar, kata saya. Pada hal Abang Jem ni ramai pengikut, contohnya saya sendiri tak pernah miss Sinar Pagi kerana jenaka dan respon spontan Abang Jem. Tapi yelah, bak kata Salih, bila gomen bertukar, orang atas pun bertukar. Jadi, kontrak pun ditamatkan. Bukan untuk mendengar leteran entah siapa siapa dan lawak yang tidak lawak.
Selepas Abang Jem tiada di Sinar, saya beralih ke Radio Klasik kerana merasa dekat dengan stesen itu dengan lagu-lagu nostalgia. Tidak ada lawak yang tidak lawak, strictly lagu-lagu lama yang evergreen. Tambah dalam keadaan hari ini, cukuplah dengan lawak bodoh orang politik di media sosial setiap hari. Di radio, kita mahu berhibur dengan Ahmad Jais, P Ramlee, Saloma, M Bakri, A Rahman Onn dan sebagainya. Dan ada juga tazkirah agama dalam beberapa saat. Cukuplah begitu.
Selama 13 tahun bersama Radio Sinar untuk slot pagi itu, Salih telah diketepikan oleh stesen TV lain termasuk RTM dan TV3. Menurutnya, dia tidak pernah dipanggil untuk sebarang show kerana pembabitannya sebagai penyampai Sinar untuk slot pagi selama empat jam itu.
“Mungkin saya dilihat sebagai artis Astro. Itu yang buat saya tersisih selama ini. Memang lama saya tidak muncul di RTM mahupun TV3, kecuali ketika saya nikah. Ada kamera yang ambil gambar akad nikah saya dan malamnya keluar dalam berita Salih Yaacob selamat diijabkabulkan. Mujur ketika itu tidak ada apa yang nak saya sembunyikan, isteri isteri saya tahu mengenainya. Bayangkan kalau saya nikah tanpa pengetahuan mereka dan keluar pula dalam berita, bagaimana?”
Mengakui kesibukan hari ini tidak seperti dulu kerana pergerakan yang terbatas sejak penularan COVID-19 dan PKPB, dia dan keluarga hanya diam di rumah. Isteri isterinya juga bekerjasama dalam menyediakan tempahan makanan yang sebelum PKP dihantar ke merata kawasan sekitar ibukota. Namun, sejak PKPB, tempahan semakin berkurangan. Dia dan keluarganya faham. “Yelah, orang di kawasan sekitar inipun, takkan nak beli makanan yang sama setiap hari,” katanya yang masih mengikuti perkembangan dunia hiburan, terutama kisah artis yang terlibat dengan pelbagai cerita yang tidak menyenangkan.
Merosakkan Nama Industri Hiburan Tanahair
Salih mengakui kesal dengan perkembangan semasa hari ini, terutama kisah yang merosakkan nama industri hiburan tanahair. Kisah artis yang terlibat dengan Macau scam dan kisah artis dengan kehidupan super mewah yang menurutnya, “40 tahun dalam industri pun tidak boleh hidup mewah macam apa yang kita lihat hari ini. Tunjuk jam tangan berjuta juta, dan ada pula artis pakai Rolls Royce…siapa yang kita nak bohong? Artis yang kaya pun, artis perempuan, itu pun kalau dia kahwin dengan Datuk!” katanya.
Melalui zaman gemilang dan kini zaman penuh mencabar dengan COVID dan PKPB, Salih yang sudah pun mengerjakan haji pada 1998 mengakui rindu rakan rakan lama, terutama rakan sepentas tahun 80 dan 90an. Kerana itu, ketika ini dia mengumpul semua nombor nombor rakan lama dan menghubungi mereka bertanya khabar dan pada masa sama mengimbau kenangan silam. Dia sedih dengan keadaan Zaleha Hamid yang ketika ini sedang terlantar sakit, dia juga mengikuti perkembagan M Daud Kilau yang katanya semangat masih kuat dan masih mahu ke pentas walaupun kini sudah bergerak dengan kerusi roda dan cukup sedih dengan kepergian Datuk Nassier Wahab, Halil Chik dan terbaru, R Ismail yang menurutnya adalah biduan yang tiada tandingannya.
“Dalam keadaan hari ini, tak boleh ke mana mana, saya cari semula kawan lama. Saya harap suatu hari nanti boleh berkumpul, kalau tak boleh ke Singapura pun berjumpa di Johor Bahru. Tapi itulah semuanya bergantung pada keadaan. Dan semua ini berlaku untuk kita renungkan bahawa kehidupan ini sangat singkat. Apapun kita mesti berbalik pada Allah,” tambah Salih lagi.
Semua Tiga Isteri Tinggal Sederet
Hari ini dalam usia yang hampir mencecah 61 tahun, Salih mengibaratkan dirinya sebagai penganggur. Tapi penganggur yang tenang, bahagia bersama tiga isteri – 13 anak dan tujuh cucu. Dia berpisah dengan isteri nombor dua. Dan kesemua tiga isteri hari ini tinggal bersebelahan di sebuah kondo di Pandan Indah. Ketika saya ke kondonya pada tahun 90an, kesemua isteri yang lain tinggal di blok berasingan. Tetapi hari ini, masing masing tinggal di tingkat yang sama apabila tiga pintu sederet kondo itu menjadi kediaman ketiga tiga isteri dan anak anak.
“Saya tidak rancang mereka duduk sebelah menyebelah. Tapi Alhamdulillah, semua ini aturan Allah dan saya sangat bersyukur. Senang, tiga pintu sederet. Tak payah start enjin kereta, pakai selipar saja. Silap silap tertukar selipar, sebelah lain sebelah lain!”
Inilah artis yang pada tahun 90 ketika dia mengamalkan poligami dengan empat isteri, menjadi polemik setiap media. Bahkan dia juga berjaya menarik perhatian Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tuan Guru Nik Aziz pernah dilaporkan sebuah berita memuji Salih kerana berjaya memberikan contoh terbaik dalam amalan poligami secara Islam. Salih juga ketika itu sering dipanggil ke forum forum keluarga bercakap mengenai kehidupan berpoligami anjuran Pas. Sehinggakan, katanya, ramai yang menganggap dia adalah ahli PAS. Namun, tidak kurang juga ada pihak yang membelasah, terutama badan badan yang mewakili kaum hawa apabila dia dikecam oleh Ketua Wanita Umno ketika itu, Shahrizat Jalil.
Jadual hariannya?
Pagi, saya senam sikit dalam rumah saja, sebab tidak boleh keluar sekarang ni. Lepas tu, saya ni tak berapa sarapan sebab saya terus makan tengahari. Itu saja. Malam pula saya tidak makan, tapi perut buncit juga! Dan saya tidur jam tiga pagi.”
Buat apa sampai tiga pagi, tanya saya.
“Tengok Berita Dunia dan macam macam lagi, termasuk drama drama. Sejak tahun 80an, saya banyak solat malam, baca Quran,” jelasnya sambil menyatakan jika ada undangan di masa akan datang, dia sedia selagi diperlukan. – New Malaysia Herald
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com
Facebook Comments