Dilema Suara Hati Seorang Penulis Buku Yang Kerdil

0
466
Mengenai penulis: Penulis kerdil yg digelar ulat buku oleh kawan-kawan. Menulis ialah darah daging saya dan kini diwarisi dua anak saya Baha' dan Saif. Tempat yg suka dilawati ialah library, tepi laut, dalam hutan. Suka melancong dan telah ke beberapa negara sambil melihat dan mencari idea-idea baru

Oleh Sarah Kamal

Mukadimah ini didahului dengan ucapan terima kasih kepada New Malaysia Herald yang telah memberi peluang untuk saya menulis di sini. Ini adalah pertama kali saya menulis secara maya. Sebelum ini saya hanyalah penulis biasa sahaja, hanya penulis buku. Penglibatan saya dalam dunia buku berbentuk fizikal selama lebih kurang 20 tahun. Ya, saya tidak pernah menulis untuk ruangan kolum di mana-mana media dan saya harap tulisan saya dapat memenuhi citarasa pembaca di sini.

Kajian pada tahun 2014 mendapati rakyat Malaysia membaca 15 buku setahun. Ianya adalah lebih baik kerana meningkat dengan banyak berbanding kajian yang dilakukan pada tahun 2005 di mana purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun! Namun, saya menceburi bidang penulisan bukan kerana melihat perkembangan yang baik ini, sebaliknya saya menulis kerana minat, dan ia telah menjadi hobi saya sejak kecil lagi.

Sampaikanlah Dariku, Walaupun Satu Ayat - Penjelasan Syaikh Muhammad Bin Shalih Al-'Utsaimin rahimahullahu Ta'ala (Hadis Sahih Bukhari)

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat (dari Sahih Bukhari). Ini adalah pesanan dari baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ia hadis yang dianggap tulin dalam dunia ilmu Islam. Ini menunjukkan bahawa ilmu yang baik terutamanya yang berguna sangat penting dan digalakkan untuk disampaikan kepada masyarakat sama ada secara penyampaian mulut atau melalui tulisan.

Banyak penulisan berkisar tentang sastera, kisah masyarakat, sejarah dan seni dihasilkan oleh para penulis, contohnya seperti Sasterawan Negara Usman Awang yang banyak menyumbang dalam karya seni tanah air, Norhayati Berahim yang novel-novelnya banyak yang sold out kerana menjadi kegilaan remaja, Syamnuriezmil yang novelnya banyak diangkat dan diadaptasi menjadi drama tv dan filem, mendapat rating tertinggi di tv dan box office di pawagam. Kita juga ada penulis buku genre seram seperti Tamar Jalis dengan bukunya yang popular “Bercakap Dengan Jin”, Ramlee Awang Murshid penulis “Hawra” buku genre thriller yang tiada tandingan. Kartunis Lat telah mempopularkan budaya Malaysia di peringkat dunia melalui koleksi buku kartunnya, “Kampong Boy”. Tidak kurang penulis buku-buku penuh dengan nasihat keagamaan yang evergreen seperti Allahyarham Ustaz Ismail Kamus.

Penulis memiliki daya imaginasi yang sangat kuat, bahkan sangat tinggi. Bukanlah saya hendak memuji diri sendiri kerana siapalah saya hendak dibandingkan dengan nama-nama besar seperti yang telah saya sebutkan tadi. Kekuatan dan ketinggian daya imaginasi itulah yang membolehkan penulis menterjemahkan ilmu dan idea menjadi sebuah tulisan. Imam Ghazali mengembara 10 tahun untuk menghasilkan karya agungnya, Ihya’ Ulumiddin sehingga menjadi rujukan para sarjana dan ilmuan besar. Saya hanya menyebut beberapa nama sedangkan ramai lagi nama-nama besar dalam dunia penulisan yang dibanggakan. Para penulis ini memberi sumbangan yang bukan sedikit untuk kemajuan sesebuah bangsa, malah merupakan pejuang tanah air dan pembela agama.

Penulis Dan Penerbit

Bakat penulis hanya penerbit yang dapat mencungkilnya. Tanpa penerbit mustahil penulis dapat ketengahkan idea dan gagasan. Jika menulis secara fizikal, pihak yang menerbitkan bukunya  dipanggil ‘penerbit buku.’ Jika menulis secara digital pula mereka dipanggil ‘penerbit konten.’ Berbeza dengan penulis di zaman dahulukala yang tidak memerlukan penerbit. Mereka menulis supaya follower atau anak murid mereka dapat menyimpan ilmu tersebut untuk menjadi bekal kepada generasi seterusnya. Kerapkali bukan sosok itu yang menulis tetapi followernya yang menuliskan kata-katanya sehingga menjadi buku yang dipertahankan sehingga turun temurun. Sepanjang pengalaman saya dengan penerbit, mereka ada dua cara pembayaran untuk buku yang telah diterbitkan, iaitu bayaran secara lumpsum atau secara honorarium atau royalti. Biasanya penulis cenderung kepada kaedah pembayaran yang kedua kerana ia menguntungkan kedua-dua pihak.

Namun apa yang menyedihkan ialah perkembangan industri buku di Malaysia kian merosot sejak empat tahun lalu akibat perubahan trend pembacaan dalam kalangan rakyat. Perkembangan industri buku menurun bukan disebabkan tiada pembaca tetapi peralihan daripada bahan bacaan fizikal kepada digital. Tidak dinafikan, buku fizikal masih menjadi kegemaran ramai. Ini kerana peminat buku lebih suka ‘bersentuhan’ dengan buku dan dengan itu dapat menjiwai ‘roh’ buku tersebut. Mereka mengumpulkan koleksi buku-buku dalam almari yang cantik dan mahal. Ada juga buku-buku yang tidak sesuai untuk di’digital’kan kerana kontennya yang tebal. Ditambah pula dengan gambar-gambar yang banyak. Jadi kebanyakan buku digital bersifat nipis, mudah dibaca dan simple yang menjadi trend kepada pembaca kini. Perubahan ini menjadi tamparan yang hebat kepada penerbit khususnya, ditambah pula kurangnya daya beli rakyat kerana ekonomi global yang merudum sejak pandemik COVID-19.

Kesan Dihentikan Skim Baucer Buku

Industri buku berkembang secara luar biasa ketika baucer buku bercetak masih digunakan. Mulai 2016, baucer buku menjadi kad debit yang memungkinkan penerima boleh berbelanja tanpa perlu membeli buku. Baucar buku sangat membantu penerbit kecil terutama pada era orang semakin kurang menjadikan membaca buku sebagai hobi. Kemampuan belian buku rendah dan hilangnya pelbagai peruntukan membeli buku serta baucer buku menyebabkan industri buku hampir lumpuh. Impaknya banyak pemain industri buku terpaksa gulung tikar yang menyebabkan ramai hilang pekerjaan.

Kesan jangka panjang yang lebih besar ialah negara semakin kurang judul baharu untuk bacaan rakyat Malaysia. Kita semakin hilang pembaca dan hilang penulis.

Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bersetuju untuk meneruskan Skim Baucer Buku dan membawanya kepada Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu untuk dicadangkan dalam Bajet 2019 namun tiada tindakan seterusnya. Menteri Kewangan pada ketika itu, Lim Guan Eng sekadar bersetuju untuk “melihat” cadangan tersebut.

Masa Depan Penulis Dan Buku

Satu kajian menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan masa tidak kurang 20 jam seminggu di media sosial. Perkembangan ini tidak banyak memberi kesan kepada penulis dan penerbit buku, kerana buku-buku tetap boleh dijual secara digital. Namun begitu, pengeluaran buku-buku di Malaysia telah menurun sejak tahun 2017. Ini kerana, kecuali baucer buku yang diperkenalkan ketika  itu, peruntukan lain untuk menggalakkan pertambahan pengeluaran buku tidak diberikan. Kerajaan diharapkan peka dengan keadaan ini kerana sekiranya tiada usaha dilakukan untuk membaikinya, trend industri buku tempatan tidak akan berkembang lagi.

Kajian yang dilakukan oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati kanak-kanak boleh membaca pada usia dua tahun. Dalam hal ini kerajaan perlu mencari jalan untuk menggalakkan ibu bapa merangsang anak-anak mereka untuk menjadikan membaca sebagai hobi, kerana peranan sekolah dan perpustakaan datang kemudian, keluarga yang pertama untuk mainkan peranan.

Industri buku negara tidak difahami oleh pembuat dasar menyebabkan ia ketinggalan dan dilihat sebagai isu sampingan menjadikan industri ini semakin terhimpit dengan perkembangan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Ada beberapa cadangan yang sewajarnya diambil perhatian oleh kerajaan, iaitu:

Diekspot ke luar negara :

Dengan cara ini kerajaan dapat pulangan yang memberangsangkan kerana kandungan buku sudah tentunya berkaitan seni dan budaya Malaysia, contohnya boleh menggalakkan pelancong untuk datang kemari dan dapat meyakinkan pelabur

Meningkatkan kualiti buku :

Kualiti buku yang dihasilkan harus dipertingkatkan dan setaraf dengan buku-buku dari para penulis bertaraf dunia, jika mampu, atau bertaraf Asia. Penulis mesti menjaga kualiti penulisan sebelum diterbitkan.

Bajet 2021

Bajet 2021 yang baharu sahaja diumumkan oleh kerajaan Perikatan Nasional juga tidak mempedulikan soal industri buku. Tiada peruntukan khusus yang disalurkan untuk industri yang sedang mengalami kemerosotan ini. Tanpa sokongan kepada industri buku tempatan, negara kita akan dibanjiri oleh kemasukan buku-buku dari luar seperti dari Barat dan Indonesia. maka tidak mustahil nasib penulis dan penerbit buku semakin nazak

Namun walau apa pun rintangannya, penulis janganlah berputus asa dan teruslah berkarya. Terus hasilkan buku kerana buku tidak akan pupus. Tetapi tentukanlah buku apa yang ingin kita sumbangkan kepada rakyat? Ingatlah, setiap hasil yang kita usahakan adalah cerminan kegemilangan penulis itu sendiri. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com