Siapa Pula Yang Peluk Aku Tadi?

0
555
Kisah Malam Jumaat - Baca koleksi cerita hantu setiap malam jumaat di New Malaysia Herald
Kegemaran Badrolhisham Bidin memang pelik. Beliau gemar menerokai bangunan tinggal, mencari ketenangan di sana, namun sebenarnya dia takut dengan hantu. Badrolhisham juga suka menulis di FB dan boleh dihubungi di badcute@gmail.com.

Oleh Badrolhisham Bidin

Pernah tak terfikir siapa atau lebih tepat lagi apa yang menghuni pejabat selepas kita pulang ke rumah?

Kadang-kadang terasa pelik, fail yang disusun rapi sebelum pulang dijumpai beralih tempat atau kerusi yang disusun beralih dari tempat biasa apabila kita sampai ke pejabat keesokannya. Rasanya pihak keselamatan tidak akan melayan permohonan untuk memeriksa CCTV hanya untuk menjawab soalan-soalan remeh kita.

Malam ini kita dengar pula pengalaman-pengalaman mereka yang pernah melaluinya. Semua nama yang terkandung di dalam artikel ini diubah.

Kisah Malam Jumaat - Baca Koleksi Cerita Hantu Setiap Malam Jumaat Di New Malaysia Herald. Oleh  Badrolhisham Bidin.
<strong>Ada makhluk lain di pejabat Mungkinkah mereka mengambil alih tugas selepas kita pulang ke rumah<strong>

Seorang pegawai bank menceritakan kisahnya mendengar suara meminta beliau pulang ke rumah kerana sudah lewat. Asiah sering bekerja hingga pukul 10 malam untuk menghabiskan tugasan yang tidak boleh tunggu hingga ke esok.

Pada suatu malam, selepas rakan-rakannya pulang, Asiah tinggal seorang diri. Dia merancang untuk pulang dalam sejam lagi. Selepas beberapa ketika, dia terdengar bunyi mesin pemayang kertas (shredder) beroperasi sedangkan yang lain-lain telah meninggalkan pejabat.

Mesin pemayang itu pula terletak di hujung pejabat dan lampu di sana ditutup selepas pukul 6 petang.

Difokuskan pandangannya ke arah mesin itu tetapi tidak nampak sesiapa di sana. Asiah tidak mempedulikan hal itu dan terus bekerja.

Tidak lama selepas itu, terdengar suara wanita yang menyuruhnya pulang. “Baliklah. Dah malam ni.” Lebih kurang begitulah suara wanita itu seolah-olah berada di sebelahnya. Apa lagi, dia bingkas bangun dan berkemas untuk pulang.

Keesokannya, setelah diceritakan kepada rakan setugas, mereka berpakat untuk tidak meninggalkan sesiapa seorang diri di dalam bangunan pencakar langit itu.

Seorang lagi sahabat menceritakan kisah yang lebih kurang sama. Ketika Asmadi dan dua tiga orang lagi rakannya bertungkus-lumus menyiapkan laporan yang perlu diserahkan kepada boss keesokannya, mereka terkejut mendengar mesin fotostat beroperasi. Semua mendongak memandang ke arah mesin yang terletak di satu sudut.

Memang ia beroperasi. Mereka ternampak lampu yang menandakan pengimbas itu bergerak tetapi tiada siapa di situ. Asmadi dan rakan-rakannya saling memandang dan terus bekerja.

Di sebuah bangunan lama di ibu kota, sering ternampak kelibat budak-budak kecil berlari-lari di lobi oleh mereka yang sering pulang lewat. Apabila diperiksa, tidak pula terjumpa mereka. Pengawal di sana juga sering mendengar suara kanak-kanak ketawa seperti sedang bermain.

Kakitangan wanita yang menggunakan tandas di tingkat-tingkat tertentu pernah mendengar suara wanita menangis dari kubikel sebelah, tetapi apabila dijenguk dari bawah, tiada siapa di dalam.

Lama-kelamaan, pengalaman-pengalaman seram menjadi perkara biasa bagi mereka yang sering bertugas malam.

Ini pula kisah Karim yang berpejabat di tengah-tengah kota raya. Isterinya juga bekerja di pejabat yang sama dan mereka sering bekerja lebih masa , kadang-kadang sehingga pukul 10 malam.

Pasangan ini hanya bermotosikal ke pejabat dan tinggal di sebuah taman perumahan di luar kota.

Suatu malam, setelah penat bekerja, mereka berdua berjalan menuju ke tempat parkir motosikal. Setelah bersiap, Karim pun menunggang motosikal sambil dipeluk isteri di belakang.

Mungkin kerana penat bekerja, masing-masing melayan perasaan. Sepanjang perjalanan, telefon Karim berdering beberapa kali tetapi tidak dijawab kerana sedang menunggang motosikal.

Lebih kurang sejam kemudian, Karim sampai di hadapan pintu pagar yang terbuka, selalunya anak yang sulung akan membuka pintu pagar untuk memudahkan ibu bapa mereka yang kepenatan.

Ketika masuk ke dalam rumah, anaknya bertanya “Mak mana?”.

Karim menoleh ke belakang dan dilihatnya isterinya tiada di belakang.

Dia cepat-cepat mengeluarkan telefon dari poket dan melihat ada beberapa panggilan tidak dijawab dari isterinya.

Dia cepat-cepat telefon isterinya yang terus memarahinya. “Apa Abang ni? Kenapa tinggalkan saya di pejabat? Abang jangan main-mainlah…” Leteran isterinya tidak berhenti-henti di corong telefon.

Karim terdiam, siapa pula yang memeluknya sepanjang jalan tadi? Adakah kerana dia terlalu penat sehinggakan terlupa untuk memastikan isterinya menaiki tempat duduk belakang? Adakah yang dirasakan memeluknya hanya perasaan yang bermain di fikiran.

Sudahlah penat bekerja sehari suntuk, kini dia terpaksa pusing balik ke pejabat untuk mengambil isterinya yang “tercicir”.

Oleh kerana sudah terlalu lewat, Karim memandu kereta ditemani anak-anak ke pejabat untuk mengambil isterinya.

Terpaksalah dipekakkan telinga mendengar bebelan dan leteran isterinya yang tidak tahu cerita di sebalik “kealpaan”nya.

Pengalaman Pelik

Apabila sudah sampai di rumah, Karim menceritakan pengalaman pelik dipeluk sesuatu sepanjang jalan. Keesokannya, kedua-dua mengambil cuti kecemasan.

Kini Karim berhati-hati, selalu memastikan isterinya sudah duduk di tempat belakang sebelum menunggang.

Di dalam seram Kisah Malam Jumaat, ada juga kisah lucu yang dialami seorang teman.  Untuk ke kawasan parkir, kakitangan terpaksa melalui satu koridor yang panjang dan malap kerana hanya lampu tertentu yang dinyalakan.

Ketika melalui satu kawasan gelap, kakitangan yang pulang lewat ini terdengar suara garau memanggil-manggilnya. Dilihat sekeliling tiada pula sesiapa di situ.

Dia berlari masuk semula ke pejabat, peluh menitik dari dahi walaupun di dalam bilik berhawa dingin dan menceritakan kepada rakan-rakannya yang lain.

Bimbang akan keselamatannya, seorang kakitangan lain telah menemani kakak ini ke kereta.

Keesokannya, kecoh satu pejabat mendengar pengalaman seram kakak ini.

Tetapi apa yang dia tidak tahu sehingga kini adalah suara yang memanggil-manggil namanya itu adalah seorang rakan sepejabat yang menyorok di sudut yang gelap untuk menakut-nakutkan kakak ni.

Kalaulah dia tahu cerita sebenar… – New Malaysia Herald

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com