Perpaduan Untuk Semua. Disember Adalah Bulan Perpaduan

0
761
Bulan Perpaduan Malaysia. Together 4 U. Ministry of National Unity.

Tidak dapat dinafikan, tahun 2020 adalah tahun yang paling mencabar. Ancaman COVID-19 membuatkan rakyat Malaysia takut untuk keluar, berkurung di dalam rumah masing-masing sejak Mac.

Ada hikmah di sebalik perintah kawalan pergerakan menyekat kebebasan bergerak ke sana ke sini dan mengapa sempadan kita ditutup.

Mungkin ini adalah peluang untuk kita berundur satu langkah ke belakang dan memikirkan apa yang telah kita lakukan untuk keluarga dan negara.

Apakah kita telah mencarik kain yang selama ini mengikat kita sebagai sebuah keluarga yang besar dan menyebabkan kita menjadi katak di bawah tempurung? Persahabatan kini tertumpu kepada satu kaum dan semangat kenegerian semakin menebal.

Jika inilah keadaannya, maka kehadiran COVID-19 adalah tepat pada masanya sebagai peringatan untuk kita kembali bertaut. Ingatkah anda ketika kita membesar di kampung, di mana rakan karib adalah mereka yang berlainan bangsa. Atau ketika kita bekerja di bawah satu bumbung dengan rakan-rakan yang berlainan latar belakang dan agama.

Kita perlu akui kita tidak lagi bersatu seperti dahulu, seperti yang pernah terpapar di dalam video Allahyarhamah Yasmin Ahmad atau lukisan Datuk Lat. Pendek kata, semangat 1Malaysia yang dahulunya sinonim dengan kita semakin hilang. Juga seruan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj, Bapa Kemerdekaan - Kami Semua Rakyat Malaysia. Inilah Ikatan Yang Menyatukan Kita. Perpaduan Adalah Kekuatan Asas Setiap Rakyat Dan Bangsa.

Marilah kita menjadikan bulan terakhir di tahun 2020 sebagai bulan tautan di antara kita, mengingati semula kesukaran yang dilalui dan mengubahnya sebagai peluang dan pandangan positif ketika melangkah ke 2021.

New Malaysia Herald akan berkongsi kisah-kisah lama, bagaimana kita berjuang sebagai satu pasukan dan mengintai harapan di tahun 2021 dan seterusnya.

Kisah-kisah menarik, video, peraduan dan masakan akan memenuhi ruang portal ini. Kami akan menemu bual para menteri, rakyat jelata, termasuk makcik-makcik dan pakcik-pakcik di kampung. Anda juga berpeluang memenangi hadiah di dalam peraduan yang menarik.

Norma-norma baru tidak boleh menghalang kita dari terus bergerak ke depan dengan projek yang tepat pada masanya ini. Projek kami mendapat sokongan dari NGO seperti Pertubuhan Pemangkin Ekonomi Melayu (PEM) dan BeNAR Malaysia. Turut memberi kerjasama ialah Kementerian Perpaduan Negara. Kami tidak berdaya untuk melakukan semua ini bersendirian, ia semestinya usaha bersama.

Marilah kita mencapai perpaduan kerana kita tidak ada pilihan lain. Gunakan tempoh ini sebaik mungkin dan hadapilah 2021 dengan berani.  Bersama secara positif. Bersatu kita teguh. T4U – Bersama Mencapai Perpaduan –  Together 4 Unity. – New Malaysia Herald.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com