Cleaner Cuci Lantai Depan Mortuari Tengah Malam

0
509
Kisah Malam Jumaat - Baca koleksi cerita hantu setiap malam jumaat di New Malaysia Herald
Kegemaran Badrolhisham Bidin memang pelik. Beliau gemar menerokai bangunan tinggal, mencari ketenangan di sana, namun sebenarnya dia takut dengan hantu. Badrolhisham juga suka menulis di FB dan boleh dihubungi di badcute@gmail.com.

Oleh Badrolhisham Bidin

Bila sebut sahaja mortuari atau bilik mayat, ramai yang takut. Di situ, entah beribu mayat sudah memenuhi peti yang tersusun di dinding dan tidak kurang juga yang terbaring menanti untuk dibedah siasat.

Tetapi dahulu, ketika menjadi wartawan The Malay Mail, mortuarilah di antara tempat kami mencari berita. Dead men tell no tales atau orang mati tidak boleh berkata-kata, tetapi di mortuari inilah lubuk berita kami.

Mortuari, Mayat Yang Terbaring Menanti Untuk Dibedah Siasat Di Bilik Mayat.
<strong>Mortuari sering dikaitkan dengan penampakan benda benda ghaib Apakah yang dilihat oleh penulis juga bukan manusia tetapi insan dari alam lain<strong> Kredit gambar <a href=httpscommonswikimediaorgwindexphpcurid=29775777>Ralf Roletschek Self photographed FAL<a>

Tidak dapat lari dari kerja syif malam. Syif malam ni kerjanya menanti, mencari dan jika ada kes besar, kamilah yang akan bersengkang mata di “crime scene”.

Tetapi di Malaysia ini aman, jarang sekali berlaku kejadian-kejadian besar seperti kebakaran lapangan terbang antarabangsa Subang atau adegan tembak menembak di antara polis dan penjenayah.

Di malam-malam sebegini, dengan berbekalkan akhbar New Straits Times dan Berita Harian yang biasanya selesai dicetak pada lebih kurang dua pagi, wartawan jenayah seperti kami akan melawat balai-balai polis, bomba dan mortuari.

Anggota yang bertugas tentu sekali gembira kerana mendapat naskhah akhbar yang masih panas (straight from the oven) dan dengan “upah” seperti ini, biasanya kami akan diberitahu jika ada kes atau tidak.

Mengapa mortuari? Kerana mangsa kemalangan, mangsa tembak, mangsa kebakaran yang meninggal dunia akan dihantar ke bilik mayat sementara menantikan polis membuat penyiasatan, proses post-mortem atau menunggu ahli keluarga untuk menuntut mayat.

Mortuari yang paling dekat dan paling banyak kes adalah di Hospital Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Pahang.

Pekerja mortuari biasanya atendan yang juga bekerja syif malam dan mereka inilah rakan kami.

Mereka beruniform serba putih. Baju putih, seluar putih dan kasut pun putih.

Melawat Kawasan

Kadang-kadang kami pergi bersama (wartawan Malay Mail dan Harian Metro). Ada masanya, wartawan Harian Metro ada projek mereka sendiri. Oleh itu, saya akan “melawat kawasan” seorang diri. Walaupun kami disediakan kenderaan syarikat untuk bergerak ke sana sini, saya lebih suka memandu sendiri.

Bukan apa, senang nak “melencong” ke mana-mana. Selalunya singgah di kedai kopi untuk minum-minum sebelum pulang ke pejabat.

Suatu malam, lebih kurang pukul tiga pagi, saya memandu seorang diri ke bilik mayat dengan berbekalkan akhbar panas. Entah kenapa, walaupun mortuari Hospital Kuala Lumpur menjadi tempat lepak kami hampir setiap malam, saya boleh tersesat. Saya mengambil keputusan untuk meletak kereta berhampiran sebuah wad dan berjalan kaki ke mortuari.

Puas saya berpusing di perkarangan hospital yang samar-samar dengan cahaya lampu dari tiang elektrik tetapi tidak bertemu dengan bilik mayat. Berpeluh jugalah pagi itu, pusing sana pusing sini, masih tidak dapat mencari jalan ke mortuari.

Berbekalkan lampu malap dari tiang elektrik, saya ternampak seorang lelaki berpakaian putih seperti atendan hospital sedang berjalan menuju ke arah saya.

Saya pun tegurlah. “Bang, minta maaf, saya ni sesat nak ke mortuari. Puas dah berpusing, tapi tak berjumpa.”

Tanpa berkata-kata, lelaki berpakaian serba putih itu menunjuk ke satu arah dengan tangannya dan pandangan saya mengikut telunjuknya.

Sebaik sahaja berpusing untuk mengucapkan terima kasih, kelibat lelaki tadi hilang dari pandangan.

“Alamak! Mana pula lelaki tadi ni?” saya bergumam sambil berjalan laju ke arah yang ditunjuk tadi.

Tidak sampai beberapa minit, saya sampai di mortuari. Kakitangan bertugas pada malam itu bertanya kenapa lambat.

Saya pun memberitahu yang saya tersesat. Tidak pula saya ceritakan tentang lelaki misteri tadi.

Apa lagi, dua kakitangan bertugas ketawakan saya yang sesat. “Tiap-tiap malam datang sini pun boleh sesatkah?” tanya seorang dari mereka.

Siapa Dia?

Saya hanya tersenyum pahit. Tetapi arah yang ditunjuk oleh lelaki tadi memang betul. Dia pun datang dari arah yang sama. Siapa dia? Entah.

Jika ke mortuari di mana-mana hospital sekalipun, saya selalu bertanya pengalaman abang-abang macho yang menjaga tempat ini.

Ada yang buat tak dengar soalan-soalan sebegini. Tetapi kalau kata tidak pernah terdengar atau ternampak apa-apa, memang tak logik.

Kadang-kadang kami berbual di bangku panjang yang terletak di luar mortuari sambil menghirup teh panas yang dibeli di dalam perjalanan.

Ketukan-ketukan dari dalam bilik mayat memang sering kedengaran. Kadang-kadang terdengar suara memanggil-manggil dari dalam. Biasanya dibiarkan.

“Biarlah. Kenapa kita nak layan benda-benda macam ni, kita anggap macam mereka nak mengusik kita,” saya masih teringat kata-kata abang atendan apabila ditanya.

Lama dahulu, isteri saya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di ibu kota kerana lelah. Ibu sayalah yang paling tidak keruan. Yelah, naluri seorang ibu, dia sangat risaukan keadaan menantunya itu dan meminta saya membawa beliau ke hospital.

Waktu sudah hampir 11 malam dan saya terpaksa menghantar ibu saya pulang. Kami terpaksa turun mengikut lif kakitangan kerana pintu utama sudah dikunci menuju ke kereta saya yang terletak di tingkat besmen. Kami terpaksa melalui satu lorong dan melepasi mortuari untuk sampai ke tempat parkir.

Ketika kami berjalan, ternampak seorang wanita berpakaian seperti seorang cleaner menunduk sambil menyapu di hadapan mortuari di dalam keadaan malap kerana tidak semua lampu dinyalakan.

Kami tidak menegurnya dan terus berjalan. Di dalam hati teringat pula apa yang disapunya kerana tempat itu kelihatan bersih.

Rupa-rupanya ibu saya juga berfikiran begitu. Kami tertanya-tanya di dalam kereta dan meneruskan perjalanan.

Pada keesokan harinya, saya ke hospital untuk melawat isteri. Ketika seorang cleaner datang membersihkan bilik dan menukar cadar, saya bertanya adakah dia juga bekerja syif sampai lewat malam.

Jawapannya membuat saya tergamam. Memang ada syif tetapi sehingga 8 malam sahaja. – New Malaysia Herald.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com