Sudirman Contoh Artis Ikon Perpaduan Negara

0
722
Sudirman Contoh Artis Ikon Perpaduan Negara

Oleh Saodah Ismail

Pada 2019, saya telah menghasilkan buku berjudul Sudirman Yang Ku Kenali. Seperti judulnya, ia adalah mengenai penghibur terbaik Asia itu dari kaca mata saya sebagai seorang wartawan hiburan yang mengenalinya sejak hari pertama saya bekerja sehinggalah di hari pengkebumiannya. Tulis dari hati, kata suami saya, baru ia akan menjadi mudah. Dan begitulah seterusnya apabila buku itu berada di pasaran, ia mendapat sambutan yang agak baik.

Menulis dan menjual buku tersebut memberikan saya satu lagi perspektif mengenai Asia’s Number One Performer itu dari sudut lain. Bahawa dia mempunyai peminat yang bukan saja dari pelbagai lapisan masyarakat – yang tua dan yang muda, yang lahir selepas kematiannya bahkan peminat dari pelbagai bangsa, selain orang Melayu.

Peminat Bukan Melayu Menangis Teringatkan Sudir

Pada peringkat awal, sebelum mengedarkan hasil tulisan saya di kedai-kedai buku, kami menjual sendiri menggunakan media sosial, iaitu Facebook. Suatu hari seorang lelaki India menghubungi suami saya bertanya bagaimana dan di mana buku itu boleh dibeli. Lelaki itu seolah-olah mahu menangis, menyatakan keinginannya untuk memiliki buku tersebut kerana dia sangat meminati Sudirman. Katanya, Sudirman adalah penyanyi yang istimewa. Dengan suara yang tersekat-sekat, lelaki itu berkata dia tidak sangka penyanyi itu meninggal dunia pada usia yang terlalu muda.

Pada satu sesi jualan buku di Perak, ketika kami menyertai pesta buku di sana, sekumpulan anak muda berbangsa Cina juga memberikan reaksi yang sama. Mereka menyatakan mereka minat Sudirman kerana kelebihan penyanyi itu setanding dengan artis hebat antarabangsa.

Dan, pernah juga seorang peminat bukan Melayu, yang membeli buku saya memberitahu dia adalah salah seorang peminat Sudirman yang pernah dipelawa naik pentas oleh penyanyi itu di salah satu konsertnya. Katanya, dia mahu menyimpan buku itu sebagai kenangan kerana Sudirman adalah penyanyi yang mempunyai banyak kelebihan tersendiri. Dan dia bangga menceritakannya kepada anak anak dan cucunya pengalaman “mengenali” penyanyi itu.

Dari jualan secara “atas tangan” ramai yang membeli buku saya adalah peminat bukan Melayu. Ia menguatkan lagi andaian saya sejak dulu, Sudirman adalah penghibur yang diminati ramai – bukan hanya di kalangan orang Melayu, bahkan orang Cina, India dan lain-lain. Jika dia masih hidup hari ini, sudah tentu dia adalah artis yang paling tepat untuk dijadikan Duta Perpaduan Nasional, khasnya untuk negara Malaysia yang berbilang kaum ini.

Sesiapa yang pernah menyaksikan konsert Sudirman tentu faham mengapa penyanyi itu mendapat tempat di dalam hati peminat bukan Melayu. Saya sendiri melihatnya sebagai satu kelebihan yang memang ada di dalam diri penyanyi itu. Kalau dalam konsert, baik di hotel besar mahupun di tempat terbuka, Sudirman sentiasa menjadikan pentas sebagai ruang untuk mempamerkan perpaduan di kalangan kaum. Sering kali dia akan mempelawa seorang dua penonton naik ke pentas dan sambil mengusik, mengajak penonton itu menyanyi bersamanya. Dia akan menyakat aci atau nyonya, sambil menyanyikan sebaris dua lagu membuatkan penonton terhibur. Dalam apa keadaan sekali pun, di dalam setiap persembahan, tiada batas dan sempadan di antara dia dan peminat, itulah Sudirman yang saya kenali!

Saya sendiri menyaksikan setiap konsertnya, baik yang bersama Honda atau pun konsert besar seperti Konsert Hari Merdeka, Konsert Chow Kit Road, semangat Malaysia sentiasa diberi keutamaan. Beliau sering menyebut, “Walau siapa pun kita, bangsa apapun kita, kita adalah anak Malaysia!” Begitu juga ketika mengadakan konsert di luar negara, Sudirman akan meletakkan sifatnya yang jitu, iaitu semangat patriotik yang tinggi di dalam persembahannya.

Kerana itu, sehingga hari ini kita masih tidak dapat melupakan bayangan dia berpakaian baju benderanya, masih dapat merasai semangat kecintaan sejatinya pada negara dalam lagu Abadi, Tanggal 31 Ogos dan Warisan. Semangat kecintaannya terlalu tinggi.

Beza Dulu dan Sekarang

Sebenarnya, industri hiburan tahun silam lebih bersifat mesra kaum, berbanding hari ini. Tahun 70an sudah ada rancangan mencungkil bakat di RTM seperti Bakat TV. Ia disertai bukan saja oleh bakat di kalangan orang Melayu bahkan, bukan Melayu. Dari situlah lahirnya bakat-bakat bukan Melayu seperti Datuk Andre Goh pada 1972. Walaupun tidak menang, Andre yang berketurunan Baba dan Nyonya Melaka telah muncul kemudiannya sebagai penyanyi tersohor di dalam mendendangkan irama lagu Melayu asli sehingga dianugerah gelaran Pendokong Seni Negara pada 2006.

Dari Bakat TV, RTM kemudiannya tampil dengan Bintang RTM dengan penyanyi seperti Lanny Lim Mui, Sharon Pamela Isaac,  Khoo Chong Teng, V Sarangabani dan ramai lagi. Industri rakaman juga dimeriahkan dengan penyanyi berkumpulan seperti Sweet September, Alleycats, Freedom, Kumpulan Cenderawasih, Flybaits, Roy dan Fran dan yang lain. Industri perfileman dan TV juga tidak kurang hebat dengan penampilan para pelakon bukan Melayu yang berbakat besar – Susan Lankester, Angelina Tan, Acappan, Sathiya dan ramai lagi.

Perbezaan agama tidak menjadikan kita berbeza, kata salah seorang artis yang sehingga kini masih mencurahkan baktinya di dalam industri muzik, Royston Sta Maria. Saya percaya itulah juga pandangan artis bukan Melayu lain yang pernah mencipta nama di dalam dunia hiburan tanah air. Tiada kebencian, tidak pernah timbul soal perkauman dan sebagainya.

Begitulah sifatnya industri hiburan kita suatu ketika dahulu. Ia dipenuhi dengan bakat seni yang cemerlang dan gemilang. Tiada sifat benci dan iri hati. Tidak seperti hari ini. Dan saya merasa sangat berbangga menjadi sebahagian dari penggiat industri ini dahulu.

Kita pernah merasai zaman itu dengan hidup yang harmoni,  setiap kita bersatu hati, di mana bumi dipijak di situ langit kita junjung. Bandingkan dengan kehidupan masa kini dengan kebencian yang dipupuk pembangkang dengan masa lalu yang harmoni. Apakah anda tidak rindukan hari hari seperti itu? Bersatulah, kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh dan runtuh! – New Malaysia Herald.

Buku Sudirman Yang Ku Kenali Oleh Saodah Ismail. Boleh Debeli Di..

Nota kaki: “Buku Sudirman Yang Ku Kenali boleh dibeli melalui penulis, akan ditandatangani dan dipos. Sila hubungi penulis di odahelme22@gmail.com atau whatsapp di nombor 012-2352702.

Saodah Ismail - Sudirman Contoh Artis Ikon Perpaduan Negara
Mengenai penulis: Saodah Ismail adalah bekas pengarang hiburan, penulis kanan stesen Astro TV, bekas koresponden dan kolumnis Berita Harian Singapura. Penulis buku dan banyak lagi cerita nak dikongsi melalui coretan beliau.
Bersama Untuk Perpaduan. Kementerian Perpaduan Nasional
Kempen Perpaduan Bersama di New Malaysia Herald Kementerian Perpaduan Negara

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com