Seronok Melihat Perpaduan Dan Asimilasi Dipraktik Oleh Penduduk

0
497
Mengenai penulis: Penulis kerdil yg digelar ulat buku oleh kawan-kawan. Menulis ialah darah daging saya dan kini diwarisi dua anak saya Baha' dan Saif. Tempat yg suka dilawati ialah library, tepi laut, dalam hutan. Suka melancong dan telah ke beberapa negara sambil melihat dan mencari idea-idea baru

Oleh Sarah Kamal

Iklan Perpaduan

Definisi Perpaduan

Perpaduan atau solidariti dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan selur lapisan etnik dan kaum sebagai rakyat serta warganegara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Kamus Dewan 1994 mentakrifkan penyatuan ras ini sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Hj. Samat Buang, seorang guru yang dimartabatkan sebagai guru terbaik mentakrifkan perpaduan sebagai satu penyatuan tenaga, fikiran, cita-cita dan pengorbanan dalam satu ikatan yang sepadu, kuat dan maju. Dalam usaha mencapai status negara moden dan maju, Malaysia meletakkan perpaduan sebagai matlamat akhirnya.

Kajian terhadap perpaduan antara etnik dan kaum ini dijalankan di Taman Melati Pontian, 36km dari Johor Bahru. Taman Melati ialah sebuah taman perumahan terletak di hujung sebuah lorong kecil yang ditempati beberapa buah rumah, kira-kira 100 buah. Untuk sampai ke taman perumahan tersebut seseorang perlu melalui sebuah lorong yang terletak di tepi jalan besar, Jalan Parit Mesjid. Sebahagian daripada lorong itu bukanlah termasuk taman perumahan, tetapi untuk memudahkan posmen menghantar surat atau barangan, penduduk di situ lebih suka menggunakan nama taman perumahan tersebut kerana ia menggunakan satu lorong yang sama.

Sehinggakan penduduk yang tinggal di permulaan lorong itu dianggap penduduk Taman Melati juga.

Taman Melati Pontian
<strong>Muhibbah Sebuah Taman<strong>

Orang Melayu sudah lama tinggal di Taman Melati sejak sebelum zaman penjajahan kolonial British, mereka turun menurun menetap di situ. Ada di antaranya yang berhijrah dari Indonesia dan kemudian menetap di situ sehingga ke anak cucu. Tetapi lama kelamaan, kerana pelbagai masalah peribadi, terutamanya selepas kematian generasi pertama, ada antara anak dan cucu mereka yang menjual tanah kepada bangsa lain terutama orang Cina, kerana orang Cina memang telah ada di daerah Pontian sejak awal tahun 50-an. Maka setelah itu, orang Cina dan sedikit orang India juga tinggal di situ, kerana mereka membeli tanah-tanah orang Melayu yang dijual.

Iklan Perpaduan

Proses Asimilasi

Definisi asimilasi ialah suatu penyatuan dua budaya yang disertai dengan hilangnya ciri khas budaya asal sehingga membentuk budaya yang baharu. Proses asimilasi biasanya ditandai oleh usaha mengurangkan perbezaan antara orang atau kumpulan sebagai cara dalam mengeratkan kesatuan tindakan, sikap dan perasaan demi mengutamakan kepentingan serta tujuan bersama. Kemudian individu melakukan identifikasi diri dengan kepentingan bersama untuk menyesuaikan kemahuannya dengan kemahuan kumpulan. Begitu juga antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Asimilasi juga termasuk proses penyesuaian sifat-sifat asal yang dimiliki dengan sifat-sifat lingkungan sekitar. Sifat-sifat tersebut pada akhirnya akan membentuk keteraturan sosial, termasuk budaya dan kebiasaan disebabkan ada pembaharuan yang dianggap sesuai. Hasilnya, semakin kurangnya perbezaan di dalam masyarakat disebabkan adanya berbagai usaha untuk mengurangi atau malah menghilangkan perbezaan antara individu ataupun kumpulan.

Semakin eratnya kesatuan tindakan, sikap, perasaan, lebih mementingkan kepentingan serta tujuan bersama, wujud interaksi secara ‘live’ serta terus-menerus antara individu di dalam kehidupan bermasyarakat, dan setiap orang memiliki kesedaran untuk meninjau budaya lain demi mewujudkan kepentingan bersama.

Setelah beberapa keluarga Cina tinggal di Taman Melati, dari situ bermulalah proses asimilasi antara orang Cina yang baharu menetap di tempat tersebut dengan orang-orang Melayu yang sememangnya telah lama berada di situ. Sedangkan minoriti orang Cina di situ hampir semuanya belajar di sekolah jenis kebangsaan kerana hendak memelihara budaya kaum mereka, sementara anak-anak orang Melayu pula bersekolah di sekolah kebangsaan. Mereka biasanya hanya kebetulan terserempak ketika berada di pasar untuk membeli ikan dan sayur, atau berselisih di tengah jalan. Untuk menambah kemesraan sesama, mereka saling mengangkat tangan dan tersenyum apabila berpapasan. Pada waktu itu orang Melayu bekerja sebagai nelayan kerana laut hanya sejauh 2 kilometer sahaja. Ada yang bekerja di kebun-kebun yang terletak kira-kira 6 kilometer dari situ, sebahagian lagi bekerja dengan kerajaan.

Siapa sangka meskipun dari sekolah yang berbeza, budaya dan agama yang tidak sama, proses asimilasi berjalan dengan baik, dan kini orang-orang Melayu, Cina dan India seperti bersaudara. Ia bukan sahaja berlaku di Taman Melati bahkan di sepanjang Jalan Parit Mesjid khususnya di daerah Pontian umumnya.

Rumah Anjing Uncle Lam

Uncle Lam, pemilik rumah anjing di lorong tersebut sangat mesra dengan jirannya. Setiap kali
hari raya Aidil Fitri, Uncle Lam tidak pernah lupa memberi hamper kepada jiran-jiranmelayunya. Sebenarnya Uncle Lam tidak menetap di situ, dia membeli sebidang tanah di lorong itu dan membina rumah untuk menyimpan anjing. Anjing-anjing itu dijaga dengan baik, kemudian akan dijual kepada pembeli secara online. Kebanyakan anjing-anjing tersebut dari baka yang diimport seperti Norwegian Elkhound, Alaskan Malamute dan Bulldog. Selalunya bila azan solat bergema dari masjid berdekatan, atau bunyi siren kereta polis dan ambulan yang melewati jalan besar berbunyi, anjing-anjing ini akan bersuara menggonggong.

Uncle Lam faham yang orang Melayu tidak memelihara anjing maka sudah tentu tidak selesa jika anjing ada berdekatan dengan perumahan mereka. Namun, rumah anjing ini dipagar tinggi dan anjing tidak dibenarkan keluar langsung dari kawasan pagar, malah anjing-anjing itu disimpan sahaja di dalam rumah tersebut. Jarang sangat jiran-jiran Uncle Lam dapat melihat anjing-anjing itu, cuma sesekali mendengar suara lolongan haiwan-haiwan tersebut apabila terdengar bunyi azan dan siren kereta polis atau ambulan.

Hampir setiap hari Uncle Lam akan datang memberi makan anjing-anjingnya, dan setiap kali bersua jiran-jiran Melayu, beliau tersenyum mengangkat tangan dan menyapa, “Sudah makankah?”.

Pagar Rumah Warna Emas
<strong>Rumah anjing Uncle Lam Anjing anjing jarang kelihatan kerana disimpan di bahagian dalam<strong> Gambar koleksi penulis

Restoran Guan Seng

Bukan Uncle Lam sahaja yang berasimilasi dengan orang-orang Melayu di situ, Encik Hong juga membeli tanah di situ dan membuka sebuah restoran di tepi jalan besar. Bertentangan dengan restoran Hong Guan Seng pula kedai makan Melayu diuruskan oleh seorang pakcik Melayu.

Setiap malam kedua-dua restoran dan kedai makan tersebut dibuka tetapi tidak pernah timbul masalah. Walaupun pelanggan restoran Encik Hong menjual minuman keras, tidak pernah dilihat terjadi pergaduhan atau hiruk pikuk yang mengganggu jiran-jiran.

Yang bagusnya, apabila ada orang Melayu mengadakan majlis perkahwinan, lorong terpaksa ditutup untuk menempatkan khemah-khemah, restoran Encik Hong juga ditutup, sedangkan ia boleh sahaja dibuka kerana
terletak di tepi jalan besar dan tidak mengganggu lorong tersebut.

Restoran Guan Seng, Taman Melati, Jalan Parit Mesjid
<strong>Restoran Guan Seng Taman Melati Jalan Parit Mesjid<strong>


Tidak Pernah Menolak Undangan Ke Majlis Kaum Melayu


Bahkan Encik Hong memenuhi undangan majlis perkahwinan orang Melayu di situ dengan membawa keluarganya sekali. Bukan sahaja Encik Hong, malah Apek Lim tauke ikan di pasar yang sudah 10 tahun bermastautin di lorong itu juga datang. Apek Lim tidak kedekut, dia selalu beri ikan pada jirannya pakcik Yunos yang sudah pencen dan sakit buah pinggang.

 the Corner Restoran Di Jalan Parit Mesjid, Pontian.
<strong>Jiran jiran Melayu mengeteh di sebuah restoran milik orang Cina The Corner di Jalan Parit Mesjid Pontian<strong>

Jika orang Melayu mengadakan Open House sempena Hari Raya Aidil Fitri, semua keluarga Cina yang tinggal di situ tidak pernah menolak undangan. Uncle Chua setiap petang bawa anjing jenis German Shepherd berjalan-jalan melalui lorong tersebut. Meskipun orang Cina menetap di situ dan memelihara anjing mereka tidak pernah membiarkan anjing berkeliaran kerana menghormati orang Melayu. Kemesraan yang terjalin di antara orang Melayu dengan orang Cina di situ sehingga melahirkan ucapan mesra apabila berjumpa seperti: “Sudah makankah?” “Apa cerita sekarang?” Bahasa Melayu yang digunakan juga unik, seperti: “Ini macam lorr”, “saya sakit kaki meh,” dan lain-lain lagi. – New Malaysia Herald

Bersama Untuk Perpaduan. Kementerian Perpaduan Nasional
Kempen Perpaduan Bersama di New Malaysia Herald

Like what you read?

Subscribe to our news site and be the first to know about New Malaysia Herald’s latest news and stories.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com