Saw Teong Hin: Perbezaan Bangsa Tiada Halangan Dalam Dunia Perfileman

0
858
Krew Puteri Gunung Ledang bergambar kenangan di set penggambaran

Iklan Perpaduan

Klik untuk tonton di YouTube New Malaysia Herald.

Oleh Saodah Ismail

Menonton filem Puteri Gunung Ledang di Netflix baru baru ini sangat mengujakan. Mengapa? Kerana apa yang disajikan di Netflix sedikit berbeza dari apa yang saya saksikan 16 tahun lalu ketika filem itu ditayangkan di hari pelancaran. Ia telah diberi sedikit pembaharuan oleh pihak penerbit untuk tayangan Netflix.

Ia juga memberikan satu perspektif yang berbeza, ia bukan sekadar filem legenda mega yang menggabungkan nama nama besar dua negara bahkan ia adalah filem yang memperlihatkan di mana kita suatu masa dahulu – tiada jarak dan sempadan dalam karya kreatif kita selama ini.

Filem legenda Puteri Gunung Ledang ditulis oleh Mamat Khalid manakala skripnya ditulis bersama pengarah Saw Teong Hin. Bukan itu saja, ia dihasilkan dengan gabungan yang lebih besar – menggabungkan nama-nama besar dalam dunia perfileman Malaysia dan Indonesia. Dari Malaysia, selain Tiara Jacqueline,  ia turut dibintangi Datuk M Nasir, Datuk Rahim Razali, Sabri Yunus, Man Bai, Adlin Aman Ramlie, Khir Rahman manakala dari Indonesia pula barisan pelakon handalan terdiri dari Slamet Rahardjo, Christine Hakim, Alex Komang dan Dian Sastrowardo.

Saw Teong Hin, Pengarah Filem Puteri Gunung Ledang.
<strong>Saw Teong Hin seorang pengarah berbakat<strong>

Sejak Dulu Lagi Kita Tak Ada Masalah

Bukan itu saja, dari sudut produksi pembikinan filem pula, ia melibatkan tenaga kerja dari pelbagai bangsa, set binaan Saw Teong Hin dihasilkan oleh tenaga kerja dari India dan sentuhan CG (computer graphics) dihasilkan di sebuah studio di India, melalui usaha pembantu penerbitannya bernama Mini Purushot.

Sebenarnya, ini bukan sesuatu yang menghairankan di dalam industri kerana sejak zaman P Ramlee lagi, kita telah melihat gabungan penyatuan ini. Tiada masalah bagi orang kreatif berkarya tenaga dengan sesiapapun dan kerana itu saya usahakan pertemuan dengan pengarah Saw Teong Hin. Nasib saya baik, kami dapat bertemu baru baru ini di Bangsar. Kali terakhir adalah 16 tahun lalu di sidang akhbar filem, selepas tayangan.

Pada usia 58 tahun hari ini, anak kelahiran Pulau Pinang ini menyatakan dia tidak pernah memikirkan soal aku Cina, dia Melayu. Soal bangsa tidak pernah terlintas di hati dan fikiran. Dan dia tidak melihat filem Puteri Gunung Ledang sebagai filem Melayu yang diarah oleh orang Cina. Tidak.

Saodah Ismail Bersama Saw Teong Hin Yang Menceritakan Kisah Pembikinan Filem Puteri Gunung Ledang
<strong>Penulis bersama Saw Teong Hin yang menceritakan kisah pembikinan filem Puteri Gunung Ledang<strong>

“Kita tak terfikir pun soal itu, bahkan ia bukan isu. Tidak pernah sama sekali. Saya fikir penerbit juga tidak memikirkan soal itu,” katanya mengimbas kembali kenangan mengarah filem besar itu dan ia merupakan filem arahannya yang pertama.

Iklan Perpaduan

Klik untuk tonton di YouTube New Malaysia Herald.

Tidak Pernah Timbul Soal Bangsa

Tambahnya, soal bangsa tidak sepatutnya timbul. Apa yang penting bagi proses kreatif adalah bersifat universal. Itu adalah faktor untuk menghasilkan kejayaan besar, terutama untuk sebuah filem epik seperti Puteri Gunung Ledang.

“Selama ini kita sudah berada di landasan yang betul. Bersatu dalam kerja seni tanpa mengira bangsa dan anutan agama. Terutama di Malaysia, setiap hari kita berjumpa dan bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, dari pelbagai bangsa.  Saya sendiri dibesarkan di Pulau Pinang dengan kejiranan yang sebegini.

“Kita bukannya berada di bandar kecil di negara lain kerana negara kita sememangnya dari pelbagai rumpun bangsa dan agama. Tiada siapa persoalkan kenapa perlu berhijab dan sebagainya. Itulah saya katakan, kita sudah berada di landasan yang betul. Malaysia sebuah negara yang dipenuhi pelbagai bangsa lahir di sini,” tambah Teong Hin yang sehingga kini masih tidak putus hubungan dengan rakan taulan yang terlibat di dalam produksi filem tersebut.

Set Pengambaran Puteri Gunung Ledang (behind the Scenes of Puteri Gunung Ledang by Saw Teong Hin
<strong>Satu lagi gambar kenangan di set penggambaran <strong>

Menurutnya, apa yang berlaku hari ini berpunca dari agenda politik. Namun, dia tetap yakin dan percaya bahawa karya seni kreatif tidak seharusnya terlibat dalam permainan agenda tersebut.

Dia sendiri merasa bangga dan puas hati kerana selepas 16 tahun, Puteri Gunung Ledang masih kekal sebagai filem epik terbaik dan masih tiada tandingannya, terutama di dalam produksi yang melibatkan nama-nama besar dua negara jiran.

Menceritakan pengalaman mengarahkan filem yang disiapkan pada 2004 itu, Teong Hin berkata dia tidak sedikit pun gusar ketika mengarah filem itu. Selain sifatnya yang sentiasa berfikiran positif, dia juga berterima kasih kerana setiap insan yang terlibat dalam produksi itu mempunyai dedikasi yang tinggi, di samping saling menghormati di antara satu sama lain. Ia menjadikan kerjasama di antara mereka lebih mudah dan selesa.

Behind the Scene Shooting (puteri Gunung Ledang) Movie Film by Saw Teong Hin
<strong>Bukan mudah untuk mebuat sebuah filem epik Sebuah kren dibawa untuk mendapatkan suduh artistik<strong>
Behind the Scene Shooting (puteri Gunung Ledang) Movie Film by Saw Teong Hin.
<strong>Apabila berada di dalam kalangan mereka yang mudah bergaul kerja sampai malam pun tidak terasa penatnya<strong>

Sentiasa Bekerjasama

“Sikap profesional dan saling membantu itu lah penyebab semua dapat menghasilkan satu kepuasan. Kita semua ada cita-cita, saya mencuba sebaik mungkin dan saya hasilkan sebaik mungkin. Bagi saya, membuat filem itu satu rahmat dan menghasilkan satu daripada empat ribu filem untuk tontonan awam di pawagam seluruh dunia adalah satu kepuasan yang sukar untuk digambarkan,” katanya yang mengakui sehingga kini mereka masih bercakap mengenai produksi PGL.

“Ia bagaikan kemuncak di dalam hidup kami,” kata Saw Teong Hin yang masih menulis skrip. Saw Teong Hin pernah menghasilkan filem Hokkien, baru saja menyiapkan skrip untuk sebuah filem Mandarin, yang dijadualkan untuk pembikinan pada bulan Jun 2021.

Seperti filem Hokkiennya dahulu, You Mean The World To Me, filem Hokkien yang pertama di Malaysia, filem Mandarin kali ini juga mengenai kekeluargaan. Sasarannya bulan Jun, kerana ia bergantung pada situasi semasa dengan penularan COVID-19 dan juga keadaan kewangan.

Bagi Saw Teong Hin, masalah sentiasa ada, namun yang penting adalah sikap positif dan gembira dengan setiap kerja yang dilakukan.

“Dalam dunia kreatif ini, kita patut contohi penghibur Terbaik Asia, Datuk Sudirman Arshad. Kita buat dengan sepenuh hati, dengan kesungguhan yang tidak berbelah bagi. Buat bukan kerana nama, orang putih kata, bukan untuk glory. Itu bagi saya sangat penting. Sebab, kalau tidak, kita akan jadi seperti mengejar pelangi,” katanya mengakhiri perbualan.

Saya percaya pendirian Saw Teong Hin bukan hanya di dalam kehidupan dan kerjaya seninya. Kerana saya yakin, apa yang dirasainya turut dirasai anak seni yang lain. Tiada batas dan sempadan memisahkan kita. Hidup industri kreatif Malaysia! – New Malaysia Herald

Saodah Ismail
Mengenai penulis: Saodah Ismail adalah bekas pengarang hiburan, penulis kanan stesen Astro TV, bekas koresponden dan kolumnis Berita Harian Singapura. Penulis buku dan banyak lagi cerita nak dikongsi melalui coretan beliau.
Bersama Untuk Perpaduan. Kementerian Perpaduan Nasional
Kempen Perpaduan Bersama di New Malaysia Herald – Kementerian Perpaduan Negara

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com