Saya Pengiring Peribadi (Bodyguard), Bukan Model

0
1286
Emma Harith adalah seorang Surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal ehwal domestik, penulis juga seorang Aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan -makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can't stand the heat, stay away from the kitchen.

Oleh Emma Harith

Siapa sangka di sebalik senyum yang manis, wanita jelita, berperawakan menarik dan tinggi lampai persis model ini adalah seorang pengiring peribadi profesional yang saban hari bergalang nyawa, dalam memastikan keselamatan individu lain di utamakan.

Begitulah kehidupan Ili Dhiyana bt Mohd Diah, yang mesra dipanggil Dhiya oleh kawan-kawan, yang telah berkecimpung dalam kerjaya pengiring peribadi lebih daripada 10 tahun.

Di luar waktu tugasan menjalani hidup membesarkan anak anak seperti ibu ibu lain kiri dan kanan antara aksi semasa latihan

Anak kedua daripada 12 adik beradik kelahiran Kampung Melayu Subang ini membesar dalam kem tentera di Subang dan Kuching, kerana ayah adalah seorang anggota TUDM, dan memang meminati sukan lasak sedari kecil.

Membuka Langkah Dengan Silat

“Aktiviti silat saya bermula dari asuhan arwah datuk, Enggo bin Osman, Guru Tua Seni Silat Sendeng Betawi di Sarawak.

Dan saya seterusnya bersama Persatuan Silat Tua Pulau Pinang dibawah Guru Zainal Abidin Sheikh Awab mempelajari Silat Halilintar, senaman siku 12 dan Sendeng Acheh.

Disiplin dari ilmu silat ini banyak membantu saya dalam mengendalikan tugasan saya sebagai Pengiring Peribadi.”

Pengiring Peribadi Bukan Tugasan Mudah

Bersama seorang rakan berehat ketika sesi latihan Kursus Intensif Lanjutan Pegawai Pengiring VVIP

Menurut Dhiya, bukan mudah menjadi Pengiring Peribadi Wanita, kerana mereka perlu tangkas seperti lelaki.

“Tiada istilah layan istimewa untuk wanita dalam segi latihan dan tugasan. Tiada perbezaan jantina kerana yang penting adalah keupayaan menjalankan tugasan. Seorang pengiring peribadi perlu komited. Kekuatan mental dan kecergasan jasmani itu penting,” kata Dhiya lagi.

Walaupun tiada maklumat sahih berkenaan jumlah pengiring wanita, umum mengetahui jumlahnya agak sedikit dan mengikut kategori ciri-ciri yg tertentu.

Ramai juga wanita yang mengikuti kursus asas tetapi belum layak digelar pengiring kerana banyak aspek dan kriteria perlu dipenuhi bagi melayakkan diri sebagai pengiring.

Selain daripada ketahanan mental dan fizikal, paling utama adalah tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan tidak memiliki rekod jenayah.

Mengikut Dhiya lagi, ramai yang ‘kecundang separuh jalan kerana tidak mampu untuk mengikut aturan disiplin yang tinggi, dan tidak dapat mengekalkan ‘imej’ yang berkualiti.

“Antara faktor kenapa kurangnya wanita yang berkecimpung dalam kerjaya sebagai pengiring peribadi ini adalah kerana masalah menyeimbangkan antara keluarga dan kerjaya. Ini adalah cabaran utama bagi wanita dalam kerjaya ini. Dalam realiti, kerjaya Pengiring Peribadi tidaklah ‘glamour’ seperti yang dipaparkan di filem-filem Hollywood,” tambah Dhiya.

Menjadi Sang Sapu Awan

Selain daripada sukan mempertahankan diri, Dhiya juga adalah seorang pengendali payung terjun. Minat untuk menyertai payung terjun adalah sejak kecil, dan pernah bercita-cita mahu menjadi tentera mengikut jejak langkah ayahnya.

“Saya bermula penerjunan asas pada 2018, kerana ia merupakan satu bentuk terapi untuk saya mencari kekuatan dan menanamkan keberanian.

“Daripada tahun 2018 sehingga 2021, saya telah melakukan tujuh terjunan awam dan akan datang saya berharap akan dapat membuat lebih banyak penerjunan bebas.

Pengalaman paling tidak dapat dilupakan, pada tahun 2020 bersempena Hari Merdeka adalah mencipta rekod pasukan Payung Terjun Awam dalam Malaysia Book Of Records bersama rakan-rakan penerjun saya, di mana saya adalah Ketua Kordinator bagi program tersebut.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini kerana saya satu-satunya wanita yang mengetuai koordinasi Kumpulan Sukan Payung Terjun ini hingga mencatat rekod Nasional pada tahun 2020. Tahun yg sangat mencabar.”

Namun, Dhiya agak terkilan kerana tidak dapat meraikan hari bersejarah itu tanpa kehadiran dua orang anak saya (kerana sekolah berasrama). Mereka inilah sebenarnya “dua sayap” yang merupakan kekuatan untuk beliau sampai ke tahap ini.

Kerjaya Sampingan Konsultasi Kolej Dan Ejen Hartanah

“Saya bermula sebagai konsultan kolej sejak tahun 2014, dan dari awal susunan kerja telah saya aturkan dalam talian sahaja. Platform media sosial, blog, whatsapp dan sistem pendaftaran dalam talian kami gunakan untuk pemudahcara berurusan. Saya tidak gemar membuang masa dan urusan dalam talian lebih pantas dan mudah.

Bagi bidang hartanah pula, sudah hampir sembilan tahun (on off) dilakukan dan buat masa ini lelongan hibrid sangat memudahkan urusan saya. Ia adalah lelongan dalam talian, dan sangat menjimatkan masa dan kos pengurusan.”

Harapan Dan Cita-Cita

Bukan mudah menjadi pengiring peribadi yang bertauliah

“Harapan saya adalah agar kaum hawa diluar sana lebih bersemangat dan tidak menjadikan pengalaman pahit dalam hidup sebagai alasan utk tidak berjaya. Berjaya itu tidak semestinya bermaksud perlu KAYA RAYA tetapi berjaya mengatasi cabaran paling besar yang pernah berlaku dan bersedia menghadapi apa jua yang bakal berlaku di masa hadapan,” menurut beliau.

Berjaya jadi diri sendiri, warnai kehidupan ini dengan positif.

“Cita-cita saya ingin melakukan sesuatu bersama team saya. Dan yang pastinya, bakal tercatat dalam sejarah Malaysia, inshaAllah di peringkat antarabangsa.

“Tiada perkara yg mustahil sekiranya kita yakin, berusaha dan bersatu hati (bersama pasukan)”, kata-kata semangat Dhiya untuk para wanita di luar sana.

Sekarang Dhiya tidak bekerja sepenuh masa dan hanya menerima tugas pengiring separuh masa (freelance) untuk tugasan tertentu sahaja. – New Malaysia Herald

httpswwwfacebookcomprpewm

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com