Oleh Norman Sapar
JOHOR BAHRU – Menjadi topik bualan utama terutamanya di Johor akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Osman Sapian pada 21 Disember lalu. Akibatnya bilangan komposisi antara ADUN kerajaan telah berkurang daripada 29 kepada 28 berbanding 27 di pihak pembangkang. Ianya pasti suatu kedudukan yang sangat kritikal terutamanya apabila melibatkan adanya undian atau perlukan sokongan dalam sesuatu usul, rang undang undang dan belanjawan.
Pastinya sehari dua ni angin bertiup kencang kemungkinan pembubaran bakal dibuat namun ianya tidak berlaku. Teka teki terus berlegar, ada yang jangka selepas cuti Tahun Baru Cina, ada yang kata bulan Mac 2022, ada yang spekulasi pada tahun ini tapi hakikatnya tempoh yang ada bagi penggal kerajaan semasa adalah setahun empat bulan sahaja lagi. Sebenarnya kita dah boleh buat andaian bahawa pembubaran DUN boleh berlaku pada bila bila masa yang sesuai dari sekarang yang diyakini oleh Menteri Besar pada situasi yang akan memihak pada parti yang beliau wakili.
Pada 10 Januari, Menteri Besar Hasni Mohammad ada mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak suka pada majoriti satu yang Kerajaan Johor sekarang miliki namun ianya bukan bermakna perlu diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN). Agak memeningkan namun bagi yang mengenali peribadi beliau pasti yakin dengan kebijaksanaannya mengemudi walau dalam gelora yang besar.
Baru baru ini setelah pelbagai spekulasi yang dilontarkan tidak menjadi nyata, apabila ditanya pada suatu majlis sekali lagi Hasni menjelaskan bahawa beliau tidak boleh sesuka hati membubarkan DUN kerana jelas adanya peraturan dan beliau tidak boleh sewenang wenangnya menasihatkan KDYMM Sultan Johor untuk perkenan pembubaran DUN.
Jelas sebenarnya di sini beliau akan melakukan suatu keputusan yang akan diteliti secara cermat tepat pada ketika waktunya serta yang tidak akan memberi kesan kepada rakyat. Bila? Berdasarkan situasi semasa dan tempoh masa DUN yang ada, apa yang boleh dinyatakan adalah “tidak lama lagi”. Dan jika persoalan itu ditanya oleh orang politik kerana ingin membuat persediaan, sepatutnya persediaan sudah pun bermula. Bagi rakyat kebanyakkan sentiasa mengharapkan kebajikan mereka dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat dipelihara setiap masa.
Kredibiliti Hasni Mohammad
Hasni Mohammad dilantik menjadi Menteri Besar Johor pada 28 Feb 2020. Walau dalam ketidaktentuan politik, beliau memikul tanggungjawab mengemudi tanpa keluhan dan terima seadanya apa yang ada.
Acuan telah terbentuk, namun acuan tidak stabil untuk menampung bahan yang hendak dituang juga banyak yang perlu diperbaiki, dengan hemah yang ada, beliau tenang harungi.
Setiap kepayahan dan kerunsingan dibalas dengan senyuman. Itulah senjata ampuh yang beliau ada bukan untuk melemahkan lawan namun ianya mahu menunjukkan kepentingan dan kesan kepada rakyat paling utama daripada mencetus lagi masalah yang kesannya akan berbalik kepada rakyat juga.
Walau genting kedudukan kerajaan, gerak kerjanya tidak sedikit pun menunjukkan yang beliau dari sebuah kerajaan yang goyah.
Beliau mengutamakan rakyat, 7 Iktiar Makmur Johor direncana bagi kemakmuran Johor untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang, yang menunjukkan beliau seorang strategis.
Hari demi hari nampak kedudukan beliau selaku peneraju menyerlah. Baik kawan dan lawan sedar bahawa beliau adalah yang terbaik di kalangan yang ada yang layak untuk memimpin.
Tidak diragui kebolehan beliau, hampir tiada yang berprasangka apa yang beliau lakukan terutamanya hal agenda perancangan pembangunan yang dibuat. Kestabilan semasa lebih baik daripada sebelumnya dan beliau telah buktikan. Kemakmuran Johor juga lebih baik daripada sebelum beliau mengambil tampuk pemerintahan selepas PRU 14.
Latar belakang beliau sebagai jurutera awam dan perunding serta pengalaman lepas dalam pentadbiran kerajaan pasti cukup meyakinkan bahawa beliau berpersonal teliti dalam pembuatan keputusan kerana sedikit kesilapan pasti mengundang perkara atau kesan tak baik.
Kenapa Perlu PRN?
Jika baki tempoh masa penggal DUN yang ada diambil kira tak perlu polimik pembubaran DUN Johor diperbesar dan dispekulasikan secara meluas. Sampai masa yang sangat sesuai dan tepat pembubaran pastinya akan berlaku mulai sekarang.
Realitinya situasi semasa DUN Johor sememangnya tidak bagus untuk rakyat. Rakyat perlu tahu bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak kukuh untuk meyakinkan pelbagai pihak bersama sama membangunkan ekonomi negeri. Kemakmuran rakyat berkait secara langsung dengan kemakmuran ekonomi. Sudah tentu tanggungjawab dan kebajikan rakyat akan lebih baik dengan kedudukan ekonomi negeri yang baik. Dalam situasi semasa adalah sukar bagi Menteri Besar meyakinkan pelbagai pihak terutamanya pelabur bersama sama memakmurkan negeri tercinta kerana kebimbangan dasar yang boleh bertukar. Hal ini telah pun berlaku sepertimana projek HSR.
Sistem dan bilangan antara kerajaan dan pembangkang juga pasti menjadi penghalang usaha merencana pembangunan negeri. Masing masing ADUN, terutamanya pembangkang, pasti ada agenda dan kepentingan.
Agihan peruntukan sama rata tak semestinya perlaksanaannya sama rata kesannya kepada rakyat. Kerana ianya dilihat serampang dua mata juga, iaitu untuk menjaga hati serta menstabilkan keadaan.
Tidak hairan baik ADUN dalam kerajaan dan pembangkang, walau dilihat menyokong Hasni untuk mengemudi, namun sistem kedudukan parti menjadi penghalang dalam menterjemah banyak urusan. Ini pasti mampu mengganggu dasar atau peruntukan yang dibuat dalam DUN dengan kelebihan satu kerusi.
Jangkaan Awal Jika Berlaku PRN
Ianya pasti suatu keputusan yang sukar dibuat oleh Hasni andai pembubaran DUN dibuat sekarang. Namun bersandarkan kredibiliti sudah tentu implikasi kepada rakyat akan beliau utamakan. Terbukti hanya dengan kekukuhan kerajaan sahaja yang mampu memberi kemakmuran. Pihak pihak yang cuba menghalang diadakan PRN sudah tentu mempunyai agenda dan berkepentingan.
Apa jua hujah walau berjela dikemukakan sememangnya jawapan kepada ketidaktentuan adalah menyerahkan semula mandat kepada rakyat. Setiap alasan atau halangan yang diberi ada penyelesaian kerana masa depan negeri secara keseluruhannya lebih utama.
Jika PRN berlaku Barisan Nasional (BN) dijangka boleh mendapat mandat yang lebih baik jika bertanding secara solo. Dengan defisit keyakinan rakyat terhadap ADUN ADUN Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah tentu memberikan kelebihan kepada BN. Bilangan penyokong tegar PH dan PN sendiri telah berkurang akibat prestasi dan konflik dalaman menambah keyakinan untuk BN mendapat mandat yang selesa. Golongan atas pagar juga telah diberi peluang menilai antara kerajaan PH dan kerajaan semasa. Di peringkat pusat pula rakyat telah dihidangkan dengan kerajaan PH, PN dan Keluarga Malaysia yang mana jelas memberikan kesan siknifikan kepada kehidupan rakyat. Sangat diyakini rakyat sudah ada jawapan kepada persoalan kerajaan mana yang hendak dipilih pada pilihan raya akan datang. Rakyat pasti tidak mahu “dipatuk ular” lagi!
Rentetan daripada PRK dan PRN yang telah berlaku pasca PRU 14 sememangnya BN mempunyai asas untuk yakin memerintah kembali. Terbaharu pada PRN Melaka dengan strategi yang betul BN berjaya mendapat mandat baru yang kukuh. Namun “template” PRN Melaka tidak boleh digunapakai bulat bulat untuk PRN Johor.
Analisis awal BN Johor boleh mendapat mandat baru yang selesa asal mengikut hasrat rakyat. Dijangka sekurangnya 33 kerusi mampu dimenangi namun dalam politik sentiasa berlaku ketidaktentuan. Majoriti kemenangan di banyak tempat dijangka tipis namun ianya sudah cukup untuk mengembalikan kerajaan BN yang sebenar memerintah. Akan tetapi bila terjadinya pembubaran pasti persepsi serta jangkaan bilangan kerusi boleh menang sudah berubah.
Mood dan Aspirasi Rakyat
Mood semasa rakyat Johor adalah berbelah bahagi. Dengan pelbagai hujah dan teori tentang PRN ini memberikan sedikit kebingungan dan kegugasaran. Namun rakyat berkehendakkan sesuatu yang baik akan berlaku. Rata ratanya rasional hanya dengan PRN sahaja mampu direalisasikan, setelah pelbagai usaha dan sandiwara politik disaji.
Majoriti rakyat mahukan BN kembali memerintah berdasarkan pengalaman melalui ketidaktentuan politik pasca PRU 14. Namun dengan syarat calon calon yang ditawarkan adalah banyak muka baru yang berlekayakan, yang mampu menggalas tanggungjawab serta dikenali. Di pihak parti pula pasti soal kesetiaan akan menjadi elemen tambahan kerana sedar wakil wakil rakyat yang pernah melompat akan ditolak oleh rakyat. Muka baru sepenuhnya pasti menyukarkan pentadbiran, penyandang sedia ada yang mampu memimbing dan boleh menjadi mentor untuk menyedia pelapis juga diperlukan.
Semoga PRN Johor akan memberikan suatu harapan yang lebih baik buat rakyat Johor dan memberikan keyakinan kepada kerajaan baru Johor kelak mengurus tadbir secara yang berkesan untuk rakyat.
Ingat kunci kemakmuran adalah pada kestabilan, kestabilan diperolehi melalui sokongan kukuh rakyat pada satu satu parti. BN telah membukti dan terbukti terbaik di kalangan gabungan parti yang ada. Idealogi dan perjuangannya sangat jelas dari rakyat untuk rakyat. – New Malaysia Herald
Penulis merupakan seorang usahawan dan pemerhati politik. Beliau juga sedang membuat kajian Phd dengan topik “Pengaruh politik di media sosial”. Penulisan beliau adalah bersifat sederhana yang diterima oleh pelbagai pihak. Artikel ini adalah berdasarkan pendapat penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian New Malaysia Herald.
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com
Facebook Comments