Angkara Agensi Pemungut Hutang – Ini Nasihat Aktivis

0
673
Angkara Agensi Pemungut Hutang

TRAUMA yang dialami oleh ramai peminjam dalam masyarakat kita sejak akhir-akhir ini menjadi semakin serius dan kronik angkara keganasan beberapa Agensi Pemungut Hutang yang seolah-olah tidak dapat dikawal oleh pihak berwajib.

Saban hari kita boleh lihat di media sosial dan mesej melalui whatsapp di mana kenalan kita ramai telah menerima talipon dari LHDN atau mahkamah ataupun pihak polis yang mereka ada hutang tertunggak atau saman polis/JPJ yang harus diselesaikan dalam masa yang terdekat. Jika mereka tidak membuat bayaran dalam masa tertentu, tindakan akan diambil dengan macam-macam ugutan yang dikemukan.

Pihak New Malaysia Herald bertanya kepada seorang pakar perunding pengurusan hutang, Hj Jefry Md Arif yang sekarang menerajui syarikat sendiri, NPL Smart Solutions bersama beberapa rakan, mengenai pengalaman beliau dalam berinteraksi dengan agensi pemungut hutang. Kita dengar nasihat beliau, yang juga adalah ketua aktivis dalam NGO 4PM:

Peminjam yang menjadi mangsa diibaratkan seperti sudah jatuh kedalam lumpur malah diinjak pula sampai terbenam – Hj Jefri Md Arif, Ketua Aktivis

Pengalaman saya sebagai Perunding Pengurusan Hutang sejak tahun 2015 banyak menyaksikan kesusahan dan tekanan keatas ramai Peminjam yang dilakukan oleh beberapa Agensi Pemungut Hutang yang begitu kejam dalam cara mereka memungut hutang. Sebagai Ketua Aktivis sebuah NGO dan pemilik Syarikat Perunding NPL Smart Solution, isu ini telah kerap saya adukan kepada pihak bank yang melantik agensi berkenaan agar mengambil tindakan yang sewajarnya agar kesengsaraan yang dialami oleh ramai peminjam dapat berakhir namun ianya masih tidak menjadi kenyataan.

TRAUMA yang dialami oleh ramai peminjam dalam masyarakat kita sejak akhir-akhir ini menjadi semakin serius dan kronik angkara keganasan beberapa Agensi Pemungut Hutang yang seolah-olah tidak dapat dikawal oleh pihak berwajib. Tindakan agensi ini telah mengakibatkan ketakutan dan kemurungan yang melampau kepada ramai peminjam yang telah menjadi mangsa agensi tersebut yang kebanyakannya mengamalkan cara pungutan hutang yang tidak sihat dan melanggar “Standard Operating Procedure (SOP)” yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Menakutkan Peminjam

Modes Operandi agensi ini adalah dengan memperdaya dan menipu sebagai Peguam, Polis, Pegawai Bank atau Pegawai Mahkamah/LHDN untuk menakut-nakutkan peminjam. Mereka juga menalifon ahli keluarga, rakan atau majikan kepada peminjam dan sengaja mengaibkan dengan bercerita perihal hutang tersebut untuk tujuan memberi tekanan kepada peminjam sedangkan ianya satu kesalahan dibawah “Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)” kerana mendedahkan maklumat peminjam kepada pihak ketiga. Mereka sering mengugut dengan bahasa yang kesat dan memaksa peminjam untuk membayar kesemua jumlah tunggakan dalam waktu yang singkat tanpa memberi peluang dengan menawarkan apa-apa cadangan pembayaran yang termampu oleh peminjam yang sedang dilanda masalah kewangan.

Ramai peminjam yang menjadi buntu, ketakutan dan trauma apabila diugut oleh agensi ini untuk menyenaraihitamkan nama mereka, menyita barangan rumah, membuat kecoh di hadapan jiran atau di pejabat jika bayaran tidak diterima pada waktu dan hari yang sama. Peminjam juga diugut akan dibankrapkan dan akaun gaji mereka akan dibekukan. Cara yang digunakan oleh agensi ini memang kejam dan sentiasa mencari mangsa yang lemah untuk diugut dan diancam bagi menimbulkan ketakutan dan trauma agar mangsa tidak dapat berfikir panjang dan akan mendapatkan wang dengan cara apa sekali pun untuk membayar kepada agensi ini.

Saya membantah sekeras-kerasnya kaedah pungutan hutang yang diamalkan oleh agensi ini dan ianya amat bertentangan dengan cara yang dipraktikkan oleh Pegawai Bank termasuk saya sendiri ketika bertugas di Jabatan Pungutan Hutang Maybank dan CIMB Bank selama 17 tahun sebelum bersara awal pada Jun 2015.  

Ini lah dilema yang sedang dihadapi oleh ramai peminjam yang sudah lah dihimpit dengan masalah kewangan yang serius sejak Covid-19 melanda negara ini, malah sekarang ini ditambah pula dengan tekanan akibat ugutan dan ancaman oleh kebanyakan agensi yang menjalankan aktiviti mereka tanpa belas kasihan dan kurang berperikemanusiaan. Peminjam yang menjadi mangsa agensi ini diibaratkan seperti sudah jatuh kedalam lumpur malah diinjak pula sampai terbenam. Rata-rata peminjam yang saya temui memang berhasrat untuk membayar hutang mengikut kemampuan mereka buat masa ini dan bukan seperti mana yang diminta oleh agensi tersebut yang sememangnya jauh di luar kemampuan mereka.

Impak Serius

Bilangan kes yang telah diadukan kepada saya semakin bertambah dari bulan-kebulan dan ini adalah satu indikasi yang tidak baik yang memberi gambaran seolah-olah agensi ini berjaya melakukan tindakan mereka sesuka hati tanpa dapat dibendung dan impaknya telah menjadi semakin serius dan kronik sehingga ramai peminjam yang menjadi trauma dengan angkara yang dilakukan oleh agensi tersebut.

Ada beberapa kes yang ingin saya kongsikan dimana kes pertama melibatkan seorang ibu tunggal yang telah menghubungi saya sekitar jam 10 pagi sambal menangis dan merayu-rayu meminta pertolongan kerana beberapa orang dari agensi yang berkenaan telah pergi kerumah beliau dan membuat kecoh sehinggakan dua orang anak yang kecil berumur enam tahun dan sembilan tahun yang ditinggalkan di rumah menjerit-jerit ketakutan sehingga didengar oleh jiran yang terus menelefon ibu tunggal ini yang pada ketika itu sedang bekerja. Bayangkanlah  keadaan trauma yang sedang dihadapi oleh ibu tunggal tersebut pada ketika itu yang sangat ketakutan memikirkan keselamatan dua orang anak yang terpaksa ditinggalkan di rumah untuk keluar mencari nafkah. Namun kes berjaya diselesaikan setelah perbincangan dilakukan dengan pihak agensi.

Manakala kes yang lain ini dialami oleh seorang wanita yang mengalami penyakit “Anxiety Disorder” yang telah dihubungi oleh agensi berkenaan yang terus meminta beliau menjelaskan hutang yang tertunggak yang agak besar dan sekiranya gagal, mereka mengugut akan datang kerumah bersama pihak Polis dan Pegawai Mahkamah untuk menyita barangan rumah. Walaupun wanita ini telah menjelaskan beliau tidak pernah terlibat dengan pinjaman tersebut, namun agensi berkenaan tetap memberinya waktu sehingga jam 4 petang. Akibat ketakutan melampau yang dialami oleh wanita tersebut yang mengalami penyakit “Anxiety Disorder”, beliau telah menggunakan simpanan beliau selama ini dan membuat bayaran RM10,000.00 kepada agensi berkenaan. Malangnya, kes ini hanya dilapurkan setelah pembayaran dibuat dan siasatan yang dilakukan mendapati pinjaman tersebut adalah merupakan satu penipuan. Ianya didalangi oleh bekas suami wanita ini yang telah memalsukan tandatangan dan menggunakan dokumen beliau untuk mendapatkan pinjaman dengan penglibatan pihak tertentu. Kes ini akan dirujuk ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan.

Menambah Hutang

Kes seterusnya melibatkan seorang pegawai yang mengalami masalah kewangan yang serius dan beliau telah dihubungi oleh agensi berkenaan yang meminta jumlah tunggakan hutang yang agak besar. Bukan sahaja datang kerumah, malah wakil agensi telah mengganggu hingga ke pejabat dan membuat kecoh tidak mahu beredar selagi mana bayaran tidak buat. Oleh kerana tidak tahan dengan tekanan yang diterima dan malu dengan jiran dirumah dan rakan sekerja termasuk majikan, beliau yang terdesak dan buntu telah meminjam duit dengan Ahlong dan membayar tunggakan hutang yang diminta oleh agensi tersebut agar tidak diganggu. Masalah menjadi lagi berat bilamana hutang yang ada tidak selesai malah ditambah dengan hutang yang baru dari pihak Ahlong yang lebih ganas. Kes ini akhirnya dapat di bendung setelah perbincangan dilakukan dengan pihak agensi dan laporan kepada pihak KPKT dilakukan terhadap kes Ahlong tersebut.

Dari tiga contoh kes diatas sudah cukup memberi isyarat kepada pihak yang berwajib terutamanya pihak BNM dan KPKT sendiri agar mengambil tindakan yang pro-aktif untuk menghentikan kekejaman yang dilakukan oleh agensi berkenaan yang memberi impak negatif dan trauma kepada ramai peminjam di negara ini yang sedang mengalami krisis kewangan yang serius.

Sudah banyak salinan Surat Aduan berkaitan kes-kes yang saya tangani telah diajukan kepada BNM melalui BNM Telelink dan yang terbaru kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Penguatkuasaan terhadap SOP Pungutan Hutang yang telah digariskan oleh BNM dan Akta PDPA perlu dilaksanakan dengan efisyen agar Garispanduan dan Akta ini dipatuhi dan dihormati oleh semua Agensi Pemungut Hutang supaya mereka lebih professional dan lebih berperikemanusiaan dalam menjalankan aktiviti mereka.  

Untuk mereka yang perlu bantuan menyelesaikan tunggakan hutang dengan pihak institusi kewangan dan mengalami kes salah laku Agensi Pemungut Hutang, boleh hubungi Hj Jefri ditalian 019-2295354 dan email nplsmartsolution1@gmasil.com atau hadir kepejabat mereka di Lot 4.3, Tingkat 4, Spectrum Shopping Mall, Bandar Baru Ampang. Sila layari www.nplsmartsolution.com.my  untuk info lanjut. – New Malaysia Herald

Artikel ini adalah sebuah khidmat masyarakat New Malaysia Herald.

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com