Hakim Nazlan Perlu Direhatkan, Bagaimana Zafrul Pula?

    0
    768

    Kami bukan menuduh Hakim Nazlan bersalah, sebaliknya kami hanya memohon kepada SPRM agar siasat segera – NGO PSUAM

    PUTRAJAYA – Baru-baru ini pendedahan dari Raja Petra Kamaruddin mengenai penglibatan seorang Hakim dalam skandal 1MDB telah membuat ramai netizen bertanya-tanya apakah pihak atasan akan membuat mengenai pendedahan tersebut.

    Pada hari Sabtu, Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) telah membuat kenyataan akhbar dan mendesak supaya Mohd Nazlan Mohd Ghazali direhatkan daripada jawatannya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan bagi memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan penuh terhadap dakwaan kemasukan wang RM1 juta ke dalam akaun simpanannya.

    Ahli PSUAM telah membuat laporan kedua kepada SPRM pada hari Sabtu meminta supaya kemasukkan wang di dalam akaun Hakim Nazlan disiasat Syed Imran berdiri kedua dari kiri

    Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, SPRM juga perlu menjalankan siasatan yang telus dengan kadar segera dan tampil dengan satu kenyataan hasil siasatan secepat mungkin memandangkan isu itu menjadi topik perbualan rakyat yang menuntut ketulenan dakwaan tersebut.

    Walaupun Mohd Nazlan menafikan penerimaan wang itu menerusi satu laporan polis yang dibuat baru-baru ini, PSUAM berpendapat SPRM perlu melakukan siasatan dalam isu tersebut kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran di sebalik isu yang diviralkan itu.

    “Kami bukan menuduh Hakim Nazlan bersalah, sebaliknya kami hanya memohon kepada SPRM agar siasat segera. Adakah beliau terlibat secara langsung di dalam SRC International dan 1MDB seperti mana ditularkan.

    Nazlan Harus Disiasat Segera

    “Kami pernah buat laporan kepada SPRM pada 15 Mac lalu membabitkan Mohd Nazlan dan hari ini laporan kedua menyusul kepada SPRM mendesak Nazlan disiasat segera.

    “Jika benar wujud penglibatannya, kes Najib Razak harus berpatah balik ke Mahkamah Tinggi dan seluruh hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau perlu dibatalkan dan kes harus dibicarakan semula.

    “Kami bukan meminta kes Najib ditutup dan dibebaskan, sebaliknya mahu kes dibicarakan semula sebab perkembangan terkini mengaitkan hakim yang menzahirkan hukuman dalam kes Najib dengan kemasukan dana 1MDB mencetuskan keraguan kepada rakyat,” katanya bila dihubungi selepas beliau membuat laporan di ibu pejabat SPRM di sini.

    Dalam satu lagi perkembangan sama, beliau juga mendesak SPRM agar segera menyiasat Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana namanya disebut dalam satu perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Roger Ng di mahkamah New York Amerika Syarikat pertengahan Mac lalu.

    Katanya, pengakuan Roger Ng dalam perbicaraan mengenai 1MDB di mahkamah New York bahawa dia pernah bertemu dengan Tengku Zafrul walaupun Menteri Kewangan Malaysia itu menafikan dakwaan tersebut menerusi kenyataan pada 3 Mac lalu.

    Zafrul Ke Las Vegas

    “Pada tahun 2012 Maybank didakwa meluluskan pinjaman sejumlah besar wang kepada 1MDB, dan ketika itu Tengku Zafrul merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment. Kemudian pada tahun sama juga terdapat laporan mendakwa Tengku Zafrul antara 11 orang yang pergi ke Las Vegas dan meraikah hari lahir Jho Low.

    “Nama beliau juga terdapat dalam dokumen yang menyerupai minit mesyuarat lembaga pengarah Maybank melibatkan sejumlah wang seperti yang didedahkan sebuah portal tempatan. Kita mahu kesemua perkara ini perlu disegerakan siasatan oleh SPRM,” tegasnya.

    Dalam pada itu, Penasihat PSUAM, Zamil Ibrahim pula mahu SPRM menyiasat satu lagi dakwaan melibatkan nama Mohd Nazlan dengan penularan beberapa dokumen bertarikh 7 Mac lalu di portal berita tempatan dipercayai merupakan minit mesyuarat ‘Group Management Credit Committe GMCC Maybank berkenaan permohonan 1MDB untuk mendapatkan ‘Bridging Loan’ jangka pendek sebanyak RM6.17 bilion yang dipercayai disediakan oleh Mohd Nazlan.

    Katanya, SPRM perlu menggunakan kecekapannya untuk memulakan segera siasatan mengenai perkara berkenaan untuk memberitahu rakyat sama ada dokumen yang dikaitkan dengan Mohd Nazlan adalah tulen atau fitnah semata-mata.

    “Maka saya terpanggil untuk datang ke SPRM yang dirasakan badan yang tepat menyiasat dakwaan ini dan mengesahkan ketulenan dokumen bank itu yang mengaitkan penglibatan Mohd Nazlan, jika benar ia amat mendukacitakan.

    “Justeru kerajaan, badan kehakiman serta jabatan peguam negara perlu merehatkan Mohd Nazlan daripada menjalankan tanggungjawab sebagai hakim sementara SPRM menyiasat dan tampil dengan keputusan siasatan.

    “Andai kata terbukti benar dokumen itu dan penerimaan wang itu, ia satu perkara yang amat mendukacitakan dan konflik berkepentingan yang perlu diambil tindakan penyelesaian segera berlunaskan undang-undang,” ujarnya.

    Apa Akan Jadi?

    Sementara itu, bekas pegawai di Pejabat Perdana Menteri apabila Najib Razak adalah Perdana Menteri Malaysia ke-enam, Saiful Bahari Baharom dalam hantaran Facebook beliau bertanya jika Mohd Nazlan didapati melakukan kesalahan melanggar kod etika Hakim, apa akan jadi?

    Beliau berkata bahawa menurut Perkara 125, Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri atau Ketua Hakim boleh sembahkan kepada YDP Agong bahawa Mohd Nazlan ini patut dipecat dan di berikan sebab-sebabnya.

    “Kerana beliau adalah sekarang seorang Hakim Mahkamah Rayuan, YDP Agong hendaklah berunding dengan Presiden Mahkamah Rayuan (Perkara 9/125) dan seterusnya mensyorkan juga penubuhan sebuah tribunal yang terdiri tidak kurang dari lima Hakim negara ataupun hakim dari negara Komanwel yang setaraf dengan hakim negara. Tribunal ini akan memastikan sama ada hakim tersebut perlu di pecat (Perkara 4/125).

    “Sementara menunggu keputusan tribunal tersebut, Yang di-Pertuan Agong boleh atas syor Perdana Menteri, selepas berunding dengan Presiden Mahkamah Rayuan, menggantung Mohd Nazlan daripada menjalankan fungsinya (Perkara 5/125). Perlembagaan tidak sebut jika setelah Mohd Nazlan dipecat, bolehkah beliau kemudian didakwa di bawah undang-undang AMLA pula dan dibawa ke Mahkamah sebagai seorang rakyat biasa. Lojiknya memang boleh,” hujah Saiful lagi.

    Tambah Saiful lagi, juga tidak di sebut sama ada Mohd Nazlan boleh di dakwa semasa beliau masih seorang Hakim dan dihadapkan perbicaraan; jika di sabit kesalahan, baru dibawa ke pangkuan perhatian YDP Agong untuk di pecat. – New Malaysia Herald

    Facebook Comments