Sajat Ada Pendamping Di Australia, Apakah Itu Cinta?

Kisah AJ yang menjadi teman setia Sajat di Australia menjadi bualan selepas NMH menceritakan kisah persahabatan unik ini

Rata-rata rakyat Malaysia kenal Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, namun hanya segelintir yang tahu siapakah tulang belakang Empayar Nur Sajat yang bertapak di Australia bernilai jutaan Dolar itu.

Penulis bertuah kerana diperkenalkan kepada individu tersebut oleh seorang sahabat iaitu Puan Nasreen Jamshaid yang menjadi pelopor grup ‘Australian Malaysian Wide Community’, sebuah komuniti perniagaan rakyat Malaysia yang menetap di Australia merangkumi pelbagai bidang. Puan Nasreen sendiri adalah tuan punya beberapa ladang buah-buahan dan hotel di sekitar lokasi strategik di Australia.

Sebelum ini NMH telah memaparkan sedikit sebanyak kisah pendamping Sajat dan penulis berjanji akan menceritakan lebih lanjut mengenai pasangan ahli perniagaan ideal ini.

Mari kita teruskan kisah Adale J. Gunsalam atau lebih mesra dengan panggilan AJ ini. Anak kelahiran Kampung Bambangan Inanam, Sabah ini menganggap dirinya ‘teman’ Sajat ketika susah dan senang di Australia, kerana kedua-duanya bertemu di tempat orang.

Rezeki Perkenalan di Perantauan

Dalam kepayahan mencari rezeki di perantauan ketika Covid-19 mula menyusut, dia bertemu dengan Nur Sajat yang ‘melarikan’ diri dari Malaysia dan memulakan empayar dari mula di Australia.

“Sebagai rakan, saya agak risau dengan kecaman dan gangguan terhadap Sajat yang bertalu-talu akibat ‘content’ media sosial Sajat yang berbaur kontroversi dan pada masa sama, cuba memahami dan membantu dia memasarkan bengkung di serata Australia.

“Saya hanya perhati dari jauh dan biarkan Sajat bersendirian mencari ketenangan jiwa, hanya sekali-sekala saya menghubungi dia untuk bertanya khabar, di samping belajar  bagaimana cara memakai bengkung, bagaimana mengukur kesesuaian badan dan kaedah pemasaran.

“Saya terpaksa mencari strategi kerana Sajat ada cara tersendiri dan jauh beza dengan cara saya. Dia suka ‘live’ yang lebih interaktif  dan saya suka menjual. Saya tertarik sebenarnya cara dia membuat ‘live’ memperkenalkan saya sebagai stokis di Australia, dan saya pula mengambil peluang di dalam setiap ‘live’, memberi motivasi kepada para agen saya agar sama-sama maju dalam segi perniagaan  dan kehidupan kerana kebanyakan ejen saya adalah orang Malaysia yang berada di bumi Australia,” jelas AJ panjang lebar.

Nur Sajat Di Mata Saya

“Saya tahu ramai yang ingin mendampingi Sajat sebab kecantikannya memukau seperti intan berlian dan ramai di kalangan rakan-rakan Sajat sendiri yang mencemburui hubungan kami kerana Sajat senang ketika berada bersama saya.

“Saya bukan seperti orang lain yang hanya memberi fokus kepada kecantikan atau seksualiti dia, saya lebih suka fokus kepada kekuatan, kebaikan, sifat profesional seorang yang mempunyai aura positif dan seorang yang mudah dibawa berbincang. Pada saya, dia adalah seorang individu unik, walaupun penuh kontroversi tetapi banyak memberikan saya pencerahan dan solusi yang logik dan berbaloi.”

Sebagai seorang yang mahir dalam selok-belok pemasaran produk, AJ menganggap penjualan bengkung ini adalah satu bentuk ‘challenge’, maklumlah dari menjual barangan elektrik dan elektronik untuk syarikat bertaraf antarabangsa kini dia menjual bengkung.

“Saya seorang ‘super marketeer’ bukan ‘penjual’ bengkung Sajat, seperti ‘barang murah’, tetapi menjualnya sebagai ‘jenama premium’ yang mampu milik. Sebelum saya menjual bengkung, saya perlu ‘menjual’ Sajat dahulu, barulah pembeli lebih percaya kepada produk yang saya jual, mereka mahu kelihatan ramping dan mempunyai postur badan yang lebih baik.

Perkongsian Ilmu

Sebagai stokis utama, AJ sangat gembira apabila dapat berkongsi ilmu pemasaran dengan ejen-ejen di seluruh Australia yang berada di bawahnya sehinggakan stok permulaan sebanyak 500 helai bengkung tidak cukup dan kini seminggu sekali akan pergi mendapatkan stok untuk para ejennya.

“Sajat sungguh hairan, bagaimana saya menjual habis begitu banyak dengan laju dan mudah. Sajat tidak pernah ambil tahu pun dengan siapa saya berurusan sehingga dia tertanya- tanya, dan kemudian dalam minggu ke-2, saya memberikan senarai nama, nombor telefon  dan kawasan-kawasan ejen saya . Sajat teruja kerana dia  tidak sangka jualan begitu laju dan ramainya ejen di  setiap kawasan. Sajat sungguh gembira hingga dia menyebut nama-nama dan kawasan di dalam LIVE nya.”

Menurut AJ, strategi ini berjaya menjadikan Sajat lebih ‘mesra’ dan kurang kontroversi menyebabkan lebih ramai rakan media sosial Sajat yang berminat untuk menjadi ejen jualan.

“Inilah strategi yang saya buat, ‘menjual’ nama Sajat dan abaikan dirinya sambil berkenalan dan bersuai- mesra dengan rakan-rakan media sosial yang dulunya haters,” menurut AJ lagi.

Pengalaman Sendiri Menggunakan Produk

Sajat Dan Aj Bersama Rakan-rakan Empire Sajat.
AJ dan Sajat bersama rakan rakan Empire Sajat

“Saya seorang yang suka kelihatan menarik dan ketika saya berjumpa dengan Sajat, semua baju saya ketat dan ketika itu berat saya adalah 78kg. Perlahan-lahan saya mengempiskan perut untuk menyakinkan pelanggan bahawa saya juga memakainya. Sebenarnya saya ‘gagal’ kerana tidak membiasakan diri memakai bengkung sehinggalah minuman diet diperkenalkan. Sewaktu fasa penurunan berat badan saya, Sajat sentiasa memantau pemakanan saya. Sebagai sahabat, dia risau jika saya hilang semangat untuk meneruskan pemakaian bengkung untuk merapikan bentuk tubuh saya. Sajat sangat gembira apabila saya berjaya mengurangkan berat badan saya dalam tempoh 6-8 minggu dan meminta saya berubah pula dari segi fesyen.

“Dia mahu saya berubah dari segi penampilan seorang profesional dan mempamerkan diri saya yang sebenar. Selain itu, perbezaan yang amat ketara akan membuat pelanggan sering bertanya dari segi produk dan pemasaran. Memang sangat mencabar, tetapi saya juga memastikan diri saya sentiasa BOLEH dan POSITIF.

“Saya sahut cabaran dan berjaya, sekali gus mendapat pujian pelanggan dan mereka ingin tahu lebih lanjut tentang produk dan kesannya. Pada waktu itu, berat badan saya 68kg. Badan bukan sahaja semakin lansing, tetapi kulit saya semakin berseri, dan yang paling penting, tidak ada kesan negatif setelah pengambilan produk.

“Terkini berat badan saya adalah 55kg dan saya cuba mengekalkannya. Kulit saya yang semakin cantik menjadikannya impak kepada ‘kuasa pemasaran’ media sosial. Saya akui, saya umpama ‘menjual diri’ sebagai testimoni tetapi ianya amat berkesan dan hingga kini pelanggan tidak putus-putus.”

Cinta Sedang Berbunga?

“Eh tidaklah, kami hanya rapat. Lagipun ramai peminat Sajat yang mahu menjadi ‘cinta’ dia. Saya lebih suka menjadi ‘teman tapi mesra’. Hubungan kami mesra, itu adalah diri kami yang sebenar dan Sajat memang terkenal dengan sifatnya suka berkongsi sesuatu dengan seseorang. Sajat seorang yang teliti dan sekiranya ada benda yang baik mahupun tidak baik, dia sangat tertarik berkongsikan dengan kami. Kerana dari dulu pun dia seorang yang suka berjalan kerana mencari pengalaman dan peluang perniagaan,” kata AJ mengenai status hubungan antara diri dia dan Sajat.

Bagi AJ, persamaan dia dan Sajat adalah suka membuat sesuatu yang baru, berkongsi kisah suka duka dan yang paling penting tidak suka membuang masa membuat perkara yang tidak berfaedah dan ini adalah titik utama ‘pertemuan jiwa’ antara mereka.

“Buat apa menipu dan bersahabat semata-mata sebagai gimik pemasaran. Ia adalah kaedah yang sangat tidak berfaedah dan menjatuhkan maruah. Kami suka buat perkara yang ‘real’ supaya followers media sosial kami mendapat cerita sahih dan terkini.

“Apabila kami sedang mencari atau membuat sesuatu, itu adalah salah satu cara kita kongsi dan buktikan benda tu real dan bukan saja-saja. Sebab kami juga tidak suka membuang masa jika benda tu adalah gimik semata-mata untuk mengaburkan mata masyarakat dan sangat tidak berfaedah. Dan kami membuat sesuatu secara transparensi supaya follower dapat cerita semasa dan terkini,” katanya lagi.

Namun, sebenarnya AJ akur, jodoh pertemuan di tangan Tuhan. “Bab jodoh ini saya tak mahu komen lebih-lebih, jika ada, ada. Jika tiada kami tetap akan menjadi kawan baik dan rakan profesional di dalam bidang perniagaan,” katanya menutup bicara. – NMH

Mengenai penulis: Emma Harith adalah seorang surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal-ehwal domestik, penulis juga seorang aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan-makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.

Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat NMH.

Facebook Comments

author avatar
Emma Harith
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.

Latest articles

Related articles