Penuh harapan kami bahawa keputusan PRU15 ini tidak akan membawa pada penukaran PM sebanyak tiga kali dalam satu penggal
Gendang pilihanraya sudah di palu apabila Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) telah diumumkan pada 19 November 2023, pengundian awal pada 15 November 2022 dan Hari Penamaan Calon pada 5 November 2022. Tenggelam sudah cerita Bajet 2023 Keluarga Malaysia yang dikatakan bajet yang ‘besar’ dan ‘prihatin’ rakyat.
Hanya dua minggu untuk berkempen, bagi parti dan calon yang bertanding, dua minggu itu adalah waktu yang akan menentukan ‘kalah, mati’ mereka, dan ini adalah ketikanya bagi rakyat untuk menggunakan kuasa mereka memberi mandat kepada ahli politik untuk menentukan halatuju negara.
Dengan harapan pada kali ini tidak akan berlaku lagi penukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu penggal, dan tiada lagi berlaku insiden kerajaan ‘tebuk atap’ dan kerajaan ‘pintu belakang’.
PRU15 – Alasan ‘Trauma’ Banjir
Namun begitu bagi enam negeri, tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta tiga negeri di bawah pentadbiran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas alasan ‘banjir’.
Bagi kebanyakan rakyat yang bukan penyokong tegar mereka, alasan ‘trauma banjir’ yang akan menyusahkan rakyat adalah satu bentuk ‘penipuan’ yang licik kerana baik PH atau PAS tetap akan meletakkan calon di negeri-negeri di bawah Barisan Nasional (BN) iaitu Pahang, Johor dan Perak yang akan membubar DUN dan akan mengadakan Pilihanraya Negeri serentak dengan Pilihanraya Umum 2022.
Ia juga adalah satu perbuatan pembaziran ‘duit rakyat’ kerana pilihanraya negeri yang akan dilaksanakan nanti akan menyebabkan Suruhanjaya Pilihanraya mengeluarkan perbelanjaan tambahan, buat negeri-negeri tersebut berbanding jika PRN dan PRU dibuat serentak.
Selamat Mengundi Rakyat Malaysia
Bagi rakyat pula, inilah masanya mereka akan dapat melihat calon-calon wakil rakyat turun padang, jalan berturap dan pelbagai ‘imbuhan’ dan aktiviti akan dijalankan untuk ‘memenangi’ hati dan undi rakyat.
Ia sudah umpama satu ‘budaya’ rakyat akan dapat apa yang diminta semasa pilihanraya di mana calon-calon Yang Berhormat begitu bermurah hati memberi dan ‘berjanji’. Rakyat semakin bijak, mengambil apa yang ‘diberi’, tetapi tetap akan menilai janji-janji yang ditabur.
Majoriti rakyat sudah belajar, 22 bulan ‘dikencing’ oleh ‘Manifesto bukan’ janji adalah sangat waktu yang sangat perit bagi rakyat jelata.
Jenama ‘produk-produk’ Malaysia yang begitu sinonim dengan Najib Razak dan Barisan Nasional begitu banyak membantu rakyat masih dirindui.
Semoga igauan buruk ini tidak berulang lagi. Dan jangan lupa buat semakan daftar pemilih di MySPRSemak. – NMH
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.
Facebook Comments