Buat julung-julung kalinya seorang sutradara Wanita Melayu, Tunku Mona Riza selepas berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi filem ‘Redha’, dengan beraninya menghasilkan pula sebuah karya berbahasa Kantonis, ‘Rain Town’.
Jika filem ‘Redha’ diinspirasikan daripada kisah benar tentang cabaran sepasang suami isteri untuk membesarkan anak autisme mereka, kali ini dalam filem Rain Town, Tunku Mona Riza sekali lagi mengetengahkan isu kekeluargaan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Tidak perlu lama, lebih kurang 15 minit menonton sahaja kita menjadi begitu asyik menonton sehinggakan kita ‘terlupa’ kita sedang menonton sebuah film berbahasa kantonis dan membaca sarikata bagi lebih menghayati filem tersebut.
Kekeluargaan Yang Dekat Di Hati
‘Rain Town’ adalah kisah kekeluargaan yang begitu dekat di hati, di mana ketua keluarga Choo (lakonan Chew Kin Wah) adalah seperti bapa-bapa tradisional lain, yang mengamalkan dasar ‘hitam kata dia, hitamlah, putih kata dia, putihlah’. Sikap si bapa yang keras kepala, dan suka ‘judi hujan’ juga tidak berapa disenangi oleh keluarga.
Si ibu (lakonan Susan Lankaster) pula sebagai ‘pendamai’ antara anak-anak dan bapa, serta merupakan ‘perisai’ terhadap anak-anak daripada teruk dimarahi oleh si bapa. Sifat keibuan yang begitu menyentuh jiwa, sehinggakan menjadikan penonton begitu empati terhadap watak si ibu.
Tipikal sifat anak sulong, Isaac Choo (lakonan Fabian Loo) yang sangat patuh kepada kedua ibu bapa sehingga mengenepikan cita-cita dan impian sendiri, tetapi akhirnya ‘tersungkur’ kerana tekanan akibat tidak dapat menentukan halatuju dan terpaksa mengikut kehendak si bapa yang mahukan dia menjadi yang ‘terbaik’ dalam segala hal.
Anak nombor dua Alex Choo (lakonan Wilson Lee) pula degil dan ‘rebellious’ tetapi akhirnya mendapat ‘pengajaran’ juga dan akhirnya pulang ke pangkuan keluarga. Menjadi ‘kemanjaan’ si ibu, dan bersikap begitu dingin terhadap si bapa.
Si bongsu, Ruby Choo (lakonan Pauline Tan), si gadis manis kesayangan keluarga, begitu kecewa dengan sikap si bapa yang begitu cerewet dalam memilih menantu, sehingga menyebabkan kekasih hatinya ‘lari’ dan tidak jadi berkahwin akibat ‘di sekolahkan’ oleh si bapa.
Filem Yang Menggerakkan Emosi
Sejujurnya filem ini adalah sebuah filem yang sarat dengan emosi sehinggakan para penonton seolah-olah ‘tenggelam’ dalam emosi yang di bawa oleh watak-watak. Pembawakan setiap watak yang hampir sempurna dan begitu natural, tidak kaku dan kayu menyebabkan perasaan sedih, sengsara, gembira, marah dan kasih sayang bercampur baur, sehinggakan umpama kita sebagai penonton berada ‘dalam’ filem tersebut sebagai pemerhati tanpa watak.
Di satu sisi lain ‘Rain Town’ menunjukkan sisi gelap patriaki yang membawa padah kepada keluarga apabila si ibu yang menjadi tunjang keluarga jatuh sakit. Akibatnya anak-anak hilang arah dan semakin menjauhi si bapa.
Elemen ‘hopelessness’ akibat ‘ketiadaan’ si ibu merupakan elemen yang memang realitinya mampu meruntuhkan atau memperkuatkan ikatan kekeluargaan, dan dalam filem ini, ia mencampakkan watak anak-anak dan bapa ke dalam konflik yang menyayat hati kerana kekuatan si ibu yang mengharmonikan keluarga umpama tiada.
‘Rain Town’ adalah isu keluarga yang biasa dialami dalam kehidupan masyarakat terutamanya keluarga yang masih berpegang teguh terhadap nilai-nilai keluarga tradisional. Isu tersebut walaupun ada yang ambil mudah, namun masih boleh menyebabkan berlakunya keretakkan hubungan dalam ahli keluarga sehingga hilangnya rasa hormat dan persefahaman.
Cabaran Yang Mengujakan
Bag Tunku Mona pula, mengarah ‘Rain Town’ adalah satu cabaran yang begitu mengujakan kerana pada hakikatnya, beliau tidak fasih dalam Bahasa tersebut dan perlu sentiasa di temani oleh jurubahasa sepanjang masa menjalani penggambaran filem ‘Rain Town’ di Taiping, Perak.
Bagi beliau, ia adalah sesuatu yang bagus untuk industri perfileman apabila seorang pengarah filem mengarahkan filem yang bukan daripada bahasa ibunda kerana beliau bukan sahaja berkarya dengan bahasa berbeza tapi menjalani keseluruhan proses yang menarik dari perspektif berlainan melalui interaksi dan pembelajaran.
Walaupun kali pertama mengarahkan filem berbahasa Kantonis, Tunku Mona sebelum ini pernah mengarahkan iklan pelbagai bahasa antaranya Bahasa Mandarin, Kemboja dan Vietnam selain menghasilkan supertelefilem “Uri” dan “Parit Jawa”, masing-masing dalam bahasa Iban dan Jawa.
Kisah ‘Rain Betting’ Di Rain Town
Menerusi satu kenyataan Current Pictures terdahulu, Tunku Mona berkata, idea untuk menghasilkan Rain Town bermula setelah dia dimaklumkan oleh seorang jurugambar pada tahun 2016 mengenai ‘Rain Betting’ atau bertaruh dengan meneka waktu hujan yang pernah berlaku suatu masa dahulu di Taiping, Perak.
Beliau sangat tertarik dengan kisah ‘Rain Betting’ kerana ia satu cerita yang unik, namun lantas mewujudkan satu karakter bernama ‘Choo’ yang suka bertaruh serta seorang bapa yang suka mengaturkan kehidupan anak-anak yang sudah meningkat dewasa sehingga menimbulkan konflik dalam keluarga mereka.
Menurut beliau lagi tajuk ‘Rain Town’ dipilih berikutan lokasi penggambaran diadakan di Taiping yang terkenal sebagai kawasan menerima taburan hujan paling banyak di Malaysia.
Filem RainTown akan memulakan tayangan pada 8 hb Februari 2024 sempena Tahun Baru Cina di pawagam GSC dan TGV yang terpilih. – NMH
Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.
Facebook Comments