Pada hari Sabtu, di mana rakyat Malaysia sibuk membeli-belah pada hujung minggu dan menikmati perayaan akhir tahun, mereka terkejut membaca kenyataan media oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) yang dikeluarkan petang ini mengenai isu Pengampunan Di Raja.
KUALA LUMPUR – Semua permohonan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata dalam sebuah kenyataan media.
AGC memaklumkan, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan, termasuk Datuk Seri Najib Razak, menghabiskan baki tempoh hukuman di rumahnya, permohonan hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.
“Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di akaun X jabatan itu pada Sabtu.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum.
Pelbagai Reaksi
Kenyataan media itu mengundang pelbagai reaksi daripada orang awam dan media, tidak terkecuali dari kalangan peguam.
Yang pertama mengeluarkan kenyataan adalah peguam kanan, Haniff Khatri yang berkata bahawa kenyataan media oleh Pejabat Peguam Negara membawa lebih banyak persoalan daripada jawapan.
“Antara soalan adalah adakah kenyataan ini dikeluarkan daripada Pejabat Peguam Negara susulan daripada mana-mana permohonan terkini yang dibuat oleh atau bagi pihak Najib Razak baru-baru ini kerana di perenggan pertama, ia rujuk khusus kepada banduan Mohd Najib Abdul Razak.
“Kalau ada, maka rakyat perlu dimaklumkan ada atau tidak permohonan terkini yang pernah atau telah dibuat oleh Najib Razak bebas daripada permohonan pengampunan 2 September 2022 yang menjadi titik tolak kepada isu titah pengurangan hukuman 29 January 2024 dan isu kontroversi titah Adendum bertarikh sama.”
Beliau bertambah bahawa kalau ada permohonan lanjutan dibuat, siapa yang buat permohonan tersebut dan apakah saluran yang digunakan? Adakah kerana saluran itu salah, dan kemungkinan kerana itu Pejabat Peguam Negara terpaksa keluarkan kenyataan media?
AGC Perlu Jelaskan
“Perkara ini perlu dijelaskan oleh Pejabat Peguam Negara. Perlu diterangkan dan bukan sekadar membuat kenyataan yang menimbulkan lebih banyak persoalan. Maka rakyat berhak untuk ambil perhatian bahawa kenyataan media pejabat peguam negara ini disabitkan dengan isu kontroversi titah Adendum.
“Kenyataan media Pejabat Peguam Negara ialah satu campur tangan yang salah dalam isu yang dipertikaikan di mahkamah rayuan dalam masa seminggu.”
Mengikut Haniff, kenyataan ini mungkin mendedahkan pejabat peguam negara dan pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut bagi pihak Peguam Negara menghina tindakan mahkamah dan satu campurtangan salah dan subjudis.
“Saya harap, demi kesejahteraan negara dan kemartabatan pejabat peguam negara, mengikut konsep kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan, Pejabat Peguam Negara keluarkan kenyataan yang lengkap dan jelas,” tambah beliau.
Sudah DiJangka
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata bahawa kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai isu tahanan rumah membabitkan Najib sudah dijangka dan turut mempertikai pengampunan yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2018.
Beliau bertanya dalam satu hantaran di Facebooknya bahawa adakah pengampunan yang diberikan kepada Anwar ada ke melalui Lembaga Pengampunan kerana Kabinet masih belum dibentuk oleh Tun Mahathir pada masa itu.
Untuk rekod pada 16 Mei 2018, Anwar mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Seperti yang dijangkakan. Allah maha berkuasa, kepada Allah kita berdoa agar keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak,” beliau berkata. – NMH
Datin Hasnah is the co-founder and CEO of New Malaysia Herald based in Kuala Lumpur, Malaysia.
With an extensive background in mass communication and journalism, she works on building up New Malaysia Herald and it’s partner sites. A tireless and passionate evangalist, she champions autism studies and support groups.
Datin Hasnah is also the Editor in Chief of New Malaysia Herald.
Facebook Comments