Akibat tangkapan warga Malaysia dalam beberapa kes penyeludupan dadah di luar negara, termasuk membabitkan seorang juruterbang, mencetuskan persoalan tentang peranan Malaysia dalam rangkaian jenayah rentas sempadan serta tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dalam melindungi reputasi industri penerbangan negara.
Dalam tempoh hanya beberapa hari, beberapa kes penyeludupan dadah berprofil tinggi yang melibatkan warga Malaysia di tiga negara jiran telah mencetuskan kebimbangan baharu mengenai kedudukan negara dalam rangkaian jenayah rentas sempadan.
Di Thailand, pihak berkuasa dilaporkan merampas kira-kira 87 kilogram syabu bernilai jutaan ringgit yang dikaitkan dengan suspek warga Malaysia. Di Singapura pula, lebih 10 kilogram dadah dirampas di pusat pemeriksaan Woodlands melibatkan seorang rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama, Indonesia turut menahan seorang lagi rakyat Malaysia atas dakwaan berkaitan penyeludupan dadah.
Lebih mengejutkan, beberapa hari sebelum itu seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia selepas disyaki cuba membawa masuk dadah. Kes ini bukan sahaja mencalarkan nama individu terbabit, malah berpotensi memberi kesan kepada imej profesional industri penerbangan Malaysia di mata dunia.
Malaysia Destinasi atau Pusat Pengedaran Dadah?

Jika suatu ketika dahulu Malaysia lebih dikenali sebagai negara transit bagi kemasukan dadah dari kawasan Segi Tiga Emas, perkembangan mutakhir ini menimbulkan persoalan yang jauh lebih serius.
Adakah Malaysia kini bukan sekadar menjadi pasaran pengguna, malah telah dijadikan lokasi penyimpanan, pengedaran dan titik pelepasan dadah ke negara-negara jiran?
Soalan ini tidak boleh dipandang ringan. Ia memerlukan jawapan yang jelas daripada kerajaan serta tindakan yang benar-benar berkesan daripada agensi penguat kuasa.
Dalam negara sendiri pula, penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan. Kes individu khayal selepas mengambil “juice”, menghisap “piu-piu”, serta penyalahgunaan ketamin dan syabu semakin kerap dilaporkan. Kes overdos pula bukan lagi cerita terpencil, malah semakin menghampiri kehidupan masyarakat biasa.
Kesan Kepada Industri Penerbangan Negara
Kes membabitkan juruterbang Malaysia bukan sekadar isu jenayah individu. Ia berpotensi memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem penerbangan negara.
Seorang rakyat Malaysia yang menaiki penerbangan D7 303 dari Hangzhou ke Kuala Lumpur pada 4 Ogos berkongsi bahawa penerbangannya mengalami kelewatan hampir dua jam selepas kru dan penerbangan melalui pemeriksaan tambahan oleh pihak berkuasa China. Penerbangan yang dijadualkan berlepas pada jam 2.25 petang hanya berlepas sekitar 3.30 petang.
Sama ada kelewatan tersebut berkait secara langsung dengan kes tangkapan juruterbang Malaysia di Indonesia masih belum dapat dipastikan. Namun, persepsi bahawa kru penerbangan Malaysia mungkin berdepan pemeriksaan lebih ketat sudah cukup untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri.
Dalam sektor penerbangan antarabangsa, reputasi adalah aset yang amat bernilai. Apabila keyakinan pihak berkuasa asing terhadap kru sesebuah negara terjejas, implikasinya boleh dirasai oleh syarikat penerbangan, anak kapal dan juga penumpang.
Di Mana Peranan Kementerian Pengangkutan?
Di sinilah timbul persoalan yang lebih besar.
Apakah tindakan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan insiden yang melibatkan seorang individu tidak menjejaskan keseluruhan industri penerbangan Malaysia?
Adakah kementerian telah berhubung dengan pihak berkuasa penerbangan negara-negara berkaitan untuk mendapatkan penjelasan sekiranya wujud pemeriksaan tambahan terhadap kru atau pesawat Malaysia?
Adakah syarikat penerbangan tempatan telah diberikan panduan atau sokongan bagi menangani sebarang implikasi operasi di luar negara?
Rakyat berhak mengetahui sama ada kerajaan sedang mengambil langkah proaktif atau sekadar menunggu keadaan reda dengan sendirinya.
Kementerian Pengangkutan bukan sekadar mengurus jadual penerbangan dan pembangunan infrastruktur. Ia juga bertanggungjawab mempertahankan kredibiliti industri penerbangan negara di peringkat antarabangsa. Apabila timbul isu yang berpotensi menjejaskan reputasi tersebut, kementerian tidak boleh berdiam diri.
Sekiranya benar terdapat peningkatan pemeriksaan terhadap kru atau pesawat Malaysia akibat persepsi yang timbul daripada kes ini, Kementerian Pengangkutan perlu segera tampil memberikan penjelasan, berunding dengan pihak berkuasa luar dan memulihkan keyakinan terhadap profesionalisme industri penerbangan negara.
Kerajaan Tidak Boleh Bersikap Reaktif
Isu dadah hari ini bukan lagi sekadar masalah jenayah. Ia telah menjadi isu keselamatan negara, imej antarabangsa, ekonomi dan keyakinan terhadap institusi negara.
Kerajaan perlu menunjukkan bahawa Malaysia masih mampu mengawal sempadannya, membanteras sindiket dadah dan mempertahankan nama baik negara di mata dunia.
Dalam isu yang menyentuh industri penerbangan pula, Kementerian Pengangkutan perlu memimpin, bukannya sekadar memberi reaksi selepas timbul kontroversi. Kepimpinan yang berkesan bukan hanya diukur ketika keadaan berjalan lancar, tetapi ketika negara berdepan krisis yang boleh menjejaskan reputasi dan kepentingan nasional.
Rakyat tidak mengharapkan alasan. Rakyat mengharapkan tindakan. – NMH

Emma Harith, a freelance writer, NGO activist and a mum advocate. Having written for a number of media organisations, she loves to focus her writings on adventures, lifestyle and the sky.
Facebook Comments