Oleh Anak Permatang Padi
Setakat 1 petang ini sebanyak 43 peratus rakyat Sabah sudah keluar mengundi pada PRN Sabah 2020. Mereka akan memilih kerajaan negeri yang baharu. Sudah tentu pelbagai ramalan dan jangkaan sudah dibuat oleh tukang-tukang tilik politik mengenai keputusan malam ini.
Antara masalah PRN Sabah pagi ini ialah barisan panjang pengundi kerana COVID-19. Oleh itu, perlu diadakan kemudahan untuk mengundi dengan segera. Antaranya membuka saluran mengundi bagi membolehkan pengundi berbuat demikian sebelum pusat mengundi ditutup. Bagi pengundi, jangan tunggu sehingga petang.
Ada yang meramalkan Shafie Afdal akan membentuk semula kerajaan negeri yang baharu. Ini berdasarkan persediaan mantap gabungan Warisan Plus dengan pelbagai propaganda termasuk billboard besar yang banyak di seluruh negeri. Bagaimanapun, ini mungkin di peringkat awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sedangkan keadaannya berbeza sekarang dengan kenyataan Ketua Menteri Sementara dan Din Ketapi, calon Warisan Segama.
Kenyataan Shafie yang meminta Kerajaan Pusat berunding dengan Filipina berhubung tuntutan negeri itu terhadap Sabah adalah bertentangan dengan persetujuan dan pengiktirafan antarabangsa bahawa Sabah dalam Malaysia.
Amat Memalukan Dan Mengguris Hati
Begitu juga kenyataan Din Ketapi yang menghina anggota pasukan keselamatan di insiden pencerobohan Kg Tanduo, Lahad Datu. Ia amat memalukan dan mengguris hati anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka.
Portal berita PNBBC menjangka Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membentuk kerajaan negeri baharu selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seawal jam 10 malam esok.
Malah, GRS yang dianggotai oleh parti komponen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) kini dilihat berada di hadapan berikutan pelbagai isu berbangkit yang dilihat gagal diselesai oleh kerajaan negeri dikuasai Parti Warisan Sabah dan dipimpin oleh Shafie Apdal.
Antara isu utama yang gagal diselesaikan oleh Warisan termasuk masalah bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya di kawasan luar bandar, peningkatan kadar pengangguran; kegagalan kerajaan negeri mengembalikan hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dan isu royalti minyak seperti dijanjikan mereka semasa kempen Pilihan Raya Umum lalu (PRU-14).
Ketidakpuasan hati rakyat Sabah menjadi semakin memuncak apabila Ketua Menteri bertindak mengeluarkan kenyataan meminta Kerajaan Persekutuan mengadakan rundingan dengan kerajaan Filipina berhubung tuntutan terbaharu republik terbabit terhadap negeri Sabah.
Keadaan itu menjadi semakin buruk apabila bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya era Pakatan Harapan (PH) yang juga calon Warisan Segama menyindir dan menghina pasukan keselamatan negara apabila menyatakan mereka cuma berperang dengan ayam dan anjing ketika insiden pencerobohan kumpulah pengikut Jamalul Kiram III di Lahad Datu pada 2013.
Kempen GRS juga dilihat lebih tersusun berbanding Warisan termasuk dengan kehadiran tokoh politik terkemuka tanah air seperti mantan Perdana Menteri, Najib Razak dan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turun padang berkempen sejak dari awal lagi.
Berikutan itu, tidak mustahil jika GRS dikatakan mampu meraih kemenangan besar dalam PRN Sabah termasuk di sebahagian besar daripada 17 kerusi panas yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara parti PN, BN dan PBS dalam PRN kali ini.
Malah, kebanyakan ‘top gun’ calon popular seperti Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin dan Pengerusi PN Sabah, Hajiji Noor, dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk meraih kemenangan di kerusi DUN Lamag dan Sulaman kerana menjadi kubu kuat parti masing-masing
Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, berdepan saingan lima penjuru termasuk wakil Parti Warisan Sabah, Muhamad Ismail Ayob; Razman Maya (Parti Cinta Sabah); Muhamad Ruzaimi Rahmai dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon Bebas Juni Abdullah bagi merebut kerusi DUN Lamag.
Turut mencuri tumpuan ialah pertembungan enam penjuru di DUN Pintasan di mana menyaksikan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Pandikar Amin Mulia, dicabar oleh lima calon lain termasuk anak muda, Fairuz Renddan yang bertanding atas tiket PN, Padlan Samad (Parti Cinta Sabah), Mohd Safian Saludin (Warisan), Roslan Mayahman (Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Almudin Kaida (Bebas).
Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal pula dilihat sedang bergelut untuk menang di DUN Senallang dalam pertemuan empat penjuru termasuk anak buahnya Norazman Utoh Nain yang bertanding atas tiket PN; Ahmad Datu Ali Alam, dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah; Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah).
Bekas Menteri Luar merangkap Presiden PCS, Anifah Aman terpaksa menghadapi persaingan empat penjuru dengan penyandang kerusi DUN Bongawan, Dr Daud Yusof, (Warisan); Ag Syairin Ag Bakar (BN) dan Mohd Azree Abd Ghani dari Parti Liberal Demokratik (LDP).
Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan bahawa Warisan juga mempunyai aura tersendiri kerana rakyat sudah mengetahui jika mereka berjaya menang PRN kali ini maka individu yang bakal menjadi Ketua Menteri, tidak lain tidak bukan ialah Mohd Shafie.
Menentukan Masa Depan
Oleh itu, sekarang ini terserah kepada 1.103 juta pengundi termasuk 1,088,711 pengundi yang bakal mengundi pada Hari Pengundian PRN Sabah, hari ini untuk menentukan masa depan dan gabungan manakah bakal membentuk kerajaan campuran untuk memerintah kerajaan negeri Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pilihlah calon dan parti terbaik demi masa depan anda dan anak cucu nanti, jangan menyesal dikemudian hari.
Apapun pandangan Faisaluddin Yusof, seorang peguam yang berada di Sabah untuk mengikuti PRN Sabah amat menarik diberikan perhatian oleh kerajaan negeri yang baharu.
Menurut beliau, sepanjang bertugas membantu jentera BN, inilah pengalaman peribadi pertamanya menelusuri sebahagian besar kawasan di Sabah terutama Daerah Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran. “Ada beberapa perkara yang saya fikir perlu diambil perhatian serius oleh barisan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang baru yang bakal diumumkan malam ini.
Pertama adalah “JALAN RAYA”. Selain kualiti jalan raya yang perlu ditambah baik, jalan-jalan baru dan sempurna perlu dibuat bagi menghubungkan rakyat di kawasan pendalaman dengan bandar-bandar terdekat untuk mendapatkan kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan seperti hospital, pejabat daerah, balai polis dan lain-lain lagi. Lebuhraya Pan Borneo perlu diteruskan kerana ianya bukan sahaja dapat menghubungkan Sabah dan Sarawak tetapi secara langsung dapat menaik taraf sosio ekonomi rakyat tempatan dari pelbagai sudut terutama pelancongan, perindustrian dan banyak lagi manfaat yang bakal dikecapi oleh mereka.
Kedua, menaik taraf kelajuan capaian internet dan memastikan kesemua kawasan termasuk pendalaman dan pulau pulau mendapat kemudahan LINE TELEFON dan CAPAIAN INTERNET yang laju. Komunikasi melalui telefon dan internet pada masa kini adalah suatu yang WAJIB pada saya memandangkan ianya bakal membantu rakyat tempatan memasarkan produk-produk mereka ke seluruh dunia tanpa mereka perlu berhijrah dari kampung mereka. Ini secara langsung dapat membantu menaik taraf kehidupan mereka sekeluarga dan tiada lagi isu penghijrahan anak muda ke bandar-bandar.
Kedua perkara asas di atas pastinya lebih mudah dilaksanakan andai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dipimpin oleh mereka yang sehaluan dan memberi keutamaan kepada kebajikan Rakyat. Seiring sejalan.
Walauapapun, Sabah punya tempat yang indah dan menarik bahkan lebih cantik berbanding beberapa tempat di negara lain. Jika ada rezeki dan wabak COVID-19 sudah pulih sepenuhnya, kita harus galakkan semua pihak melancong ke Sabah dan bantulah bangunkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum negara lain.
Semoga kerajaan negeri yang baharu memberikan perhatian terhadap cadangan yang dikemukakan. Semoga rakyat Sabah membuat pilihan yang bijak untuk masa depan mereka. – New Malaysia Herald
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com
Facebook Comments