Pornografi Tersirat Dalam Kartun Di Media Maya

0
2437
Emma Harith adalah seorang Surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal ehwal domestik, penulis juga seorang Aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan -makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can't stand the heat, stay away from the kitchen.

Oleh Emma Harith

Sedang elok melipat kain tiba-tiba anak menerpa “Mama, kenapa kartun ni tunjuk ‘snake’ yang salah?” sambil menunjuk kartun di YouTube yang sedang ditonton.

Berderau darah si ibu apabila ‘snake’ yang ditunjuk itu adalah kemaluan lelaki yang diwarnakan hijau di dalam kartun dan diolah secara grafik agar menyerupai ‘snake’.

“Ini bukan ‘snake’ nak, ini ‘malu’ budak lelaki. Sudah, jangan tengok kartun ‘salah’ ni, pergi tengok kartun lain,” kata si ibu kepada si anak, lantas terus berhenti daripada lipat baju dan sama-sama menonton Youtube dengan anak.

“Malu tak kalau teacher suruh lukis gambar ‘snake’ tapi awak lukis gambar ‘malu’ budak lelaki?,” sambung si ibu sambil mata terus tertumpu pada YouTube.

“Malu mama, nanti satu kelas akan ketawakan adik, dan nanti adik tak dapat jadi Pelajar Cemerlang. Adik tak nak jadi budak tak pandai,” balas si adik.

Si ibu tidak menjawab. Di dalam hati sangat rawan, mana tidaknya, apa yang anaknya pelajari, si ibu baru tahu ketika di tingkatan empat.

Pornografi Tersirat Dalam Kartun Di Laman Youtube - Adopt Me with Zero Budget Oleh Lanky Box,
<strong>Antara permainan maya yang diminati oleh anak anak<strong>

Masa depan sangat mencabar, rupa-rupanya banyak lagi sisi gelap di medium hiburan dan permainan ‘online games’ anak- anak yang menjurus kepada pornografi dan seksual.

“Kesian kan mama, kawan-kawan adik yang tak tahu,” sambung si anak lagi.

Keterbukaan seksual di dalam permainan maya

Selain daripada leka dengan Youtube, anak-anak juga sering asyik dengan permainan-permainan online.

“Mama tahu tak, game kakak boleh main kahwin-kahwin. Lelaki kahwin perempuan boleh, lelaki kahwin lelaki boleh dan perempuan kahwin perempuan pun boleh,” cerita si kakak.

“Habis tu kakak kahwin ke dalam game tu? Boleh ada anak ke dalam game tu? Apa lagi yang boleh buat di dalam game tu?” tanya si mama pula.

“Tak mama, kakak kalau tengok game tu macam ‘tak baik’ kakak keluarlah, lepas tu masuk server game lain. Dalam game kahwin tu, kalau nak anak boleh ‘beli’ atau ‘buat’ anak. Tapi kena upgrade game, nak upgrade kena bayar, kakak main game ‘free’, sayang duit belanja sekolah kakak,” si kakak terus bercerita.

“Kalau dah mengarut sangat game tu, ‘uninstall’ jer, banyak lagi game bagus. Paling tidak pun main ‘Candy Crush‘ macam mama, elok je,” jawab si ibu pula.

Si ibu guna perkataan ‘uninstall’ di dalam perbualannya bersama anak berusia 10 tahun. Tergelak dalam hati, perkataan tu si ibu baru belajar apabila masuk universiti. Bagi si anak pula, perkataan macam itu umpama sebut ‘air’ sahaja.

Sesungguhnya zaman sudah berubah.

Lubuk Pedofil Mencari Mangsa

“Game mama tu main seorang sahaja, game yang kami main boleh beramai-ramai, boleh chatting dengan kawan-kawan,” sampuk si adik pula.

“Chatting apa? Mari sini mama nak tengok adik dan kakak chat dengan siapa,” lantas si ibu mengambil telefon bimbit kedua-dua anaknya untuk melihat dengan siapa anak-anak berkawan.

Elemen Pedofilia Kanak-kanak Tersirat Di Kartun Malaysia Di Youtube. - Roblox Oders Love Pixes Oleh Project Supreme.
<strong>Adakah ia bersesuaian dengan anak anak bawah umur<strong>

Nasib baik, tiada elemen-elemen negatif di dalam chat anak-anaknya.

Namun, ia sebagai peringatan kepada si ibu untuk selalu memeriksa chat anak-anak.

Belum tiba masa ibu bapa memberikan privasi mutlak kepada anak-anak, mereka perlu panduan di dalam menavigasi di dunia maya.

Jangan abaikan tanggungjawab kita sebagai ‘mentor’ dan ‘fasilitator’ kepada anak-anak.

Kealpaan boleh membawa padah. Takut si ibu memikirkan anak-anaknya diheret ke dalam perangkap pedofil yang sentiasa memburu mangsa dan menjadikan chat sebagai perangkap.

Mula-mula abang angkat, kemudian kekasih dan akhirnya ajak lari untuk dijadikan pemuas nafsu serakah.

Iklan yang merangsang akal kanak-kanak untuk mencuba.

Sedang leka bermain game, tiba-tiba, “Ala mama, ada iklan cium-cium ni. Adik nak main game bukan nak tengok iklan,” rungut si adik.

“Remove iklan tu,” kata si ibu pula. ” Kena tunggu 10 saat mama, baru boleh ‘skip’ iklan,” jawab si adik.

Apa? Sepuluh saat ‘brainwash’ anak-anak dengan aksi bercium? Sekali main game, iklan berkali-kali, nak ‘nyawa tambahan’ kena tengok iklan, nak ‘tambah coin’ kena tengok iklan. Semua yang ‘ekstra dan percuma’ dalam game kena tengok iklan dulu.

Iklan bukan budak yang pilih. Iklan secara auto. Satu masa dulu banyak iklan ‘slot machine’, yang itu anak-anak tidak kisah sangat sebab mereka bukan faham apa itu judi.

Sekarang ni iklan rupanya, bukan setakat cium-cium, ada iklan ‘preview game’ erotik yang sangat tidak sesuai untuk anak-anak bawah umur.

Mendidik Kebiadaban

Ibu bapa mungkin tiba-tiba melihat perubahan tingkah laku anak-anak mereka.

Daripada seorang anak yang begitu manis dan patut berubah menjadi pemarah dan bentak-bentak.

Ada yang lebih teruk sudah mula mencarut-carut, walhal dalam keluarga si ibu sangat menjaga tutur kata, perkataan ‘bodoh’ pun tidak di sebut, ini kan pula ‘ f*ck’.

Rupa-rupanya sifat perengus dan mencarut itu diajar oleh youtuber cilik.

Memanglah kelakuan itu di anggap ‘comel’ oleh si ibu youtuber sebab dia nak kejar rating.

Bagi si ibu di dunia realiti pula perangai itu tidak comel, perubahan negatif sifat si anak yang begitu ketara sangat merisaukan, sehingga tidak tidur memikirkan di mana salah asuhan yg berlaku di rumah.

Bila si ibu tertengok, barulah faham. Nasib baiklah anak tu tidak dilibas dengan getah paip atau di cilinya mulut kerana sifat dan kerenah yg ‘di ajar’ oleh youtuber.

Itulah, keburukan youtube memang sukar untuk di sekat walaupun si ibu sudah pun buat ‘block content’, ada juga yang terlepas pemantauan.

Cuma kita sebagai ibu bapa, lebihkanlah memantau anak-anak bila kita melihat mereka terlalu asyik dengan gadjet.

Pemantauan ibu bapa itu penting.

Ini baru si ibu tengok Youtube dan ‘online games’, belum aplikasi TikTok, Instagram, SnapChat dan yang lain-lain.

Si ibu perlu lebih bijak tentang manipulasi aplikasi media maya sekarang ni.

Ini adalah KISAH BENAR si ibu dan anak-anak.

Nasib baik anak-anak ini menunjukkan kepada si ibu jika merasakan ada yang ‘salah’ atau tidak kena di dalam permainan maya mereka.

Bagaimana pula dengan anak-anak yang tidak rapat dengan ibu atau bapa?

Ke mana mereka mahu merujuk dan bertanya?

Kepada kawan-kawan? Abang atau kakak? Mereka pun 2×5, bukan tau apa pun.

Maka, dekatilah anak-anak anda, mereka memerlukan anda, JANGAN HARAPKAN ORANG LAIN.

Pornografi dan keterbukaan seksual dewasa adalah pilihan bagi orang dewasa untuk tengok.

Pornografi dan seksual terselindung di sebalik kartun, permainan online dan iklan, anak-anak pula “dipaksa” menonton tanpa sedar.

Mohon #skmm #pdrm pantau Youtube, games dan medium-medium maya yang mensasarkan pengguna kanak-kanak.

SAYANGI ANAK-ANAK KITA! – New Malaysia Herald

Facebook Comments

author avatar
Staff Editor
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com