Oleh Emma Harith
Memandangkan kita menghampiri pertengahan bulan Januari 2021, masalah pandemik, ekonomi dan situasi politik yang kucar- kacir telah sampai tahap yang membimbangkan. Oleh itu, adalah lebih penting bahawa kita semua perlu beriltizam untuk bersatu dalam usaha kita mengatasi keadaan semasa.
Kami berbincang dengan beberapa Menteri, ahli kumpulan bukan kerajaan dan grup politik serta rakyat jelata tentang harapan mereka untuk tahun ini.
Pembuat Dasar Negara Dan Harapan Mereka Bagi Tahun 2021
Kita mulakan dengan Menteri Perpaduan Nasional iaitu Datuk Halimah Sadique: “2020 telah menjadi tahun yang mencabar bagi kita semua. Sebagai renungan, tahun 2021 adalah penting untuk kita melihat kembali aspek positif yang telah kita lalui, agar kita belajar, menghargai dan menjadikannya pencetus semangat agar kita lebih kuat untuk terus maju.
“Tahun ini benar-benar menunjukkan kekuatan kita sebagai sebuah negara, ketika kita terus berjuang melawan COVID-19. Walaupun dalam masa-masa sukar ini, saya percaya bahawa perpaduan, toleransi dan kebersamaan kita yang diuji, dan akhirnya diperkukuhkan,” kata Halimah.
“Ketika kita memasuki tahun baru, semua rakyat Malaysia harus melihat ke hadapan dengan memperbaharui resolusi, bersikap positif dan memulakan ‘perjalanan’ yang menarik buat masa akan datang. Semoga tahun 2021 memberi kita peluang dan kekuatan untuk memulainya dan mencapai tujuan serta harapan yang lebih hebat.”
Sementara itu, timbalan beliau, Senator Datuk Sri Ti Lian Ker, turut membicarakan mengenai hal perpaduan ini: “Dalam membina masyarakat yang erat tanpa mengira etnik, memahami pentingnya pertukaran budaya sebagai ‘ jambatan’ dan pembangunan perpaduan dalam masyarakat. Sebagai seorang yang menyokong pembangunan komuniti, saya ingin melihat lebih banyak inisiatif oleh kedua-dua agensi kerajaan dan bukan kerajaan, agar masyarakat dapat mempelajari lebih lanjut mengenai budaya semua etnik di Malaysia.
“Sebagai salah satu pendekatan popular untuk menarik perhatian masyarakat adalah melalui pengabungan seni dan budaya, saya berharap dapat melihat lebih banyak kombinasi seperti itu dalam inisiatif masa depan untuk mempromosikan perpaduan. Contoh yang sangat baik adalah karya seni mural dan grafiti yang diajar oleh seniman tempatan seperti yang dianjurkan oleh Johor International Youth Hub atau Rural Experiential Art Tourism di Johor Bahru baru-baru ini.”
Ti berpendapat bahawa kita harus lebih memupuk rasa perpaduan atau kemasyarakatan dalam perencanaan infrastruktur dan kemudahan fizikal kerajaan, contohnya mengintegrasikan konsep reka bentuk dan perancangan ruang awam, dan bandar.
“Saya tidak sabar untuk melihat ruang awam yang mewakili etnik masyarakat, dataran umum dan jalan-jalan yang boleh di akses oleh masyarakat dihiasi dengan citrawarna pelbagai kaum – bersama-sama mewujudkan ruang-litup kejiwaan yang menyuburkan semangat perpaduan dalam jiwa masyarakat.”
Mengikut Ti, selain daripada itu, beliau juga merasakan bahawa kita mampu mempromosikan kesatuan lintas budaya atau silang etnik dengan memelihara warisan sejarah dan budaya yang didambakan di binaan atau ruang asli tempatan dan mempunyai identiti sendiri penghias ruang.
“Oleh itu, saya ingin melihat lebih banyak kemunculan dan promosi identiti budaya atau etnik di tempat-tempat dan lokaliti yang memelihara tradisi budaya lama seperti Batu Caves, Kota Bharu, dan Kelabit Highlands,” tambah Timbalan Menteri tersebut.
Dari seberang Laut China Selatan, menteri-menteri Sarawak juga berkongsi dengan New Malaysia Herald harapan mereka untuk tahun 2021 berkenaan perpaduan rakyat .
Menurut Datuk Sri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, keluarganya berasal dari latar belakang pelbagai budaya di mana ibunya adalah berbangsa Cina. Dan ia memberi peluang kepada beliau untuk meraikan pelbagai perayaan budaya.
Nilai Toleransi
“Sebagai Menteri Kanan Kerja Raya, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Naib Presiden Kanan PBB, ada keperluan untuk menyeimbangkan tanggungjawab saya dalam konteks hubungan Persekutuan-Negara. Portofolio yang pelbagai ini telah memberikan saya peluang untuk memupuk nilai toleransi antara kedua-dua entiti.
“Saya harus bekerjasama dengan pemimpin politik dari kedua-dua pihak, iaitu kerajaan Persekutuan dan Negeri, bagi memastikan bahawa kedua-dua pihak mempunyai visi yang sama: iaitu untuk memajukan Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan. Selain daripada itu, saya juga ingin menambah sedikit tentang salah satu kebimbangan terbesar saya di era ini, iaitu media sosial. Saya melihat ada pihak yang membawa naratif tertentu yang memecahbelahkan antara kita. Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan kandungan media sosial yang kita pilih untuk dikongsi bersama. Saya berdoa agar kita menggunakan platform ini dengan tujuan menyebarkan perkara-perkara positif yang sangat penting untuk perkembangan fizikal dan mental kita,” kata Fadillah.
Rakan sejawatannya nya di Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sri Nancy Shukri, lebih memfokuskan harapannya kepada promosi Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Untuk tahun 2021, mari kita menggambarkan kepelbagaian rakyat Malaysia dalam Cinta Fiesta Malaysia, mempromosikan gala makanan, lagu, tarian dan kraf. Ini adalah Malaysia, di mana semua rakyat yang berlatarbelakangkan etnik yangberbeza dapat menunjukkan penghargaan dalam meraikan kemakmujkan kita sebagai satu negara.
“Di harap kes-kes positif dapat dibendung dengan baik supaya industri pelancongan negara akan terus rancak semula. Sejurus itu, Malaysia akan menjadi destinasi idaman dan pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” ujar Nancy.
Esok kita lihat apa pendapat ahli-ahli kumpulan mengenai harapan mereka untuk 2021.
Versi Bahasa Inggeris boleh didapati di sini. – New Malaysia Herald
New Malaysia Herald publishes articles, comments and posts from various contributors. We always welcome new content and write up. If you would like to contribute please contact us at : editor@newmalaysiaherald.com
Facebook Comments